Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Eropah diibaratkan "sudah jatuh ditimpa tangga," satu demi satu malapetaka menimpa. Pada hari Rabu, berjuta-juta pekerja di seluruh Eropah bangkit melancarkan mogok menentang pelaksanaan jimat-cermat sehingga mendorong Ronald Janssen mengisytiharkan, "sebuah lagi Eropah sekarang."
Belum pun reda mogok yang menandakan keberangan terhadap jimat-cermat, zon euro dilaporkan terbenam ke dalam kemelesetan curam berganda kerana krisis di Portugal, Sepanyol, dan Greece merebak ke negara lain dalam blok mata wang bersama itu. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh sebanyak 0.1 peratus pada suku ketiga tahun ini, selepas menguncup sebanyak 0.2 peratus dalam suku kedua, menghumbankan wilayah itu ke dalam kemelesetan yang ahli ekononomi khuatiri boleh berlarutan ke tahun depan.
Lebih memeranjatkan, Belanda yang diberikan penarafan AAA, yang menyaksikan ekonominya menguncup sebanyak 1.1 peratus pada suku ketiga, diheret lebih rendah oleh kemerosotan 3.1 peratus dalam pelaburan dan 2.4 peratus jtuh dalam eksport. Ahli ekonomi menjangkakan KDNK Belanda menguncup hanya sebanyak 0.2 peratus. KDNK Austria juga mengecut sebanyak 0.1 peratus.
Walau bagaimanapun, negara pusat, seperti Perancis dan Jerman terus mencatatkan pertumbuhan untuk sementara waktu. Perancis berkembang sebanyak 0.2 peratus pada suku ketiga tahun ini, manakala Jerman juga berkembang 0.2 peratus mengatasi jangkaan.
Zon euro dilaporkan, memasuki kemelesetan kedua dalam masa empat tahun kerana kerajaan mengenakan pemotongan belanjawan yang lebih keras dan bertungkus-lumus untuk mengekang krisis hutang yang tercetus pada Oktober 2009. Berikutan zon euro terbenam ke dalam kemelesetan curam berganda, maka hujah Larry Elliott, menunjukkan bahawa jangkitan merebak ke negara pusat. Beliau juga membangkitkan United Kingdom, walaupun bukan anggota zon euro, yang terjebak ke dalam kemelesetan ganda tiga. Elliott meningatkan bahawa tidak wujud pertumbuhan di zon euro pada suku pertama, jatuh 02. peratus dari segi KDNK pada suku kedua, dan kini jatuh 0.1 peratus pada suku ketiga. "Para penganalisis fikir bahawa suku keempat akan melihat kemerosotan 0.5 peratus dengan kemungkinan besar kedua-duanya, iaitu Jerman dan Perancis akan mengundur."
No comments:
Post a Comment