Artikel Popular

Sunday, November 18, 2012

Jim Messina Masak dengan Angka

AHAD, 18 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Calon Presiden, Mitt Romney mengatakan dirinya "lelaki angka," tetapi apabila beliau tewas dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012, maka banyak yang meragui bahawa beliau benar-benar pakar angka.  Paling tidak, ada yang mempersoalkan mengapa Romney  seakan-akan tidak dapat melihat  "angka buruk" yang datang mencurah-curah yang jelas menunjukkan beliau terbenam dalam kekalahan.

Sebaliknya, suratan takdir yang berbeza berlaku pada diri Jim Messina, pengurus kempen Barack Obama yang diperhatikan juga gemar bermain  angka.  Berbeza dengan  Romney, Messina tidak bermegah-megah tentang kepakaran serta kehebatannya bermain  angka yang akhirnya terbukti membantu kemenangan bosnya, Barack Obama.   Sebagaimana Romney yang mempunyai pengalaman yang luas sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) di Bain Capital, Messina juga CEO, tetapi sekadar  untuk kempen Obama.

Selepas  meletakkan jawatan sebagai timbalan ketua turus Rumah Putih, Jim Messina, menurut Joshua Green yang menulis dalam BloombergBusinesswek, "sangkut" seketika di Apple, Facebook, Zynga, Google, Microsoft, Salesforce, dan DreamWorks.  "Jim Messina," tulis Richard McGregor dalam Financial Times, "tidak tergesa-gesa menghadap perunding politik yang menjalankan kerja sebelum beliau.  Messina mahu mencari jalan bagaimana untuk mendekati pengundi dengan mesej peribadi untuk memujuk mereka supaya keluar mengundi  menyokong Presiden."

Selepas lebih seminggu Hari Pilihan Raya, John Dickerson mendedahkan bagaimana Jim Messina bekerja, yang menurut beliau, "bagaimana menjalankan kempen pembunuh."  Setiap pagi apabila pengurus kempen Barack Obama itu membuka komputernya, beliau melihat gambar tentang keadaan perlumbaan.  Jurutera perisian kempen telah membina  beliau papan pemuka yang menunjukkan berapa banyak pintu yang sukarelawan ketuk pada malam sebelumnya, berapa banyak panggilan telefon yang mereka buat, berapa banyak wang yang dikumpulkan, dan apa yang berlaku pada Twitter dan media sosial lain.

Dickerson yang berbual dengan Messina yang dalam percutian  selepas pilihan raya tentang pengajaran yang Messina ambil daripada mengurus perusahaan pada tahun 2012, tentang membina pasukan, mengurus hos bomba maklumat, mengetahui bila mengambil risiko, bila  untuk menyesuaikannya, dan bila hanya memastikan terus bergerak.  "Keseluruhannya," tulis Dickerson, "mesej utama Messina adalah bahawa bekerja keras untuk menggabungkan manusia dengan angka."

Rangkaian agam pejabat kejiranan kempen Obama merupakan contoh baik tentang teori manusia di sebalik angka, jelas Dickerson.  Pasukan Obama sering cakap gah tentang bagaimana banyaknya pejabat yang mereka buka, terutamanya di negeri berayun yang genting.  "Pemerkasaan setiap pejabat kecil kejiranan merupakan bahagian teori besar kempen Obama tentang kerja berpasukan."

Ketika berjumpa pengundi, sukarelawan tidak menggunakan iPad, kerana menunjukkan iklan melalui produk ini tidak berkesan.  Bagi pasukan Obama, bertemu pengundi adalah tentang perbualan.  Mereka melatih orang mereka untuk berbual lama.

Pada suatu masa ketika latihan, ketua staf analisis kempen memperkenalkan model dengan bilangan Republikan keluar mengundi lapan titik peratusan mengatasi apa yang kempen Obama rancangkan.  Senarionya, Obama menang 271 undi badan perwakilan pemilih.  Staf itu memberitahu, "Jim, kita akan menang," Messina mengingatinya semula.  Walau bagaimanapun, Messina memberitahu  Dickerson bahawa  bukan bermakna mereka tidak gugup.  "Kami percaya data kami, tetapi saya berdusta jika saya mengatakan bahawa semua tinjauan pendapat adalah silap dan para penyokong yang gugup tidak membuatkan kami melihat perkara ini semula."

Kira-kira dua bulan sebelum Hari Pilihan Raya, antara ulasan cerdik pandai ialah: "Jika Barack Obama menang adalah kerana kempennya, walaupun ekonomi teruk.  Jika Mitt Romney menang adalah kerana ekonomi, walaupun kempennya teruk."  Yang muktamad, kempen yang bagus, yang kurang cacat mampu mengatasi ekonomi yang teruk, yang membolehkan Obama kekal di Rumah Putih untuk penggal kedua.  

Dalam kempen Obama,  sebenarnya  wujud nama yang hebat-hebat,  selain Jim Messina, antaranya David Plouffe, David Axelrod, Stephanie Cutter, Valerie Jarret,  Robert Gibbs, Daniel Pfeiffer,  dan di luar Rumah Putih dan Chicago, tempat ibu pejabat kempen Obama, Anita Dunn turut membantu.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...