Artikel Popular

Thursday, November 1, 2012

Mana Satu Peninjau Pendapat dan Model yang Akan Menang?

KHAMIS, 1 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hari Pilihan Raya yang hanya tinggal enam hari lagi turut dihangatkan oleh kehadiran cerdik pandai dan tinjauan pendapat yang bukan sahaja ingin memberikan gambaran, tetapi juga mencorakkan pilihan raya. 

Menjelang  detik penentuan, kejutan Oktober yang dinanti-nantikan telah pun berlaku apabila Taufan Sandy menggila di Pantai Timur Amerika Syarikat, yang akibat  dari segi politik menyaksikan "kisah cinta" antara Presiden Barack Obama dengan Gabenor New Jersey Chris Christie (Republikan) yang sebelum ini tidak sehaluan. Jelas bahawa Obama tidak membiarkan dirinya dihempas oleh taufan itu tatkala beliau menghadapi pilihan raya. Obama memperoleh markah yang tinggi kerana respons beliau terhadap Taufan Sandy, menurut tinjauan pendapat penjejakan The Washington Post/ABC News yang baru sahaja dikeluarkan.

Kedua-dua pihak, iaitu kempen Obama dan kempen Romney, bukan sahaja berasa yakin bahawa calon masing-masing, iaitu Barack Obama dan Mitt Romney akan menang, bahkan juga menafikan kekuatan lawan, seperti yang dibahaskan oleh Jonathan Martin dalam Politico dan Alex Altman dalam Time.   

Meskipun angkatan Romney  dilaporkan mula memasuki wilayah Demokrat, iaitu Pennsylvania, Michigan, dan Minnesota, kempen Obama nampaknya tidak berasa bimbang.  Romney yang didapati semakin tidak mempunyai harapan di Ohio dicadangkan supaya kempennya terus berjuang di negeri yang mempunyai 18 undi badan perwakilan pemilih: tanpa Ohio impian ke Rumah Putih tidak akan kesampaian.  Di sebalik usaha untuk "menawan" wilayah  biru itu, tinjauan pendapat terbaharu oleh The Wall Street Journal/NBC/Marist menunjukkan Obama mengekalkan kedudukannya mendahului Romney di tiga buah negeri berayun, iaitu Iowa, New Hampshire, dan Wisconsin.

Sementara beberapa tinjauan pendapat terbaharu, secara keseluruhannya memihak kepada Obama, misalnya TPM, menjangkakan beliau menguasai  303 berbanding 191 undi badan perwakilan pemilih untuk Romney, manakala 44 lagi "lambung duit."  Sementara The Economist melalui "negeri menjadi rebutan" pada 31 Oktober, menjangkakan Obama menguasai 261 undi badan perwakilan pemilih, 206 untuk Romney, dan 71 lagi bersaing sama-sama hebat. Akhbar Internet, iaitu The Huffington Post dalam ramalan terbaharu menjangkakan Obama memperoleh  277 undi badan perwakilan pemilih, 206 untuk Romney, dan 55 lagi "lambung duit."  Politico pula menjangkakan Obama memperoleh 290 dan Romney 248 undi badan perwakilan pemilih.

Pilihan raya kali ini bukan sahaja menyaksikan pertandingan Barack Obama dengan Mitt Romney (tidak termasuk calon parti ketiga yang turut bertanding), tetapi juga, menurut Harry J. Enten, tertumpu pada  peninjau pendapat (pollster) dan kaedah tinjauan pendapat yang akan menang kelak. Enten menyenaraikan: (1) purata peninjauan pendapat tradisional berbanding dengan purata peninjauan pendapat terpencong, (2) peninjauan pendapat negeri berbanding dengan nasional, (3) kemungkinan pengundi berbanding dengan pengundi berdaftar, (4) tinjauan pendapat langsung berbanding dengan tinjauan pendapat diautomasikan, dan (5), tinjauan pendapat Public Policy Polling (PPP) berbanding dengan Rasmussen.

Untuk yang pertama, Harry berpendapat, purata peninjauan pendapat tradisional berkesan; untuk yang kedua, berdasarkan pengalaman yang lalu, negeri menang berbanding dengan nasional;  untuk yang  ketiga,  beliau cenderung kepada kemungkinan pengundi untuk mempercayai, sekurang-kurangnya dalam data negeri; untuk yang keempat, berdasarkan rekod lalu, kedua-duanya adalah tepat; dan untuk yang kelima, PPP milik Demokrat dan Rasmussen milik Republikan, kedua-duanya sangat berbeza dari segi data negeri.  PPP menunjukkan bahawa Obama mendahului Romney di Colorado, Florida, New Hampshire, Ohio, dan Virginia, manakala Rasmussen menunjukkan Romney mendahului di semua negeri berkenaan.  "Mereka tidak boleh kedua-duanya betul," tegas Enten.

James Poniewozik yang menulis dalam Time cuba menunjukkan bahawa pilihan raya kali bukan sahaja melibatkan Obama dan Romney, bahkan juga pertandingan antara cerdik pandai yang cuba menganalisis perlumbaan dengan gerak hati mereka, dengan baka baru guru statistik yang cuba meramalkannya dengan menggunakan data.

Dalam kalangan guru statistik itu, tegas Poniewozik, Nate Silver daripada FiveThirtyEight  New York Times mendapat lebih perhatian pada tahun ini yang menunjukkan kempen tidak terikat, tetapi Obama mempunyai kelebihan yang jelas. Dalam ramalan terbaharu yang dikemaskinikan pada 1 November, Obama dijangkakan memperoleh 300.4 berbanding 237.6 undi badan perwakilan pemilih untuk Romney.  Peluang menang Obama ialah 79.0 peratus dan Romney 21.0 peratus.  

Sam Wang daripada Princeton Election Consortium juga dirujuk oleh Poniewozik sebagai guru statistik.  Dalam ramalan terbaharunya, iaitu pada 31 Oktober, Wang menjangkakan Obama memperoleh 303 undi badan perwakilan pemilih mengatasi Romney yang memperoleh 235 undi. 

Dalam kalangan guru statistik,  model  Nate Silver menjadi sasaran kritikan, kerana menyebelahi Obama,  meskipun bukan  beliau  seorang sahaja yang  mengatakan Obama menang.  Berbanding dengan beberapa model lain bahawa kemungkinan Obama menang,  model Silver dikatakan konservatif.  Dylan Byers yang menulis dalam Politico,  "menyindir" bahawa Silver merupakan selebriti satu penggal,  seakan-akan membayangkan bahawa ramalan beliau kali ini tidak tepat.  Namun, bagi Elspeth Reeve, "orang yang tidak tahu matematik yang terlalu  naik gila terhadap Nate Silver."



Selain pengundi yang tidak dapat membuat keputusan, perbezaan tinjauan antara negeri dengan nasional turut  mendapat perhatian, seperti yang cuba dijelaskan oleh Sean Trende dalam RealClearPolitics.  Antara kedua-dua ini, iaitu negeri dengan nasional, Harry J. Enten dan Nate Silver mempercayai negeri dalam menentukan kemenangan calon.  

Walau bagaimanapun, dalam kalangan kemungkinan pengundi, menurut tinjauan pendapat penjejakan The Washington Post/ABC News, mereka mengatakan bahawa kemenangan sepatutnya ditentukan oleh  undi popular berbanding dengan badan perwakilan pemilih.  Setakat ini, Obama diperhatikan menguasai undi badan perwakilan pemilih dan Romney menguasai undi popular, tetapi  hal ini belum pasti memberikan kelebihan kepada Obama.

Meskipun tinjauan pendapat dan model lebih memihak kepada Obama, seminggu sebelum Hari Pilihan Raya, tegas Ed Rogers, tidak ada berita baik untuk beliau, antaranya pengundian awal di beberapa buah negeri yang dipercayai memberikan kelebihan kepada beliau: tinjauan pendapat Galllup menunjukkan sebaliknya, iaitu kelebihan kepada Romney.

David Weigel yang mengulas tinjauan pendapat itu, menegaskan bahawa pengundian awal kelihatan teruk untuk Obama.  Namun, untuk mendapat gambaran yang lebih luas,iaitu  tidak hanya bergantung pada Gallup, Weigel meninjau blog pengundian awal yang disediakan oleh kempen Obama, seperti yang ditujukkan di bawah ini:



Empat model yang dikemukakan  oleh Kevin Drum yang dipetik sebelum ini, yang kesemuanya meramalkan kemenangan Obama.  Namun, dalam tulisan yang seterusnya, Drum melahirkan kebimbangan bahawa angka peninjauan pendapat yang baik mungkin membahayakan Obama. 

Tatkala kempen memasuki hari-hari terakhir, jelas bahawa Mitt Romney, menurut pemerhatian Howard Kurtz, terdampar oleh Sandy, manakala Obama pula,  bahas Michael Tomasky, mempunyai peluang untuk membuat perhitungan muktamad, iaitu menghentikan momentum Romney.

Pada hari Rabu ini (waktu Malaysia), mungkin selewat-lewatnya tengah hari, kita dapat mengetahui  keputusan pilihan raya ini, dan sekali gus menentukan tinjauan pendapat dan model yang menang.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...