KHAMIS, 3 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dalam Dewan Masyarakat keluaran Januari tahun ini, saya menulis makalah, “Pemulihan Tanpa Pekerjaan” yang melihatkan rasa pesimistik terhadap pemulihan yang berlaku di dunia sekarang. Makalah itu bermula bahawa secara relatif, tahun 2010 lebih baik jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya krisis ekonomi telah pun reda, dan banyak negara boleh menarik nafas lega. Sinar pemulihan kelihatan di hujung terowong, meskipun kadangkala malap, kadangkala suram. Bayang-bayang krisis yang menakutkan mula diselebungi oleh impian indah tentang pemulihan, lebih-lebih lagi kerana dunia dapat mengelakkan daripada terhumban ke dalam kemelesetan curam berganda.
Makalah itu mengingatkan bahawa lazimnya, pemulihan selepas krisis kewangan adalah lemah dan perlahan kerana sistem perbankan dibaiki dan kunci kira-kira dibina semula. Bagi kebanyakan orang, pemulihan yang berlaku diwarnai oleh pengangguran yang tinggi yang berpanjangan. Justeru, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam World Economic Outlook terbaharunya mencadangkan bank-bank pusat perlu mengekalkan kadar faedah paling rendah dan mempertimbangkan suntikan wang seterusnya menerusi quantitative easing jika kekenduran dalam rentak pertumbuhan berlaku berterusan.
Meskipun kacau-bilau berlaku di sana sini, IMF dalam World Economic Outlook yang dipetik sebelum ini menjangkakan aktiviti global berkembang sebanyak 4.8 peratus pada tahun 2010 dan 4.2 peratus pada tahun 2011. Pada 2010, ekonomi maju, Amerika Syarikat dijangkakan berkembang 2.6 peratus, Jepun 2.8 peratus, Kanada 3.1 peratus, Jerman 3.3 peratus, Perancis 1.6 peratus, dan United Kingdom 1.7 peratus. China dan India merupakan ekonomi sedang muncul yang berkembang dengan pesat pada tahun 2010, masing-masing 10.5 peratus dan 9.7 peratus.
Untuk Asean-5 pada 2010, tinjauan IMF itu mengunjurkan Indonesia tumbuh 6.0 peratus, Thailand 7.5 peratus, Filipina 7.0, Malaysia 6.7 peratus, dan Vietnam 5.3 peratus. Dalam kalangan negara Asean-5 ini, hanya Thailand dan Malaysia mengalami kemelesetan pada tahun 2009, masing-masing negatif 2.2 peratus dan negatif 1.7 peratus. Sementara Singapura yang tergolong dalam Newly Industrialized Asian Economies dijangkakan mengalami pertumbuhan yang paling tinggi, iaitu 15.0 peratus, bingkas daripada negatif 1.3 peratus pada tahun 2009.
Akibat kemelesetan yang bermula pada tahun 2008, berjuta-juta orang di Amerika dan seluruh dunia hilang rumah dan pekerjaan mereka. Krisis yang bermula di Amerika, serta-merta merebak di peringkat global, dengan berjuta-juta orang hilang pekerjaan di seluruh dunia. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan bahawa 27 juta orang kehilangan pekerjaan di seluruh dunia pada tahun 2009. Kira-kira 12 juta orang yang baru menganggur di Amerika Utara, Jepun, dan Eropah Barat. Golongan penganggur meningkat hampir empat juta orang di Eropah Timur dan Amerika Latin, manakala kadar pengangguran adalah lebih stabil di Asia, Afrika, dan Timur Tengah.
Dalam laporan setebal 82 halaman yang disiarkan sempena hari perasmian World Economi Forum di Davos, ILO menjangkakan pengangguran kekal tinggi sepanjang tahun 2010, dengan kemungkinan tambahan tiga juta orang lagi di dunia kaya yang kehilangan pekerjaan mereka atau tidak dapat mencari pekerjaan apabila mereka memasuki pasaran pekerjaan. ILO dalam laporannya itu memaklumkan bahawa pengangguran dalam kalangan belia meningkat lebih 10 juta orang dalam dua tahun lalu, terburuk sejak ILO mula menyusun statistik global pada tahun 1991.
Kadar pengangguran yang tinggi yang tidak akan pulih hingga tahun 2015, dua tahun lebih lewat daripada anggaran awal bahawa pasaran buruh akan pulih ke tahap prakrisis pada tahun 2013. Untuk tahun 2010, ILO meramalkan pengangguran global melibatkan 213 juta orang, iaitu pada kadar 6.5 peratus. Kira-kira 22 juta pekerjaan baru diperlukan, iaitu 14 juta di negara kaya dan lapan juta di negara membangun. Melihat angka yang sedemikian rupa, seseorang boleh membayangkan sesuatu yang menakutkan: pergolakan sosial.
ILO yang memberikan amaran “kemelesetan pasaran buruh” yang panjang, menarik perhatian bahawa pergolakan sosial yang berkait dengan krisis telah pun dilaporkan berlaku di sekurang-kurangnya 25 buah negara, termasuk beberapa ekonomi sedang muncul yang sedang pulih. Pada akhir September lalu, menyaksikan mogok pekerja di Sepanyol, protes di Greece, Portugal, Ireland, Slovenia, dan Lithuania, di samping di Brussels yang melibatkan berpuluh-puluh ribu pekerja dari seluruh Eropah sebagai sebahagian hari tindakan Eropah menentang pemotongan perbelanjaan awam.
Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi awal-awal lagi meragui pemulihan ekonomi Amerika kerana bagi beliau, hanya untuk memastikan pengangguran tidak terus meningkat, negara itu memerlukan pertumbuhan kira-kira 2.5 peratus. Namun, pertumbuhan sekarang adalah antara satu hingga dua peratus.
Pengangguran sahaja sudah cukup untuk meragui bahawa pemulihan berada pada laluan yang betul. Dengan kata lain, perjalanan pemulihan amat bergelora. Hal ini belum lagi mengambil kira kenaikan harga komoditi, terutamanya minyak yang dijangkakan boleh membantutkan pertumbuhan, dan krisis makanan yang melanda dunia semula.
Baru-baru ini, Bank Dunia menganggarkan kenaikan harga makanan menyebabkan 44 juta orang hidup dalam kemiskinan di negara membangun sejak Jun 2010 kerana kos makanan terus-menerus meningkat kepada hampir tahap tahun 2008. Juga belum lagi mengambil kira kemiskinan yang tinggi, seperti yang dilaporkan oleh Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, pada akhir Januari 2010: “Berpuluh-puluh juta lebih penduduk di Afrika dan tempat-tempat lain diheret dalam kemiskinan pada tahun ini, meskipun dunia pulih daripada krisis kewangan global.
“Poverty and Recovery” demikian tajuan editorial The New York Times pada pertengahan Januari 2011. Pada tahun 2008, tahun pertama Great Recession, bilangan penduduk Amerika yang hidup dalam kemiskinan meningkat sebanyak 1.7 juta orang kepada hampir 47.5 juta orang. “Jelas bahawa skala meningkat kemiskinan,” tulis editorial itu, "iaitu 15.7 peratus daripada jumlah penduduk negara ini tidak dapat diterima.”
Editorial Monthly Review keluaran terbaharu nampaknya meragui bahawa pemulihan di Amerika, walaupun selepas 21 diisytiharkan bahawa Great Recession telah berakhir dengan merujuk kepada kadar pengangguran 9.4 peratus pada Disember 2010, yang mewakili kira-kira 14.5 juta orang. Selain pengangguran yang tinggi yang mustahil dapat diselesaikan dengan kadar pertumbuhan yang rendah, editorial itu juga menarik perhatian terhadap 19 juta penduduk negara itu yang mempunyai pendapatan tahunan kurang daripada separuh tahap kemiskinan, iaitu amaun sama dengan AS$10,977 untuk isi keluargan seramai empat orang. “Ketidaksamaan pendapatan semakin teruk, kerana kebanyakan yang menguasai pendapatan negara kini ialah satu peratus isi rumah yang terkaya.
Wujud keraguan terhadap pemulihan kerana dunia bukannya terjebak dalam recession, tetapi dalam depression yang pastinya memerlukan masa yang lama untuk pulih. Tindakan banyak negara yang begitu cepat melaksanakan jimat-cermat dijangkakan membantutkan tempo pemulihan.

No comments:
Post a Comment