Artikel Popular

Thursday, November 22, 2012

Larian Lembu Jantan Tersungkur?

KHAMIS, 22 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




"Dr.  Doom," Nouriel Roubini yang menulis dalam Economics Blog The Guardian menegaskan bahawa kerancakan  pasaran saham mula longlai.  Peningkatan dalam pasaran ekuiti globla yang bemula pada Julai kini hilang rentak, yang tidak memeranjatkan sama sekali.    Hal ini demikian kerana tidak ada peningkatan signifikan dalam prospek pertumbuhan, sama ada dalam ekonomi maju ataupun ekonomi sedang muncul, kerancakan selalunya kelihatan tidak bertenaga.  Jika ada, pembetulan akan datang tidak lama lagi, berdasarkan data makroekonomi yang muram dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Bermula dengan ekonomi maju, jelas Roubini, kemelesetan zon euro merebak dari pinggir ke pusat, dengan Perancis mula terjebak dalam kemelesetan dan Jerman menghadapi kemusnahan berganda pertumbuhan yang perlahan dalam sebuah pasaran utama (China/Asia) dan penguncupan serta-merta di negara lain (Eropah selatan).  Pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat masih anemia, pada kadar 1.5 peratus hingga dua peratus, dan Jepun terbenam dalam kemelesetan baru.  Sebagaimana zon euro, jelas Roubini lagi, United Kingdom telah terjebak dalam kemelesetan curam berganda, dan bahkan kini, pengeksport komoditi yang kuat, iaitu Kanada, negara Nordic, dan Australia - adalah perlahan dalam menempuh angin depan dari Amerika Syarikat,  Eropah, dan China.

Sementara itu, ekonomi pasaran sedang muncul, menurut Roubini, termasuk semua BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) dan pemain utama, seperti Argentina, Turki, dan Afrika Selatan, juga perlahan pada tahun 2012.

Krisis zon euro semakin dalam apabila perbincangan hutang Greece gagal.  Beberapa hari lalu, Moody's Investors Services, agensi penarafan kredit, melucutkan penarafan kredit kedaulatan Perancis daripada AAA.  Agensi tersebut meletakkan Perancis pada tinjauan negatif pada Februari lalu.  Kini, negara itu diberikan penarafan AA1.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...