Artikel Popular

Monday, November 5, 2012

279: Karl Rove Lawan Nate Silver dan Lain-lain

ISNIN, 5 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 memasuki minggu terakhir,  Barack Obama terikat dengan Mitt Romney di peringkat nasional, tetapi mendahului pencabarnya di peringkat negeri, dan Taufan Sandy nampaknya mengubah permainan,  Romney diramalkan memperoleh 279 undi badan perwakilan pemilih sekurang-kurangnya.

Ahli strategi Republikan dan bekas penasihat Presiden George W. Bush, melalui kolumnya dalam The Wall Street Journal, menegaskan bahawa calon Presiden daripada Republikan itu menang di semua tahap permainan angka, "daripada data peninjauan pendapat kepada pengundian awal."  Rove juga meramalkan bahawa Romney memperoleh 51 peratus undi popular berbanding Obama 48 peratus, yang memperoleh 259 undi badan perwakilan pemilih.

Walau bagaimanapun, dalam perkembangan terbaharu, Karl Rove yang giat melalui super PAC-nya, American Crossroads,  mencari derma untuk melancarkan kempen bagi Romney dan calon Republikan yang lain, menyalahkann Taufan Sandy yang seolah-olahnya mengubah permainan, mencurahkan rahmat  kepada Obama.  Lebih menyakitkan bagi Romney dan kempennya ialah tindak-tanduk Gabenor New Jersey  Chris Christie, orang harapannya dan juga merupakan calon pertama untuk Naib Presiden, sebelum Romney memilih Paul Ryan, seakan-akan "berjalan seiringan" dengan Obama selepas Taufan Sandy melanda.

Ramalan Karl Rove itu mendapat respons dan ulasan segera daripada Elspeth Reeve yang menulis dalam The Atlantic Wire, yang menurut beliau,  bercanggah dengan laman Web Rove sendiri.  Dalam peta terbaharunya itu (ditunjukkan di bawah), yang dikemaskinikan pada 29 Oktober, tegas Reeve, Rove memberikan 221 undi badan perwakilan pemilih kepada Obama dan 206 undi untuk Romney.  Dengan itu, selebihnya, tegas Reeve, 111 undi "lambung duit," yang sebilangan besar  Rove berikan kepada Romney untuk memperoleh 279 undi badan perwakilan pemilih.


Untuk memperoleh angka keramat, Romney, menurut tafsiran Reeve, satu kemungkinannya, menang di Ohio, Colorado, New Hampshire, Virginia, dan Florida.  Untuk membuktikan Ohio dalam genggaman calon Republikan itu, Rove menggunakan banyak perkataan untuk berhujah bagi menafikan tinjauan pendapat tentang Ohio adalah silap.  

Namun, Reeve mengingatkan bahawa Romney mendahului Obama hanya dalam dua daripada 20 tinjauan pendapat di Ohio.   Jelas Reeve, "Ohio tidak mempunyai pengundi yang daftar mengikut parti, tetapi 1.3 juta orang telah keluar mengundi, dengan 30 peratus pengundi yang mengundi pemilihan awal Demokratik, manakala 24 peratus pengundi dalam pemilihan awal Republikan. 

Satu laluan lagi ialah Obama menang di Ohio dan New Hampshire, tetapi Romney menang di Wisconsin, Iowa, dan Nevada.  Namun, kemungkinan Romney menang di Nevada, tegas Reeve memang tipis; demikian juga di Wisconsin yang menurut tinjauan pendapat, Romney tidak mendahului lawannya sejak pertengahan Ogos. Romney mendahului Obama dalam beberapa tinjauan pendapat di Iowa.

Reeve juga merujuk tulisan Rove pada bulan Mac yang ternyata meleset apabila beliau menjangkakan Obama akan menghadapi masalah kewangan kerana berbelanja besar pada peringkat awal.  Namun, hujah Reeve, pada Oktober, kempen Obama mengumumkan bahawa mereka berjaya mengumpulkan dana AS$1 bilion.

Siapakah yang betul kali ini, Karl Rove atau Nate Silver? soal Connor Simpson.  Pada tahun 2008, jelas Simpson, kedua-dua cerdik pandai ini meramalkan Obama menang.  Akan tetapi, pada tahun ini, mereka tidak lagi sepakat.  Nate Silver, seperti yang pernah dirujuk dan dibincangkan dalam blog ini, tetap mengatakan Obama menang.  Dalam ramalan yang dikemaskinikan pada 4 November, menurut beliau, Obama memenangi 306.9 undi badan perwakilan pemilih, berbanding 231.1 untuk Romney.  Peluang menang untuk Obama ialah 85.1 peratus berbanding 14.9 peratus  Romney.

Silver yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi,  mengingatkan bahawa untuk Romney menang, tinjauan pendapat negeri mesti bias dari segi statistik, dengan merujuk tinjauan pendapat pada 2 November, yang secara mudah menunjukkan Obama mempunyai kelebihan dari segi undi badan perwakilan pemilih. Daripada 22 tinjauan pendapat pada hari Jumaat itu, Obama mendahului dalam 19 tinjauan pendapat, dua terikat, manakala Romney hanya mendahului dalam satu tinjauan, iaitu yang dijalankan oleh Mason-Dixon dari Florida.  Sementara di peringkat nasional, daripada lapan tinjauan pendapat pada hari Jumaat, Obama mendahului dalam empat tinjauan pendapat, tiga terikat, dan satu untuk Romney.

Jelas Silver, Obama kini mendahului di Ohio, paling pasti tidak mencerminkan ralat persampelan rawak semata-mata.  Hal yang sama di Iowa, Wisconsin, dan lain-lain yang cukup untuk beliau menang 270 undi badan perwakilan pemilih.

Silver tidak keseorangan dalam mengemukakan model peramalan Presiden untuk menunjukkan Barack Obama akan memenangi pilihan raya ini. Kevin Drum, seperti yang pernah dipetik sebelum ini, mengemukakan  empat model peramalan yang merupakan campuran dengan yang pertama.  

Model yang dikemaskinikan pada 1 November, mengekalkan Nate Silver dan Sam Wang, dan memasukkan dua yang baru.  Yang di sebelah atas ialah Nate Silver dan Andrew Tanenbaum, manakala di sebelah bawah pula ialah Sam Wang dan Josh Putnam, yang menunjukkan Obama terus melebarkan jarak  mendahului Romney, dan purata model kini memberikan 312 undi badan perwakilan pemilih. 


Dalam tulisan yang agak terbaharu, Kevin Drum membangkitkan berita baik dan berita buruk untuk para penyokong Obama.  Untuk berita buruk, beliau memetik Robert Wright yang menyenaraikan perkara yang mereka patut bimbang, untuk berita baik, beliau memetik Sam Wang.

Meskipun pelbagai tinjauan pendapat dan model peramalan yang memihak kepada Obama, Republikan, seperti yang dibahaskan oleh Joshua Holland, puak sayap kanan, termasuk Karl Rove masih membayangkan Romney menang. Holland tidak menafikan peluang calon Republikan itu, tetapi beliau, pastinya hanya sebagai orang yang tertekan. Holland memetik beberapa tinjauan pendapat dan model peramalan yang kesemuanya menunjukkan Obama menang:  penjejakan tinjauan pendapat TPM, RealClearPolitics, Nate Silver, dan Sam Wang.

Pasukan Romney, seperti yang dicatatkan oleh David Freedlander, bermain-main dengan angka dalam mengimpikan kemenangan.  Di Iowa, New Hamshire, dan Colorado, calon Republikan ini berpegang pada kepercayaannya, manakala para pembantunya menolak tinjauan pendapat  yang menunjukkan Obama mendahului beliau. Hanya tinggal beberapa jam lagi, soal Freedlander, mampukah Romney menjadikan para pengundi percaya bahawa matematik menyebelahinya? 

Tinjauan pendapat terkini menunjukkan bahawa Obama mendahului Romney di negeri medan pertempuran.  Angka terakhir dari Iowa, Ohio, Wisconsin, dan Minnesota, dipetik, kelihatan bagus untuk Presiden Obama, kecuali Pennsylvania, seakan-akan terikat, tetapi  hal ini dinafikan oleh Nate Cohn.  Perkembangan di Pennsylvania mungkin tidak memeranjatkan kerana sejak beberapa  hari lalu, kempen   Romney mengambil risiko, dengan menyerang negeri itu dalam mencari laluan untuk ke Rumah Putih, setelah mendapati tidak banyak yang boleh diharapkan di negeri berayun, kecuali Florida.  

Menurut tinjauan pendapat terbaharu yang dikeluarkan oleh NBC News/The Wall Street Journal, berikutan kejayaan Presiden Obama menangani Taufan Sandy, beliau mendahului Romney di Florida dan Ohio.  Seperti yang dibahaskan oleh Nate Silver dalam tulisan terbaharunya, kempen Romney mengambil strategi yang munasabah ini, meskipun peluang menang tipis, untuk mencari laluan alternatif dalam mencari undi badan perwakilan pemilih. 

Akibat strategi  terbaharu itu, Demokrat, dilaporkan berbaur antara keyakinan dengan kebimbangan.  Sementara di Colorado, Obama mendahului Romney dalam keadaan tidak selesa - mungkin berita baik untuk calon Republikan untuk menunaikan impian Karl Rove.  Walau bagaimanapun, penasihat kanan kempen Obama, iaitu David Axelrod dalam program   Fox News Sunday, memberitahu "mereka benar-benar dalam kesusahan" dengan mengembangkan peta ke Pennsylvania.

Beberapa makalah dalam The Daily Beast sejak dua hari lalu, menunjukkan Obama kian mara, sedangkan Romney terus tercicir. Dalam perbincangan  yang seimbang, Howard Kurtz membayangkan kemaraan Obama, tetapi Romney belum mengaku kalah.  Tulisan yang sangat keras, tetapi tidak memeranjatkan datangnya daripada Robert Shrum, yang mengisytiharkan "R.I.P., Mitt Romney."   Shrum yang sebelum ini menegaskan Obama akan menang, dalam tulisan terbaharunya itu bukan sahaja menggasak Romney dan Republikan, "kesilapan bukan hanya dalam partinya, tetapi beliau sendiri."  Bagi Shrum, Romney sepatutnya berakhir dalam debat pertama Presiden, tetapi debat itu menyaksikan prestasi buruk Obama.

Satu lagi makalah ditulis oleh Matt Latimer yang pernah berkhidmat dengan Presiden George W. Bush, Donald Rumsfeld, dan New Gingrich, menganggap Mitt Romney memperdayakan diri sendiri untuk mengejar kemenangan.  Beliau mengkritik Republikan dan Karl Rove yang membayangkan Romney, sedangkan tidak ada tinjauan pendapat yang mengatakan beliau menang.  Kalaupun ada, misalnya Gallup sahaja, yang sekadar menyatakan Romney mendahului sedikit Obama.

Secara keseluruhan, Mitt Romney menempuh laluan yang sukar di negeri berayun yang diakui dikuasai oleh Barack Obama, untuk membolehkan beliau (Romney), mara ke Rumah Putih.  Barangkali, Pennsylvania merupakan laluan penyelamat.  Sekadar barang kali, kerana "jangan harap di dunia ini bahawa Romney akan menang," isytihar Nancy Pelosi (Demokrat), ketua minoriti Dewan Perwakilan.

Orang Ohio dikatakan tidak mempercayai pendustaan Romney, maka dapatkah beliau mara tanpa negeri itu? Mungkin Karl Rove mempunyai jawapannya.  Angka 279, keramat atau laknat?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...