Artikel Popular

Monday, March 28, 2011

Pembangunan sebagai Kebebasan

SELASA,  29 Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Belanjawan 2009  dibentangkan tatkala ekonomi Amerika Syarikat mengalami ketidakstabilan sektor kewangan dan ekonomi negara itu diramalkan  mengalami kemerosotan.  Walaupun National Bureau of Economic Research belum mengumumkan secara rasmi bahawa Amerika mengalami kemelesetan, namun tulis Peter S. Goodman dalam  The New York Times Julai lalu “banyak ahli ekonomi berpendapat bahawa kemelesetan bermula pada enam atau tujuh bulan lalu.”    Pada awal September, Rizab Persekutuan memaklumkan bahawa negara itu berada pada pertumbuhan yang perlahan kerana harga yang tinggi bagi tenaga, makanan dan barang lain menyebabkan orang ramai dan perniagaan tersepit.  Sering dikatakan bahawa jika Amerika Syarikat  bersin, Mexico menghidap selesema.  Kini, apabila Amerika Syarikat bersin, banyak negara di dunia akan demam.
Semasa pembentangan Belanjawan 2009 oleh Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia,  pada 29 Ogos lalu, selain dua saluran RTM, beberapa buah stesen televisyen swasta juga mengadakan siaran langsung bersama-sama forum yang melibatkan pakar ekonomi, perunding pencukaian, ahli perniagaan, ahli akademi, dan  anggota kumpulan pemikir.  Inti pati perbincangan forum lebih tertumpu kepada insentif dan hadiah yang diberikan oleh Belanjawan 2009 demi kesejahteraan rakyat sesuai dengan temanya “Kerajaan Prihatin” dan sesuai dengan khalayak.  Perbincangan  hanya tentang apa yang tersurat, iaitu apa yang dibentangkan atau diungkapkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Pertama. Tidak ada usaha untuk menyorot dan menggarap pemikiran  yang mendasari Belanjawan 2009 dalam konteks gagasan idea ahli ekonomi yang terkenal, seperti Amartya Sen: pembangunan sebagai kebebasan; Joseph E. Stiglitz: pengukuhan pasaran dan kerajaan; Jeffrey Sachs:  berakhirnya kemiskinan;  atau penulis bebas, seperti Naomi Klein: kapitalisme bencana.
Amartya Sen, Penerima Hadiah  Nobel  Ekonomi dalam  bukunya,  Development as Freedom   mengatakan bahawa pertumbuhan  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pendapatan individu sangat penting sebagai cara untuk memperluas kebebasan yang dinikmati oleh anggota sesuatu masyarakat.   Tetapi, kebebasan juga bergantung pada penentu lain, seperti penyusunan sosial dan ekonomi (misalnya, kemudahan untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan), di samping hak politik dan hak asasi [misalnya, hak kebebasan  (liberty) untuk menyertai perbincangan dan penelitian awam.]
Beliau mengemukakan lima jenis kebebasan instrumental yang memberikan sumbangan secara langsung atau tidak langsung kepada keseluruhan kebebasan manusia untuk hidup dengan cara yang disukai oleh mereka, iaitu kebebasan politik, kemudahan ekonomi, peluang sosial, jaminan ketelusan, dan keselamatan perlindungan. 
“Kebebasan politik (dalam bentuk bebas berucap dan pilihan raya) membantu menggalakkan keselamatan ekonomi.  Peluang sosial (dalam bentuk pendidikan dan kemudahan kesihatan) memudahkan penyertaan ekonomi.  Kemudahan ekonomi (dalam bentuk peluang untuk penyertaan dalam perdagangan dan pengeluaran) dapat membantu menjana kemewahan peribadi, di samping sumber awam untuk kemudahan sosial.  Kebebasan dalam pelbagai jenis dapat memperkukuhkan antara satu sama lain,” rumus Sen.

Belanjawan 2009 mencerminkan kebebasan politik dalam erti kata kebebasan rakyat untuk memilih parti yang membentuk kerajaan  berasaskan demokrasi: “kerajaan Barisan Nasional yang diberi mandat oleh rakyat pada bulan Mac lalu akan terus memelihara kestabilan politik dan meningkat kemakmuran ekonomi negara.  Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini, dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat perlu ditolak.”             
Penegasan Perdana Menteri itu boleh dilihat kebebasan politik yang disebut oleh Amartya Sen:  “merujuk kepada peluang yang orang ramai ada untuk menentukan siapa yang sepatutnya memerintah dan berasaskan prinsip apa.  Juga menikmati kebebasan untuk memilih antara parti yang berbeza.  Kebebasan ini termasuk kelayakan politik  yang berkait dengan demokrasi dalam maksud yang lebih luas.”  Gagasan idea Sen ini  selari dengan  penegasan Perdana Menteri semasa membentangkan belanjawan berkenaan: “saya tidak membenarkan mandat rakyat dirampas daripada Barisan Nasional yang telah menang majoriti Pilihan Raya Umum secara sah mengikut lunas demokrasi.” 

Pada 23 Ogos lalu, kerajaan menurunkan harga bahan api seliter daripada RM2.70 kepada RM2.55   untuk RON97, daripada RM2.62 kepada RM2.40 untuk RON92, dan daripada RM2.58 kepada RM2.50 untuk diesel.   Kerajaan memberikan alasan penurunan harga bahan api ini adalah kerana penurunan harga minyak mentah dunia dan mengekang inflasi apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 8.5 peratus pada bulan Julai daripada 7.7 peratus bulan Jun.  Peningkatan IHP ini bukan sahaja bermakna  penurunan  kuasa beli  dan peningkatan kadar kemiskinan, bahkan juga menandakan keterhakisan kemudahan ekonomi dari segi penggunaan, pengeluaran, dan pertukaran.  Pengurangan kuasa beli juga boleh menjejaskan permintaan terhadap  barang makanan,  keperluan harian, dan  industri peruncitan. 

Belanjawan 2009 menyediakan pelbagai  kemudahan ekonomi demi pelbagai lapisan lapisan menggunakan sumber ekonomi untuk tujuan penggunaan, atau pengeluaran, atau pertukaran. Belanjawan 2009 juga  menyediakan sumber kewangan  untuk penggunaan dan  pertukaran, iaitu jual beli pada harga tertentu.  Belanjawan ini tidak menafikan hak  kebebasan rakyat di negara ini  untuk membeli dan menjual, untuk pertukaran, dan untuk mencari kehidupan yang dapat berkembang subur berasaskan urus niaga.  “Untuk menafikan kebebasan itu secara am,”  Amartya Sen memberikan peringatan, “akan dengan sendiri membawa kegagalan utama dalam masyarakat.”

Peningkatan  pendapatan boleh guna merupakan salah satu langkah untuk tujuan penggunaan yang seterusnya dapat merangsangkan pengeluaran dan merancakkan pertukaran.  Belanjawan 2009 menaikkan rebat cukai daripada RM350 kepada RM400  seorang bagi pendapatan bercukai RM35,000 ke bawah; menurunkan kadar cukai individu maksimum daripada 28 peratus kepada 27 peratus; mengecualikan cukai terhadap faedah simpanan bagi individu; mengurangkan duti import terhadap beberapa barang pengguna daripada antara 10 hingga 60 peratus kepada lima hingga 30 peratus; dan  mengecualikan sepenuhnya duti import untuk beberapa barang makanan antara dua hingga 20 peratus. 

Menyedari “adanya  dan akses kepada kewangan boleh menjadi pengaruh penting terhadap kelayakan ekonomi,” seperti yang cuba diyakini  oleh Amartya Sen, kerajaan menyediakan dua dana baru berjumlah RM1.2 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).    Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang ditubuhkan sejak tahun 1987 menyediakan pembiayaan kredit mikro untuk membantu golongan isi rumah miskin luar bandar meningkatkan pendapatan.    Mulai tahun 2008, golongan miskin di bandar juga menikmati kemudahan pembiayaan ini. Dengan modal pusingan RM100 juta untuk membiayai program Kewangan Mikro Bandar yang mula beroperasi di Kuala Lumpur bagi golongan isi rumah yang berpendapatan RM2000 sebulan dan ke bawah, akan diperluaskan di bandar-bandar seluruh negara mulai tahun 2009. 
Selain itu, penggunaan sumber ekonomi untuk tujuan  pertukaran adalah dengan melonggarkan syarat pinjaman perumahan kerajaan (melanjutkan tempoh pinjaman dari 25 tahun ke 30 tahun, menyediakan kemudahan pinjaman ubah suai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman kerajaan, dan membuka panel insurans kepada semua syarikat insurans yang layak); melonggarkan kos memiliki rumah melalui pengecualian setem sepenuhnya atau hingga 50 peratus); dan memperluas Skim Jaminan Kredit Perumahan.  Langkah ini akan membuka peluang pemilikan rumah kepada anggota perkhidmatan awam dan golongan tidak berpendapatan tetap.      

Dalam Belanjawan 2009, kerajaan   menyediakan RM31 bilion kepada Kementerian Pelajaran untuk menyediakan  pendidikan bagi manfaat 5.8 juta pelajar.  Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi,  kerajaan menyediakan peruntukan RM14.1 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.    Belanjawan 2009 terus menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada rakyat.  Untuk tujuan meningkatkan kemudahan dan peralatan kesihatan, menambah bekalan ubat, membina hospital, klinik,  dan lain-lain lagi, belanjawan ini menyediakan peruntukan   RM13.7 bilion.  Bagi program latihan dan kemahiran,  diperuntukkan RM2.4 bilion. Untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli, diperuntukkan RM160 juta.   Belanjawan ini juga menyediakan peruntukan RM1.8 bilion bagi menambah kemudahan awam yang dapat meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat desa dan luar bandar.   

Semua peruntukan ini merupakan peluang sosial, seperti yang dikatakan oleh Amartya Sen, “merujuk kepada penyusunan yang masyarakat lakukan untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, dan sebagainya yang mempengaruhi kebebasan substantif individu untuk kehidupan yang lebih baik. Kemudahan ini penting bukan sahaja untuk kelakuan kehidupan individu, seperti gaya hidup sihat, tetapi juga untuk penyertaan yang lebih berkesan dalam aktiviti ekonomi dan politik.”  Pewujudan peluang sosial dalam belanjawan ini memberikan sumbangan langsung kepada pengembangan kemampuan manusia dan kualiti hidup.

Belanjawan 2009 tidak menyatakan dengan jelas kebebasan instrumental jaminan ketelusan, seperti yang ditegaskan oleh Amartya Sen: “berkait dengan keperluan untuk berterus terang yang orang ramai boleh jangkakan, iaitu kebebasan untuk berurusan dengan orang lain dengan jaminan pendedahan dan kejelasan.”  Walau bagaimanapun,  bahagian penutup Belanjawan 2009 menyatakan bahawa “kerajaan Barisan Nasional akan terus mentadbir ekonomi negara dengan penuh beramanah tanpa membuat janji-janji populis seperti yang dicanangkan oleh pembangkang yang boleh memusnahkan kedudukan kewangan kerajaan dan mewariskan negara yang muflis kepada generasi muda.”   Jaminan tentang pentadbiran ekonomi negara dan penegasan tentang amanah serta mengelak kemusnahan kedudukan kewangan adalah selari dengan yang disebut oleh Sen: “jaminan ketelusan mempunyai peranan instrumental yang jelas dalam mencegah rasuah, tidak bertanggungjawab dari segi kewangan, dan berurusan secara tipu helah.”

Keselamatan perlindungan, tegas Amartya Sen, “diperlukan untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk mencegah penduduk yang terjejas daripada  rasa terhina, dan dalam sesetengah keadaan,  kebuluran dan kematian.  Untuk jaringan keselamatan sosial, Belanjawan 2009 antaranya menyediakan tabung khas RM25 juta bagi yang kehilangan punca pendapatan secara  mengejut;  menaikkan kelayakan pendapatan bantuan kebajikan daripada RM400  kepada RM720 sebulan di Semenanjung, RM830 di Sarawak, dan RM960 sebulan di Sabah; dan bagi pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang RM720 sebulan.  

Belanjawan 2009  yang peka terhadap rintihan rakyat dan bertindak untuk meringankan beban setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah sememangnya berteraskan pembangunan untuk kebebasan.  Terkandung di dalamnya kebebasan politik, kemudahan ekonomi, peluang sosial, jaminan ketelusan, dan keselamatan perlindungan. Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.4 peratus pada tahun 2009 berbanding dengan 6.7 peratus tahun 2008, jika dilaksanakan secara berkesan, Belanjawan 2009  dapat  menyingkirkan sumber utama bukan kebebasan, antaranya kemiskinan, peluang ekonomi yang sedikit,  perampasan sosial  sistematik, dan pengabaian kemudahan awam.  
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Oktober 2008.)











No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...