Artikel Popular

Thursday, March 10, 2011

Politik Tebusan

KHAMIS,  10 Mac 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH

“Tiada kakitangan tetap dan kontrak yang diperuntukkan khusus untuk isteri Perdana Menteri.”  “Several officers in the Prime Minister’s Department have assigned to help Datin Seri Rosmah Mansor as the Prime Minister’s wife although she has no aides.” Demikian laporan beberapa akhbar hari ini tentang sidang Dewan Rakyat yang berlangsung pada 9 Mac. 
Dalam konteks politik Malaysia masa kini, jangan terperanjat jika “tidak dapat tanduk telinga dipulas.”  Parti politik  akan menyelongkar apa-apa sahaja untuk menyerang pihak lawan.  Dan, jika pihak lawan itu pemimpin negara, nescaya bukan sahaja individu berkenaan dijadikan sasaran, bahkan isteri dan kaum keluarga terdekat turut dibabitkan.  Mereka berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin  tebusan  kerana ini merupakan satu kekuatan.
Sejak menduduki Rumah Putih pada awal 2009,  bukan sahaja Presiden Barack Obama dijadikan “tebusan” oleh Republikan terutamanya, bahkan Wanita Pertama, Michelle Obama turut menerima nasib yang sama.  Pilihan beliau tentang pakaian dan pereka, dikatakan sering menjadi tajuk berita sebagaimana pembuatan keputusan suaminya.
Selepas Presiden Ben Ali dan Presiden Hosni Mubarak tersungkur, Nesrine Malik menulisIce Queens of the Arab World”  yang mendedahkan kemewahan hidup isteri autokrat:  Lady Macbeth Tunisia, iaitu Leila Trabelsi, Suzanne Mubarak, bekas Wanita Pertama Mesir, dan Permaisuri Rania Jordan.  

Dalam arena politik tanah air, selepas menang dengan gilang gemilang dalam Pilihan Raya Umum 2004, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu, mula dikaitkan dengan orang di sekiling beliau yang kebanyakannya terdiri daripada kaum keluarganya.   Faktor ini sering digembar-gemburkan  bukan sahaja oleh parti lawan, bahkan juga dalam kalangan anggota UMNO sendiri untuk memperlekeh beliau.  Nyata bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk membebaskan dirinya  daripada segala tohmahan  sehinggalah beliau akhirnya terpaksa bersara.
Sepintas lalu, soalan yang dikemukakan di Dewan Rakyat itu boleh dianggap soalan “murahan,” soalan kedai kopi yang diusung  ke Parlimen. Namun, soalan sedemikian mempunyai impak dari segi strategi kerana  semakin banyak orang yang dijadikan tebusan, maka semakin sukar  usaha  pembebasan. 

Politik, seperti yang pernah diperkatakan, “bukannya ‘sains,’ tetapi perjuangan berasaskan intuisi dan perhitungan rasional tentang kemungkinan.”  Memilih orang tertentu untuk  dijadikan tebusan, sememangnya perhitungan rasional tentang kemungkinan.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...