Artikel Popular

Saturday, November 17, 2012

"Bom Jangka" di Zon Euro

SABTU,  17 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila Greece dilanda krisis hutang lebih dua tahun lalu dan terus mengharapkan bantuan pelan  penyelamat,  kesan kemusnahan dijangkakan menjangkau sebelah menyebelah Atlantik dan juga dunia.  Namun, disedari bahawa oleh sebab Keluaran Dalam Negara Kasar Greece di peringkat global adalah kecil, maka kesannya dijangkakan tidak seberapa jika dibandingkan dengan dua buah negara lain di zon euro,  yang turut dilanda krisis hutang, iaitu Sepanyol dan Italy yang diibaratkan "gajah dalam bilik."

Tatkala krisis zon euro tidak menunjukkan tanda untuk reda, bahkan terus terbenam dalam kemelesetan dan menghadapi tentangan rakyat berikutan pelaksanaan jimat-cermat,  The Economist muncul dengan kulit depan dan rencana utama (Leaders) yang kelihatan provokatif, tetapi menakutkan:  "The Time-bomb at the Heart of Europe."  Negara yang dianggap mengancam zon mata bersama itu ialah Perancis. Negara itu diperhatikan membawa masalah yang serius terhadap zon berkenaan.

Perancis, menurut laporan khas The Economist, masih mempunyai banyak kekuatan, tetapi kelemahannya juga ketara akibat krisis euro.  Sejak bertahun-tahun Perancis kehilangan daya saing kepada Jerman dan trend ini semakin pantas kerana Jerman memotong kos dan diasak menerusi pembaharuan yang besar.  Tanpa opsyen penurunan nilai mata wang, Perancis mengambil jalan keluar dengan perbelanjaan  dan hutang awam.  Tatkala negara lain dalam Kesatuan Eropah mengawal jangkauan  negara, perbelanjaan dan hutang awamddi  Perancis mencecah hampir 57 peratus KDNK, bahagian tertinggi di zon euro.  Oleh sebab kegagalan menyeimbang belanjawan tunggal sejak tahun 1981, hutang awam meningkat daripada 22 peratus KDNK ketika itu kepada lebih 90 peratus sekarang.

Kulit depan dan rencana utama majalah itu dilaporkan mencetuskan para menteri kerajaan Perancis. Menteri Kewangan Perancis, Pierre Moscovici mendakwa laporan itu  "kabur dan tidak berasas" yang digunakan untuk "melanyak Perancis, manakala Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault menuduh The Economist menggemparkan. 

Sebenarnya, ini bukan kali pertama bahawa muka depan The Economist, dan menunjukkan bahawa Perancis tidak melihat secukupnya akan perlunya pembaharuan, menenangkan hati di Paris.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...