Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Apabila krisis kewangan melanda dan dunia diancam
kemelesetan, pelan penyelamat dan
rangsangan ekonomi menjadi
pilihan utama. Kira-kira dua tahun
berlalu, kedua-dua petua yang dianggap mujarab itu mula dilupakan. Kalaupun masih wujud hanyalah rangsangan ekonomi, itu pun di penghujung pelaksanaan.
Meskipun sesetengah ahli ekonomi dan
penggubal dasar mengingatkan bahawa dengan strategi keluar yang begitu
cepat, kemungkinan dunia mengalami kemelesetan cerun
berganda, namun kebanyakan negara mula menutup bab pelaksanaan
rangsangan ekonomi. Bagi sesiapa
yang menonton televisyen kabel Bloomberg pada Jun lalu tentu dapat mengesani program yang seakan-akan menandakan detik kebenaran, “Age of Austerity.”
Ada yang menulis “selamat datang Zaman Jimat-cermat. Pastinya, jimat-cermat berlawanan dengan
kemakmuran. Jimat cermat buzzword yang akhir-akhir ini sentiasa
di lidah setiap orang. Dikatakan bahawa “Zaman mewah telah berlalu. Selamat datang Zaman Jimat-cermat.” Sejak bertahun-tahun ahli-ahli politik membahaskan bagaimana untuk
berbelanja hasil pertumbuhan. Untuk
tahun-tahun mendatang, tidak dapat tidak mereka akan membahaskan apakah yang
patut dipotong. Menendang keluar semula
kemakmuran pada Zaman Jimat-cermat.
Satu
daripada tiga cara untuk keluar daripada krisis, seperti yang dicadangkan oleh Niall
Ferguson, Profesor Sejarah, Harvard University ketika menyampaikan Syarahan
Niarchos tahunan kesembilan di Peterson Institute for International Economics,
Washington, DC pada 13 Mei lalu, "Fiscal Crises and
Imperial Collapses: Historical Perspectives on Current Predicaments,"
ialah kesengsaraan fiskal, yang bermaksud
meningkatkan cukai dan/atau memotong perbelanjaan awam.
Sesungguhnya, Ferguson tidak keseorangan kerana beberapa buah negara, terutamanya di Eropah,
dan tidak ketinggalan Jepun di bawah pimpinan baru, berlumba-lumba mendakap
mesra jimat cermat. Semasa sidang kemuncak di
Toronto, Kanada, pada akhir Jun lalu, para pemimpin G-20 bersetuju dengan
langkah memotong perbelanjaan dan meningkatkan cukai, meskipun Presiden Barack
Obama memberikan amaran bahawa terlalu berjimat-cermat dengan terlalu cepat
boleh membantutkan pemulihan global. Merentas
Eropah, kerajaan mengumumkan rejim jimat-cermat baru yang menonjolkan potongan
perbelanjaan dan pengenaan cukai yang tinggi dan bukan lagi perbelanjaan
rangsangan, meskipun dikhuatiri bahawa perubahan dahsyat akan mencampakkan
rantau itu ke dalam kemelesetan.
Kerajaan
Eropah, menurut Nouriel Roubini,
Profesor di New York University yang pernah meramalkan berlakunya krisis
kewangan, tidak mempunyai pilihan,
kecuali mengawal defisit. “Jimat-cermat bukannya pilihan,” beliau memberitahu akhbar Le Monde. “Menaikkan cukai
dan memotong perbelanjaan memang sengsara dari segi sosial. Akan tetapi, apakah alternatif yang ada?
Terus mengekalkan dasar belanjawan murah hati?
Pasaran telah pun memberikan amaran bahawa penerusan itu akan menyebabkan negara jatuh muflis.”
Terima kasih kepada krisis hutang kedaulatan Greece, yang
menggerunkan ahli politik, rangsangan keluar dan pengurangan defisit
masuk. Demikian tulis makalah “Austerity
Alarm” dalam The Economist yang merujuk kepada keputusan G-20 itu. Tambah makalah itu lagi, “selamat jalan
Keynes (John Maynard Keynes), helo Hoover (Presiden Amerika Herbert Hoover
semasa berlakunya Kemelesetan Besar 1930-an).”
Makalah itu juga memetik analisis terbaharu oleh Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF) yang mengatakan
bahawa jimat-cermat fiskal bersama-sama dengan pembaharuan struktur akan
menghasilkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada pelaksanaan jimat-cermat
semata-mata.
Perdana
Menteri, David Cameron memberitahu para pengundi bahawa Britain akan
mengharungi tahun-tahun jimat-cermat
dengan potongan yang lebih dalam sejak
Margaret Thatcher menjadi Perdana Menteri pada tahun 1980-an. Potongan yang dikenakan itu akan memakan masa
yang lama sejak Perang Dunia Kedua.
Sementara Perdana Menteri,
Jean-Claude Juncker yang mengetuai kumpulan Menteri Kewangan zon euro
memberitahu wartawan di Luxembourg
bahawa Sepanyol dan Portugal perlu mengambil usaha yang lebih untuk
mengurangkan defisit belanjawan masing-masing “melampaui tahun 2011”. Rancangan belanjawan jimat-cermat yang
diumumkan oleh kedua-dua buah negara itu, bagi Juncker, “signifikan dan berani”
dan akan dapat membantu menstabilkan tahap hutang.
Negara yang
banyak bergantung pada pelabur asing, seperti Greece, Perancis, Ireland,
Italy, dan Sepanyol dikatakan tidak mempunyai alternatif, sebaliknya mereka
mesti memotong perbelajaan demi mengelakkan daripada ditutup dari pasaran
modal. Pada awal Jun lalu, Greece,
Sepanyol, Italy, dan Portugal adalah antara negara zon euro yang melaksanakan
program jimat cermat. Perancis merancang
pembekuan perbelanjaan selama tiga tahun.
Hungary yang menjadi negara terbaru menanggung beban hutang terpaksa melakukan potongan
perbelanjaan yang drastik.
Di Jerman, Cancelor Angela Merkel mengambil
langkah yang sama dengan merancang potongan belanjawan, meskipun ditentang oleh
kesatuan sekerja kerana langkah itu dianggap tidak adil kepada golongan miskin
dan yang tidak mempunyai pekerjaan.
Beliau mengumumkan program empat
tahun untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak AS$97.6 bilion dalam
perbelanjaan persekutuan antara tahun 2011 hingga 2014 dalam usaha untuk
memperkukuh mata wang euro.
Reaksi
kesatuan sekerja terhadap rancangan Merkel mencerminkan tentangan yang meluas
terhadap langkah jimat-cermat apabila kerajaan Eropah mencuba untuk
mengurangkan defisit dan hutang yang melamahkan euro. Oleh sebab penduduk Eropah mula merasakan kesan potongan dalam faedah
kebajikan masyarakat, kemarahan orang ramai merebak, seperti yang berlaku di
Sepanyol, Greece, dan Ireland. Ketegangan
juga berlaku antara kerajaan Kesatuan Eropah (EU) bagaimana untuk mengurangkan
perbelanjaan, manakala Britain pula menolak rancangan EU supaya semua
belanjawan negara mesti diteliti oleh negara lain sebelum belanjawan itu
diluluskan.
Apabila
Canselor George Osborne melaksanakan langkah jimat-cermat untuk setiap keluarga di
Britain, dengan mengumumkan pakej 40
bilion paun sterling dari segi peningkatan cukai kecemasan, potongan kebajikan,
dan kekangan perbelanjan Whitehall, antara kritikan yang dilemparkan ialah
“sengsara sekarang, sengsara yang lebih
teruk kemudian dalam rancangan jimat
cermat.” Meskipun langkah Belanjawan 2010 yang disediakan untuk mengubah defisit
struktur dalam perbelanjaan 4.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
kepada lebihan 0.3 peratus dalam empat tahun dihargai oleh agensi penarafan,
Fitch sebagai “penting untuk mengukuhkan
keyakinan” dan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)
menganggapnya “langkah berani,” namun ada yang mengingatkan bahawa “Tory mendapat gambaran yang sama salah sama
sekali tentang kemelesetan, kini mereka mendapat gambaran yang salah tentang
pemulihan.” Meskipun diakui bahawa defisit mesti dipotong, tetapi tergesa-gesa
melaksanakan jimat-cermat berhadapan dengan risiko melemahkan pemulihan global
yang tidak kukuh.
Akhbar
The Observer dalam editorialnya pada 20 Jun 2010, “The Austerity Agenda Must
Not Go Unopposed” yang memang tidak
mengalu-alukan langkah jimat cermat itu, membahaskan kurang kepastian bahawa situasi ekonomi yang
mewajarkan tajuk yang agak histeria, iaitu “belanjawan kecemasan” yang
diperkenalkan oleh Osborne. Menurut
editorial itu, tajuk berkenaan bermaksud untuk menghantar mesej bahawa kerajaan Konservatif tidak takut untuk
melaksanakan jimat cermat dengan tergesa-gesa dan bahawa kerajaan Buruh
mengheret negara ke dalam kancah malapetaka.
“Kecemasan” bahas editorial itu dalam konteks itu ialah slogan politik.
“Tuan
Osborne mengambil risiko berganda.
Pertaruhan pertama ialah ekonomi dengan mempertaruhkan bahawa keyakinan
dan permintaan dalam ekonomi adalah cukup tinggi untuk bertahan daripada
berhenti dengan secara mendadak pengambilan keluaran wang awam. Dengan harapan bahawa aktiviti sektor awam
akan berkembang maju untuk pampasan bagiu sektor awam yang mengecut. Pertaruhan kedua ialah politik. Tuan Osborne dalam mengharapkan orang awam
British menerima doktrin Konservatif bahawa pengecutan drastik kerajaan adalah
idea yang bagus, bahkan jika keadaan
membenarkan pendekatan yang lebih lembut.”
Kerajaan
Tory mencuba secara berlawanan untuk menjual pandangan “Masyarakat Besar”
adalah alternatif yang lebih cekap kepada campur tangan birokratik. Walau bagaimanapun, editorial itu
mengingatkan bahawa jika orang awam berasa ragu-ragu terhadap penegasan itu,
jimat-cermat tidak lama lagi kelihatan seperti sadisme. “Jika Tuan Osborne juga silap tentang
kemampuan ekonomi yang sedang pulih dapat bertahan daripada potongan
perbelanjaan, kerajaan Tory akan mendapati
diri mereka kelihatan kedua-duanya, iaitu teruk dan bodoh,” hujah
editorial itu.
Apabila
agensi penarafan, Moody’s menurunkan pengkadaran kredit Ireland daripada AA1
kepada AA2 pada pertengahan Julai lalu,
para pengkritik mengambil kesempatan untuk menggasak belanjawan kecemasan Canselor George Osborne: “Biar penurunan gred Ireland menjadi
pengajaran kepada beliau.” Seperti yang
ditegaskan oleh bekas Canselor Alistair Darling, pengalaman Ireland merupakan
pengajaran yang sungguh berguna tentang akibat pemotongan perbelanjaan awam
dengan begitu cepat. “Jika anda menumbuk
keluar kemampuan untuk tumbuh,” ulas beliau, “anda menumbuk keluar kemampuan
untuk membayar balik hutang anda. Anda
tidak akan dapat membayar balik hutang, kecuali anda mengalami pertumbuhan. Dengan mengambil langkah untuk pergi jauh dan
dengan terlalu pantas, anda tidak mengalami pertumbuhan, anda melengahkan
pemulihan.”
Ireland
mengalami kemerosotan yang dalam jika dibandingkan dengan mana-mana negara
dalam EU ketika krisis sejak tiga tahun lalu, dengan KDNK merosot sebanyak 10
peratus pada tahun 2008 dan 2009, dan dijangka akan jatuh lagi pada tahun
berikutnya, 2010. Pengangguran kini mencecah 4.5 juta orang adalah di atas 13
peratus. Gaji sektor awam, bayaran
kebajikan dan projek infrastruktur merupakan sasaran kerajaan Irish dalam
usahanya untuk mengatasi defisit belanjawan yang meningkat. Ireland melakukan pemotongan terlalu drastik,
dan jika langkah negara itu ditiru oleh negara lain, nescaya peluang untuk
mengalami pertumbuhan yang sangat diharap-harapkan akan menyusut dengan serius.
Dietmar
Hornung, yang mengetuai penganalisis Moody’s untuk Ireland dilaporkan berkata,
“Negara ini mengalami pengecutan yang serius dalam KDNK sejak 2008 yang
berpunca daripada kemerosotan yang ketara dalam hasil cukai. Hutang kerajaan dengan nisbah KDNK meningkat
daripada 25 peratus sebelum krisis kepada 64 peratus pada akhir 2008, dan
nisbah ini terus meningkat.”
Pengalaman
Ireland sekarang dianggap sebagai “gambaran kos tinggi jimat cermat.”
Apabila ekonomi utama Eropah memberikan tumpuan terhadap “mengetatkan tali
pinggang” sebenarnya mereka mengikut jejak Ireland. Namun begitu, kini disedari bahawa
apabila negara yang berkembang maju,
iaitu Ireland terpaksa bertungkus-lumus
untuk keluar daripada krisis, tanda-tanda pemulihan segera masih tidak kelihatan. Kira-kira dua tahun lalu, ekonomi runtuh
memaksa negara itu memotong perbelanjaan awam dan menaikkan cukai, bentuk langkah jimat cermat yang pasaran
kewangan kini mendesak negara perindustrian paling maju mengambil pendekatan
yang serupa. Maka, tidak memeranjatkan
sekiranya negara yang mengikut langkah
Ireland akan mengalami nasib yang sama: terjerumus ke dalam kemelesetan.
Ketika
diwawancara oleh Carol Massar daripada “Street Smart” Bloomberg, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi,
Paul Krugman mencadangkan Amerika Syarikat sepatutnya mempunyai “strategi sink
dapur” yang menggunakan semua dasar fiskal dan monetari seberapa mungkin untuk
mencegah ekonomi daripada terjebak semula ke dalam kemelesetan. Tatkala negara Eropah, seperti Jerman
menggesa pelaksanaan jimat cermat untuk menyelubungi defisit belanjawan, beliau
menggesa lebih banyak rangsangan untuk mencegah Amerika daripada mengulangi
dekad yang tidak menyenangkan yang dialami oleh Jepun pada tahun 1990-an.
Krugman
adalah antara ahli ekonomi yang tidak bersetuju dengan langkah jimat cermat
yang dilaksanakan sekarang. Tatkala
negara Eropah berlumba-lumba melaksanakan jimat cermat seolah-olah tidak
mempedulikan akibat buruk yang akan menimpa, Krugman menulis “Myths of
Austerity” dalam kolumnya dalam The New York Times pada 1 Julai. Beliau mengkritik secara sinis bahawa
kepercayaan “Orang Serius” bergantung
pada prejudis, dan bukannya analisis.
Dan prejudis ini tertakluk kepada sementara dan cara (fads and fashions).
“Untuk
beberapa bulan lalu,” tulis Krugman, “saya dan lain-lain memerhatikan dengan
hairan dan gerun, kemunculan konsensus dalam lingkungan dasar yang mengutamakan
jimat cermat fiskal yang segera. Beliau
tidak setuju dengan pandangan bahawa jangan bimbang: “potongan perbelanjaan mungkin menyakitkan,
tetapi pari-pari keyakinan akan membawa pergi kesakitan itu.” Beliau juga tidak setuju dengan pandangan
Jean-Claude Trichet, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB): “idea bahawa
langkah jimat cermat boleh mencetuskan keadaan tidak berkembang adalah
tidak benar.”
Tanpa
menafikan bahawa wujud kes sejarah potongan perbelanjaan dan peningkatan cukai
disusuli oleh pertumbuhan ekonomi, Krugman mempersoalkan apakah bukti untuk
mempercayai bahawa penyusutan fiskal adalah sebenar pengembangan fiskal. “Meskipun wujud kes yang kesan negatif jimat-cermat adalah diimbangi oleh faktor lain, “hujah beliau, “faktor itu tidak
mungkin relevan lagi hari ini. Misalnya,
era jimat-cermat dengan pertumbuhan Ireland pada tahun 1980-an bergantung pada gerakan drastik daripada defisit perdagangan kepada
lebihan perdagangan, satu strategi yang setiap orang teruskan pada masa yang
sama.”
Untuk
mempertahankan hujahnya bahawa jimat-cermat akan mencetuskan kesan buruk
terhadap ekonomi yang masih tidak stabil, Krugman merujuk kepada “pahlawan yang
bagus” dalam krisis ini, namun akibat silap perhitungan semua kecundang: Ireland yang bermati-matian melaksanakan
potongan perbelanjaan yang sangat drastik.
Ganjarannya, negara itu terjebak dalam kemerosotan tahap Kemelesetan –
dan pasaran kewangan terus-menerus mengancam negara itu kerana risiko
kemungkiran yang serius. Dua lagi
“pahlawan yang bagus”, seperti Latvia dan Estonia, bahkan lebih teruk – dan
semua ketiga-tiga negara ini, percaya atau tidak, mengalami kemerosotan yang
teruk dari segi output dan guna tenaga berbanding dengan Iceland. Bahkan, Krugman mengingatkan “Oleh itu, pada
masa akan datang anda mendengar penjelasan orang yang bunyi serius tentang
perlunya jimat cermat fiskal, cuba huraikan hujah mereka.”
Dalam
kolumnya sebelum ini, Krugman menulis: Rizab
Persekutuan nampaknya sedar akan risiko deflasi, tetapi tidak mencadangkan
apa-apa untuk menangani risiko ini.
Pentadbiran Obama memahami bahaya jimat cermat fiskal yang belum tiba
waktunya, anggota Republikan dan Demokrat yang konservatif dalam Kongres tidak
meluluskan bantuan tambahan kepada kerajaan negeri, bahawa jimat-cermat yang sedang mara di Amerika dalam
bentuk potongan belanjawan di peringkat kerajaan tempatan dan negeri.
Pihak
yang lebih kritis mempersoalkan
kewajaran dan ketulusan langkah jimat-cermat: mengapa dan untuk siapa? Jawapannya ialah untuk perusahaan kewangan yang mendesak kerajaan menaikkan cukai atau
memotong perbelanjaan atau kedua-duanya sekali.
Dengan langkah itu, kerajaan akan mempunyai wang yang lebih banyak untuk
membayar faedah pinjaman dan membayar balik pinjaman. Kerajaan yang gagal melaksanakan jimat-cermat
akan berhadapan dengan kadar faedah yang tinggi untuk pinjaman baru atau
pinjaman yang diperbaharui atau dinafikan pinjaman sama sekali. Dihujahkan bahawa jimat-cermat satu lagi
beban tambahan yang dikenakan terhadap ekonomi global oleh krisis kapitalis.
Sama ada teriakan “Kita semua Keynes sekarang”
ataupun digantikan oleh “Kita semua Hoover sekarang” sesungguhnya, ini semua
mencerminkan peperangan idea, khususnya antara “Wall Street” dengan “Main
Street.” Apabila berlaku sesuatu krisis,
baik krisis ekonomi mahupun krisis politik, banyak orang ingin memperlihatkan kehebatan dengan mengemukakan
idea masing-masing. Namun begitu, tanpa
pertumbuhan, semua idea dan juga kesengsaraan yang ditanggung akibat
pelaksanaan sesuatu dasar tidak bermakna
sama sekali. Akhirnya, orang akan bertanya di manakah pertumbuhan?
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, September 2012.)
No comments:
Post a Comment