Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Membaca tulisan Jonathan D. Fitzgerald dalam The Daily Beast, "How TV Killed the Republican Party's Family Values," sesungguhnya mempersegar ingatan saya bagaimana RTM dan TV3 menghakis pengaruh UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum tahun 2008. Telah diakui umum bahawa kedua-dua saluran televisyen tersebut, iaitu TV1 dan TV3 banyak membawa kerosakan berbanding dengan kebaikan terhadap parti pemerintah itu.
Oleh sebab saya sekarang amat jarang-jarang menonton kedua-dua saluran tersebut, saya tidak pasti, sama ada hal serupa masih berterusan, ataupun sebaliknya. Hanya saya dapati dalam Facebook, sering muncul Kami Boikot Buletin Utama TV3 dan tidak kurang yang sinis tentang saluran televisyen itu: TV tiga suku. Namun, tidak dapat dipastikan, sama ada pihak berkenaan benar-benar memboikot TV3 kerana daripada apa yang mereka bangkitkan seolah-olah mereka menonton saluran televisyen itu. Maksudnya, mereka tahu apakah berita yang disiarkan.
Balik kepada tulisan Fitzgerald yang menegaskan bahawa Republikan mencari penjelasan mengapa para pengundi menolak wawasan mereka tentang Amerika. Jawapannya, jelas beliau, mungkin pada kaca televisyen mereka, takrif kebiruan yang semakin berkembang tentang nilai keluarga menjadikan idea nostalgik mereka tentang nilai keluarga dirasakan seolah-olah dunia asing.
"Pihak yang kalah teruk dalam pilihan raya minggu lalu," tulis Fitzgerald, "mungkin imej keluarga Amerika keluarga Amerika." Seperti yang terjadi, jelas beliau, satu kuasa yang paling berpengaruh dalam mengubah takrif keluarga Amerika dapat ditemui di rumah golongan liberal dan juga konservatif: televisyen mereka. Sedikit demi sedikit, sitkom keluarga bahawa orang Amerika menonton sejak berdekad-dekad secara berkesan mengubah apa yang pernah keluarga unggul Amerika diperkukuh dari segi budaya menjadi relik masa lalu yang tidak berapa jauh.
"Sejak berdekad-dekad, rakyat Amerika mengalu-alukan keluarga bukan tradisional ke dalam rumah mereka, ketawa bersama-sama eksploitasi mereka, jatuh cinta dengan mereka, dan belajar melihat mereka sebagai sama rata."
Perubahan nilai keluarga yang berlaku, jika dilihat keputusan pilihan raya baru-baru ini, pastinya merugikan Republikan. Maka, persoalan di sini adakah program TV1 dan TV3 mampu mengubah nilai keluarga di negara ini? Dan perubahan itu pula memberikan manfaat dan bukannya kemudaratan kepada parti pemerintah. Jawapan saya, "jauh panggang dari api."
No comments:
Post a Comment