Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Peperangan tanpa kesudahan antara Israel dengan Palestin meletus semula baru-baru ini apabila Israel dan Hamas terjebak dalam persengketaan. Selepas lapan hari konflik Gaza menyaksikan serangan roket Hamas, serangan udara Israel, yang menumpahkan darah serta mengorbankan nyawa, terutamanya umat Palestin, kedua-dua pihak, bersetuju mengadakan gencatan senjata, yang dijangkakan tidak dapat bertahan lama, tetapi bagi Hamas, suatu kemenangan bagi mereka.
Perisytiharan Hamas ini, senada dengan apa yang dicatatkan oleh Aaron David Miller dalam Foreign Policy, "Hamas menang dalam peperangan, tidak kira benar-benar penting Israel menang pertarungan."
Bagi pihak Israel pula, meskipun wujud gesaan supaya Hamas menjadi "padang jarak padang tekukur," Israel sebenarnya, menurut James Zogby, berjaya menjinakkan Hamas. Walau bagaimanapun, Raymond J. Learsy berpendapat dan memetik The New York Times, bahawa Hamas bersepakat dengan Israel dalam usaha untuk mengimbangi kemaraan kumpulan Salafis di Gaza.
Sebenarnya, siapakah pemenang? soal The Economist dan Time. Adakah Israel benar-benar menang? Dan Epron yang menulis dalam The Daily Beast, menyenaraikan pemenang dan yang tewas berikutan persetujuan gencatan senjata itu. Pemenang: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Hamas, manakala yang tewas: Mahmoud Abbas, dan rakyat Israel dan umat Palestin. Abbas kelihatan terpinggir dan tidak relevan di Tebing Barat, manakala Hamas memperkukuh kedudukan di Gaza.
Walaupun Israel dan Hamas menuntut kemenangan, seperti yang dibahaskan oleh Marc Champion, kedua-duanya sebenarnya kalah. Sebalikanya, tegas beliau yang menang ialah Iran dan Mesir.
Bagi Israel, seperti yang dibahaskan oleh David Milband, dasar yang dilaksanakannya mengundang bencana. Beliau juga memetik Financial Times bahawa Israel memerlukan strategi dan bukannya peperangan. Sementara Robert Fisk yang menulis dalam The Independent menegaskan bahawa dalam persengketaan terbaharu ini, Benjamin Netanyahu mengheret Israel ke dalam pengasingan.
Tidak kira siapakah pemenangnya, yang jelas Israel diperhatikan menggunakan Gaza untuk membuat persediaan menyerang Iran. Sementara Iran pula dilaporkan terlibat dalam menyediakan teknologi kepada Hamas untuk "dengan cepat" mengeluarkan peluru berpandu jarak jauh sendiri tanpa memerlukan penghantaran langsung.
nice, I found this blog very useful for me, Great informative information.
ReplyDelete