Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Israel sentiasa menunjukkan dan memberitahu dunia bahawa negara itu mampu menjaga keselamatannya sendiri. Israel pernah merancang untuk menyerang Iran sebelum Pilihan Raya Amerika Syarikat, meskipun keputusan itu berbelah bahagi.
Kini, Israel melancarkan serangan udara terhadap Gaza yang setakat ini mengorbankan hampir 100 orang rakyat Palestin. Tatkala Gaza terbakar semula dan sengsara sekali lagi, Tel Aviv tidak menolak kemungkinan melancarkan serangan darat - perkembangan terbaharu, rancangan ini ditangguhkan kerana mencari penyelesaian diplomatik. Pihak Hamas pula mencabar Israel supaya melancarkan serangan darat dan menolak usaha diplomatik untuk mengadakan genjatan senjata.
Dalam konflik ini, kedua-dua pihak, iaitu Israel dan Hamas saling tuduh menuduh, menyalahkan antara satu sama lain: siapakah yang memulakan konflik Israel-Gaza? Dana Liebelson yang menulis dalam Mother Jones cuba menjelaskan konflik tersebut dengan mencatatkan dan mengemaskinikan peristiwa itu sejak mula lagi. Dalam "gema di kota Gaza," Wasseem el Sarraj mencatatkan pengeboman berlaku pada hari pertama Hijrah - hari beliau tidak bekerja kerana sempena cuti am.
James Zogby yang mengkritik pihak yang terlibat dalam konflik terbaharu yang tidak pernah belajar daripada peristiwa masa lalu. "Peperangan yang tidak menyelesaikan apa-apa," tegas Jonathan Freedland. "Pengeboman terhadap Hamas," Peter Beinart mengingatkan, "tidak menghentikan keganasan," sambil menunjukkan jumlah serangan roket dan mortar dari Gaza: 365 buah pada tahun 2010, 680 buah pada 2011, 800 buah setakat ini pada tahun 2012 - 171 buah pada bulan November sahaja. Meskipun Gaza dikenakan sekatan ekonomi, para pejuang wilayah itu masih mampu melancarkan roket hingga ke Tel Aviv - untuk pertama kali dalam masa 20 tahun, siren serangan udara kedengaran di kawasan metro Israel, menurut Armin Rosen.
Bahkan, keputusan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mengebom puak militan Hamas, hujah Janine Zacharia, akan menyebabkan Israel terasing, tidak selamat, dan keseorangan. Gambar kekejaman Israel, iaitu membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa tersebar secara meluas. Tambahan pula, wujud gesaan supaya "Gaza dimusnahkan sama sekali" dan ancaman untuk "menghantar Gaza ke Zaman Pertengahan."
Namun, Gaza tidak lagi keseorangan, Ahdaf Soueif mengingatkan. "Serangan Israel dan ledakan kedengaran, juga dapat diikuti melalui Twitter dan blog." Amaran yang lebih keras datangnya daripada Musa Abumarzuq bahawa "Lembah Gaza tidak kesepian. Jika dunia tidak akan mempertahankan umat Palestin menentang Israel, kami mempunyai hak untuk mempertahankan diri kami."
Turki yang sejak beberapa tahun menghadapi hubungan yang tegang dengan Israel, tanpa berselindung menyatakan pendiriannya apabila Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menuduh pemimpin Israel cuba menghapuskan penduduk Palestin di Lembah Gaza. "Israel tidak boleh menjelaskan tindakan itu sebagai mempertahankan diri menentang serangan roket Hamas, seperti Amerika Syarikat dan sekutu Israel lakukan."
Danny Ayalon, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negara Israel yang menulis dalam The Guardian, mendakwa bahawa Hamas meletakkan negaranya tanpa pilihan dalam usaha beliau untuk mewajarkan serangan Israel itu. Israel tidak akan membiarkan nyawa rakyatnya terancam sambil menuduh Hamas "tidak mahu hidup aman dengan Israel." Hamas, tulis Ayalon, mencari kebakaran besar dan peperangan. Kematian dan pemusnahan dianggap penghitungan menang-menang, kerana mana-mana kematian rakyat Israel dianggap pencapaian yang gilang-gemilang dan setiap umat Palestin yang mati adalah 'mati syahid'."
Melalui "tiang dibina di atas pasir," John Mearshiemer yang menulis dalam London Review of Books, mengingatkan walaupun Israel melancarkan pelbagai operasi terhadap Hamas, kesudahannya Hamas tidak lumpuh, sebaliknya masih berkuasa dan melancarkan roket ke Israel. Operasi Tonggak Pertahanan yang dilancarkan sekarang, tegas beliau, berkemungkinan berkongsi nasib yang sama.
"Tonggak Pertahanan," hujah Mearshiemer, "tidak akan mencapai matlamat akhir untuk memastikan umat Palestin meninggalkan cita-cita penentuan nasib sendiri mereka dan akur untuk hidup di bawah kuasa Israel. Hal ini tidak dapat dicapai; umat Palestin tidak akan tunduk pada negara aparteid." Tambah beliau lagi, "sangat dikesali, bahawa itu bermakna Tonggak Pertahanan mustahil merupakan pengeboman terakhir Israel ke atas Gaza."
Dari satu segi, Israel dijangkakan akan meneruskan kekejaman terhadap umat Palestin, dari satu segi yang lain, seperti yang dibahaskan oleh Michael Tomasky, " umat Palestin tidak akan menang dalam perjuangan mereka."
Perkembangan terbaharu konflilk Gaza, ialah genjatan senjata dipersetujui.
No comments:
Post a Comment