Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Baik melalui media arus perdana, mahupun melalui media sosial, sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar wujud udsaha yang berterusan oleh golongan tertentu untuk menjadikan Malaysia negara sekular. Di sini, saya tidak berminat untuk membincangkan usaha "puak liberal" itu, tetapi sekadar ingin menyatakan bahawa di dunia Islam, sukar dicari negara sekular. Bahkan, pada era Atartuk di Turki dan Nasser di Mesir, ulama ada kalanya dirujuk oleh negara dengan tujuan untuk mendapatkan pengesahan mereka. Apatah lagi di Malaysia, agama dinyatakan secara tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beberapa negara yang pada asalnya dianggap "sekular," seperti Israel, India, dan Indonesia, agama semakin memainkan peranan penting, dan sekali gus menghakis kesekularan. Demikian juga di Amerika Syarikat, pemisahan antara negara dengan gereja semakin kabur. Dalam Pilihan Raya Presiden baru-baru ini, agama memainkan peranan. Selain itu, agama calon yang bertanding menjadi tumpuan, iaitu Barack Obama didakwa "beragama Islam," manakala Romney penganut agama Mormon diragui oleh pengundi.
Dalam kempennya, calon Naib Presiden, Paul Ryan mendakwa Obama "melunturkan" nilai Yahudi-Kristian. Sementara Gereja Katolik terlibat dalam kempen menentang Barack Obama. Menjelang Hari Pilihan Raya, Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS), dilaporkan menasihati gereja dan organisasi yang dikecualikan cukai supaya tidak terlibat dalam kempen, seperti yang dinyatakan dalam undang-undang Persekutuan.
Carta harian The Economist menunjukkan bagaimana undi Presiden dipisahkan menurut agama. Obama walaupun penganut Protestan, didapati hilang sokongan dalam kalangan agama itu - agama terbesar Amerika. Namun, beliau memperoleh sokongan daripada penganut Katolik, orang Yahudi, golongan ateis, dan kumpulan lain.
Pew Research Center menunjukkan undi Presiden yang mempunyai hubungan dengan agama dan kaum sejak tahun 2000, dan termasuk pilihan raya yang terbaharu, meskipun kajian lain oleh Pew menunjukkan satu perlima orang Amerika dewasa tidak menganuti mana-mana agama.
No comments:
Post a Comment