Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selepas Suharto digulingkan pada Mei 1998, Indonesia dipimpin oleh tiga orang Presiden, iaitu Jusuf Habibi, Abdurrahman Wahid (Gus Dur), dan Megawati Sukarnoputri yang boleh dikatakan kesemuanya berkhidmat dalam masa yang pendek dan tidak banyak kemajuan yang dicapai untuk negara itu. Kemudian, tiba giliran Susilo Bambang Yudhoyono yang menjadi Presiden Indonesia sejak tahun 2004.
Di bawah kepimpinan Susilo, Indonesia mengalami kemajuan yang pesat dengan pertumbuhan ekonomi yang membanggakan, sedangkan banyak negara masih terbenam dalam kemelesetan atau mencatatkan pertumbuhan yang lemah. Fareed Zakaria yang pernah dipetik dalam blog ini, membayangkan "I" untuk negara BRIC, iaitu India berkemungkinan digantikan oleh Indonesia.
William Pesek yang menulis dalam Bloomberg, mengimbas keadaan 15 tahun lalu, ketika Indonesia kelihatan menjunam ke arah perpecahan, seperti yang pernah berlaku terhadap Kesatuan Soviet. "Yudhoyono," hujah Pesek, "bukan sekadar mengatasi jangkaan setiap orang, bahkan beliau mampu memenuhi keperluan 240 juta rakyatnya, memodenkan ekonomi, mendampingi dirinya dengan timbalan yang berkemampuan, mengurangkan keganasan, mengurangkan peranan tentera dalam masyarakat, dan memerangi gejala rasuah yang Suharto bina ketika belia berkuasa selama 32 tahun.
Tambah Pesek lagi, hari ini apabila Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengalungi Asia Tenggara kerana bangkit dari tempoh kacau-bilau global, sesungguhnya, pengiktirafan bagaimana Indonesia mencapainya dalam lapan tahun lalu. OECD, menurut beliau, meramalkan pertumbuhan 6.4 peratus bagi Indonesia dari tahun 2013 hingga 2017, menyamai pencapaian yang dicatatkan dalam dua dekad lalu sebelum krisis Asia 1997-1998.
Prestasi itu, jelas Pesek, menyebabkan Yudhoyono mendapat sanjungan ketika Sidang Kemuncak Asia Timur di Kemboja yang turut dihadiri oleh Presiden Barack Obama. Yudhoyono juga muncul sebagai broker kuasa serantau. Beliau dengan yakin menampilkan dirinya dalam memainkan peranan negara Asia kanan, menyuarakan pandangannya tentang orang Islam minoriti Rohingya di Myanmar dan peristiwa di Timur Tengah.
"Di Phnom Penh," catat Pesek, "Yudhoyono menyampaikan suara Asia apabila beliau menggesa Obama mendesak Israel menghentikan serangan udara ke atas Lembah Gaza."
Pesek yang turut menyentuh BRIC yang berkemungkinan menjadi BRIIC (Brazil, Rusia, India, Indonesia, dan China).
No comments:
Post a Comment