Artikel Popular

Friday, November 9, 2012

Detik yang Romney Tahu Beliau Kalah

JUMAAT, 9 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apabila Fox News menjangkakan  bahawa Ohio, negeri berayun yang menjadi pertaruhan besar,  yang mempunyai 18 undi badan perwakilan pemilih,  jatuh ke dalam tangan Barack Obama, bermakna perlumbaan Mitt Romney berakhir sama sekali.  Lebih-lebih lagi beberapa buah negeri berayun lain, yang keputusannya belum diketahui, tetapi Obama mendahului pencabarnya.   

Namun, Karl Rove, bekas penasihat Presiden George W. Bush dan ahli strategi Republikan, enggan akur pada laporan itu, lalu hingga kini, beliau dan Fox News dipersendakan.  Detik keengganan menerima kekalahan itu  dicatatkan dengan menarik dalam The Daily Beast.  Sementara Gabriel Sherman mendedah dan mengulas pertelagahan antara Karl Rove dengan Fox News tentang kemenangan Obama.

Mendengar "gula-gula" Karl Rove itu, staf kempen Romney dilaporkan bersiap sedia untuk terbang ke Ohio dan tiga buah negeri lain untuk mencabar jumlah undi yang dihitung itu.  Walau bagaimanapun, Mitt Romney tidak  bersetuju dengan cadangan itu, beliau mengaku kalah, seperti yang dilaporkan dalam The New York Times, dan dipetik oleh Slate:

Pada malam Selasa itu, Mr. Romney yang murung  dan keluarganya menonton rangkaian televisyen yang menunjukkan bahawa beliau tewas di semua, kecuali sebuah  negeri medan pertempuran.  Bahkan, ketika rangkaian televisyen mengisytiharkan Mr. Obama pemenang, Mr. Romney, yang sebelum ini memberitahu para pemberita bahawa beliau hanya menulis ucapan kemenangan, berhenti sejenak sebelum turun dari bilik  hotel penginapannya di Boston. Ketika itu pukul 11.30 malam, dan pasukan lapangan Romney di Ohio, Virginia, dan Florida, menghubungi, memberitahu bahawa perlumbaan begitu sengit untuk calon mengaku kalah.  Sekurang-kurangnya empat buah kapal terbang siap untuk berlepas, dan para pembantu bersiap sedia untuk pertarungan menghitung semula undi di negeri yang kelebihan undi adalah sedikit.  Bob White, teman rapat dan penasihat Romney, bersiap untuk memberitahu para penyokong bahawa Mr. Romney belum mengaku kalah lagi.

Kemudian, Mr Romney secara diam-diam membuat keputusan bahawa segalanya berakhir.  "Menghitung semula undi tidak akan berlaku." 

Bagi sesiapa yang mengikuti keputusan Pilihan Raya Presiden tahun 2012 itu, pasti berpendapat memang tidak masuk akal untuk Romney dan kempennya mencabar keputusan di beberapa negeri berayun itu kerana Obama sudah menghampiri garisan 270 undi badan perwakilan pemilih. Pada pukul 12.13 tengah hari Rabu (waktu Malaysia) misalnya, beliau telah pun memperoleh 250 undi, manakala Romney terus terpaku pada 203 undi.  Bahkan, beliau mendahului Romney di Florida yang keputusannya lewat diketahui, yang akhirnya kempen Romney mengaku kalah di negeri yang mempunyai 29 undi itu.  

Meskipun persaingan sengit, menjelang tengah malam Selasa, keputusannya semakin jelas, demikian  lapor The Washington Post.  Obama mara  untuk penggal kedua.

Sebenarnya, tolak Ohio dan Florida, Obama tetap menang dengan 285 undi - matematik mudah.  Malangnya, Karl Rove yang memperdayakan dirinya serta Republikan,  melalui tulisannya dalam The Wall Street Journal, bahawa Romney akan menang 279 undi sekurang-kurangnya, masih terbayangkan kemenangan yang tidak akan kunjung tiba.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...