Artikel Popular

Sunday, November 11, 2012

Wang dalam Demokrasi

AHAD, 11 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Amerika Syarikat bukan sahaja berbangga dengan amalan demokrasi, bahkan begitu gigih menyebarkan demokrasi di dunia membangun, biarpun melalui kekerasan, seperti yang dilakukan terhadap Iraq.  Hakikatnya, di Amerika Syarikat, demokrasi tidak seindah, seperti yang digembar-gemburkan.  Pencemaran atau lebih tepat pencabulan terhadap demokrasi berlaku dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2000, apabila dengan perintah mahkamah, Florida yang menjadi rebutan, menjadi milik George W. Bush, meskipun pihak Al Gore meminta undi dihitung semula.

Dari setahun ke setahun, wang begitu bermaharajalela dalam politik Amerika, dan dengan itu, menundukkan demokrasi.  Dalam pilihan raya yang baru sahaja berakhir, dianggarkan AS$6 bilion dibelanjakan, meningkat 13 peratus daripada perbelanjaan tahun 2008. Bagi kempen Obama, para penyokong membelanjakan kira-kira AS$932 juta, lebih rendah daripada kempen Romney, yang jumlahnya kira-kira AS$1.28 bilion.  "Tidak pernah berlaku sebelum ini," tulis Kenneth P. Vogel, "dolar besar memberikan impak yang besar terhadap politik dan tadbir urus."  Para hartawan diperhatikan berlumba-lumba untuk mencurahkan wang untuk membantu kemenangan Presiden Barack Obama atau bekas Gabenor Mitt Romney.

Di Ohio, negeri medan pertempuran, kedua-dua pihak, iaitu Barack Obama dan Mitt Romney berbelanja lebih AS$207 juta dan di Florida AS$170 juta.  Bahkan untuk memenangi perlumbaan Senat di Massachusetts, Elizabeth Waren (Demokrat) berbelanja AS$67 juta - mungkin berbaloi kerana beliau berjaya menewaskan penjawat kini, Scott Brown (Republikan)- untuk merampas semula kerusi yang ditinggalkan oleh Edward Kennedy yang mendiang kuasai kira-kira setengah abad.  Elizabeth Warren lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan Linda McMahon (Republikan) yang berbelanja besar dalam dua pertandingan, tetapi gagal.

Di bawah ini dipetik data yang dikemukakan oleh Time, berdasarkan pelbagai sumber:

Pendek kata, dalam amalan demokrasi, sesiapa yang tidak mempunyai sumber kewangan atau sokongan kewangan, seperti yang berlaku di Amerika,  tidak perlu berangan-angan untuk menceburi area politik.  Dalam politik, kalau tidak ada wang jangan cakap banyak.  

Demikian juga di Malaysia, segala-galanya wang, bukan sahaja untuk kempen, tetapi untuk ke sana ke mari, di samping untuk pengurusan serta pentadbiran parti.  Sebuah pejabat parti di peringkat cawangan, ranting, atau cabang, semua memerlukan wang: sewa bangunan, bil elektrik, air, dan telefon, dan gaji staf.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...