Artikel Popular

Friday, November 30, 2012

Politik Pasir

JUMAAT, 30 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam perjalanan dari Cappadocia ke Ankara, Turki,  sejauh 300 km,   bas pelancongan yang membawa kami tiba-tiba berhenti dua kali. Berhenti yang pertama, hanya pemandu bas dan pemandu pelancong  yang turun  dan kedua-duanya  kelihatan mencari sesuatu.  Kemudian, kami meneruskan perjalanan semula, tetapi tidak berapa jauh bas berhenti lagi.  Kali ini, selain mereka berdua,  beberapa pelancong dari Malaysia turut turun – mencari sesuatu di tepi jalan.  Apabila mereka semua naik semula ke dalam bas, pemandu pelancong  memberitahu bahawa pemandu bas mencari batu gunung berapi untuk kawannya  membuat ukiran.
            Seterusnya, dia mengingatkan pelancong Malaysia  itu bahawa batu tidak boleh dibawa   keluar   dari Turki, dan   perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan.    Sepanjang perjalanan, juga  semasa di Ankara, pemandu pelancong itu beberapa kali mengulangi peringatannya bahawa batu tidak boleh dibawa keluar:  “Kalau anda benar-benar ingin memiliki batu itu, anda boleh memilikinya setakat di Istanbul.”  (Destinasi terakhir kami sebelum pulang ke Kuala Lumpur.)
Meskipun  pada zaman ini maklumat, modal, dan manusia (termasuk buruh) bebas bergerak sehingga memudarkan  sempadan negara bangsa, namun seperti yang berlaku di  Turki, perjalanan batu ada batasnya.   Jika difikirkan secara mendalam,  peraturan itu  ada kewajaran atau rasionalnya kerana batu bersama-sama tanah, air, dan pasir merupakan bumi, dan oleh itu, ialah  wilayah dan kedaulatan sesebuah negara.   Nasionalisme tidak semestinya selalu tunduk pada telunjuk  globalisasi.
Sesungguhnya,  pemandu pelancong itu memberikan tutorial ringkas yang amat berguna: “Kalau anda membawa keluar batu, selepas ini  anda akan membawa keluar sebuah bangunan, sebuah gunung,  kemudian   sebuah negara.”   Sesuatu yang amat bernilai yang wajar dipelajari daripada  peringatan   itu   ialah bagaimana Turki   menyemai dan memupuk semangat  kecintaan terhadap negara dalam kalangan rakyatnya, hatta sebiji batu tidak boleh dibawa keluar.  Benda yang kecil, seperti batu dan pasir yang mungkin bagi kebanyakan orang  dianggap remeh,  tetapi amat penting dari segi   kedaulatan dan keselamatan negara, dan oleh itu, tidak boleh ditolak ansur sama sekali.
Apabila mendengar peringatan pemandu pelancong  itu, fikiran saya  terus terbayang kepada     berleluasanya  penyeludupan   pasir  dari beberapa buah negeri    di Semenanjung Malaysia ke negara jiran. Bahkan, pernah didedahkan banyaknya lori yang mengangkut pasir ke Singapura, tetapi pihak berkuasa menafikannya.  Fikiran saya juga  teringat    akan  seorang anggota Parlimen daripada parti  pembangkang yang mengemukakan soalan di Dewan Rakyat mengapa pasir tidak dieksport ke Singapura.  Seandainya dia memahami pengajaran moral  mengapa batu tidak boleh dibawa keluar dari Turki, pastinya dia tidak berani menunjukkan kejahilannya dengan mengemukakan soalan sedemikian.  Hari ini, pasir, esok lombong pasir,  dan lambat-laun negara. Negara jiran yang memperoleh pasir, sama ada melalui eksport ataupun penyeludupan, boleh menggunakannya untuk pelbagai tujuan, daripada pembinaan kompleks perniagaan kepada kompleks pertahanan.
Bagaimana strategiknya pasir bagi Singapura pernah mendapat  liputan akhbar The New York Times pada 16 Mac 2007.  Dalam makalah Neighbor Leaves Singapore Short of Sand” Wayne Arnold dan Thomas Fuller menulis, “Sesetengah negara mempunyai rizab minyak strategik; manakala negara lain mempunyai simpanan stok beras atau gandum.  Negara pulau Singapura mempunyai rizab kecemasan  pasir diimport. Pasir disimpan  di sana untuk menjamin permintaan Singapura yang tidak pernah puas untuk membina konkrit, peringatan mudah terdedahnya sebagai sebuah negara tanpa daerah pedalaman untuk membekalkan negara itu dengan sumber yang cukup penting.”
 Menurut tulisan  itu lagi, kerajaan Singapura kini terpaksa menggunakan sorokan pasirnya selepas pembekal biasanya, iaitu Indonesia tiba-tiba melarang eksport pada bulan Februari, dengan alasan impak ledakan pembinaan Singapura terhadap alam sekitar pantai dan pulau-pulau di Indonesia. Kini, dengan harga pasir hampir tiga kali ganda sebelum larangan kerajaan Indonesia, Singapura mengggunakan simpanan stok pasirnya sementara mencari pembekal baru.
Bagi mereka yang tidak peka terhadap tindak tanduk Singapura yang tidak mempedulikan kepentingan negara jirannya, terutama Indonesia, Malaysia, dan Thailand,  di sini dipetik penegasan Arnold dan Fuller, “Larangan itu menambahkan lagi   hal-hal terkini dalam rangkaian pertikaian antara Singapura dengan jiran-jirannya terhadap air, penebusgunaan tanah, konsesi satelit, pengambilalihan korporat, dan pola penerbangan Tentera Udara Singapura, sekadar menyebut beberapa contoh.”
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Walau bagaimanapun, dalam konteks politik Malaysia apabila beberapa kepimpinan negeri bertukar  tangan selepas Pilihan Raya Umum 2008, peribahasa ini  tidak selalunya benar. Janji tinggal janji.    Jika Barisan Nasional (BN) lazimnya  dikaitkan dengan politik kayu balak, kini Pakatan Rakyat (PR) boleh dikaitkan dengan politik pasir.  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang tepat apabila beliau menyamakan  pembangkang seperti burung kakaktua  yang hanya pandai mengkritik,  tetapi tidak tahu mentadbir apabila berkuasa. Beliau  berkata,  seperti  dalam isu pasir apabila kerajaan negeri Selangor ternyata tidak dapat menyelesaikannya, sedangkan mereka ini pada masa sama hebat mengkritik kerajaan Pusat dalam isu yang lain.
Mungkin ada yang berhujah bahawa dakwaan beliau itu  lebih mencerminkan pendirian pihak  yang bersengketa dari segi politik.  Namun begitu,  keluh kesah rakyat yang   membuak dan bergelora memperlihatkan pendirian yang senada.  Ketika  perlombongan pasir di Selangor terus-menerus dibongkar, akhbar The Malay Mail pada  26 Julai lalu  melaporkan duka nestapa penghuni rumah pangsa kos murah Hulu Kelang, Selangor tentang bekalan air yang mereka ungkapkan dalam bentuk pantun:  Air kami kena cantas/ Pasir habis kena kebas/ Cukai pintu janji melepas/ Ceramah lebat kerja HAMPAS.
Sesungguhnya, perlombongan pasir di Selangor  menghangatkan lagi pergolakan politik  di negeri itu khusus dan di peringkat negara amnya.  Pendedahan aktiviti perlombongan pasir itu – menurut cerdik pandai politik -  Selangor dilanda  oleh skandal.  Pendedahan baru-baru ini tentang aktiviti perlombongan pasir yang begitu hampir dengan Paya Indah Wetlands dikatakan adalah terlalu buruk terhadap pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – dari segi kesan alam sekitar, di samping cara syarikat diberikan hak eksklusif untuk lombong pasir menjalankan perniagaannnya. 
Walau bagaimanapun, politik pasir bukan hanya berlaku  di Selangor, bahkan juga  berlaku di tempat lain, seperti di Oregon, Amerika Syarikat, yang sedikit sebanyak ada persamaannya.   Sebagaimana di Selangor, politik pasir di Oregon menyaksikan  pertembungan antara kepentingan swasta dengan kepentingan awam.  Filem dokumentari Politics of Sand  mendedahkan sejarah yang mendalam tentang pantai Oregon memberikan tumpuan terhadap politik yang semakin pudar dan  usaha yang dicurahkan  untuk memastikan pantai itu  boleh digunakan oleh orang awam.  Pertarungan untuk memulihara pantai Oregon untuk kegunaan orang awam yang digunakan sejak turun-temurun, menjadi sengit dan semua warganegara di seluruh  Oregon terlibat secara berani dalam konflik yang berpunca daripada pemilikan swasta pantai itu.  Berlaku ancaman peribadi, bilik-bilik dipenuhi asap,  pengesanan perbualan telefon, ancaman pekerjaan, dan banyak sekali perebutan politik.
Dalam keadaan yang lebih serius, politik   pasir  boleh membawa kepada  pertumpahan darah.   Sebaliknya, di Selangor, bagaimana  tegang dan runcingnya politik pasir,  sekadar melibatkan tunjuk perasaan, laporan polis,  ceramah politik, dan   gembar-gembur media.  Di kampung Birbhum, India,  seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Telegraph pada awal Jun tahun ini, “Sand Politics Turns Bloody,”   tiga orang penyokong Communist Party of India (CPM),  disyaki dipukul hingga mati oleh penyokong Trinamul Congress.   Menurut polis, pembunuhan itu kemungkinan  kesan sampingan persengketaan yang berpunca daripada mengorek pasir di tebing sungai di Labhpur 250 km dari Calcutta.  Tiga lelaki bersepupu itu  membeli pasir daripada dua pemegang permit dikatakan berasa bimbang kemungkinan perniagaan dirosakkan oleh pihak ketiga.  Menurut akhbar itu lagi, perdagangan pasir di tempat itu bernilai  lebih Rs70,000 sehari.
Meskipun nilai pasir di Selangor tidak setinggi nilai pasir minyak di Kanada, namun kedua-duanya tetap mempunyai  persamaan.  Perlombongan  pasir sering menjadi sasaran  tuntutan yang bercanggah, iaitu  antara kepentingan perniagaan dengan kepentingan alam sekitar. Ketika Presiden  Barack Obama melawat Kanada pada Februari tahun lalu, ketibaannya di Ottawa disambut oleh kain rentang aktivis Greenpeace, “Climate Leaders Don’t Buy Tar Sands”,  yang mendesak beliau mengambil pendirian yang tegas tentang pasir minyak yang banyak sekali di negara itu. Pasir minyak mewakili rizab yang sangat besar di luar Timur Tengah, tetapi mengeluarkan minyak mentah yang tebal dari pasir mengeluarkan jumlah yang banyak gas rumah hijau, yang menjadi punca kehangatan global. “Presiden Obama dan orang awam Amerika perlu tahu bahawa tar pasir mengeluarkan minyak yang kotor di bumi ini.  Pasir tar merupakan bencana kehangatan global antarbangsa,” kata Mike Hudema daripada Greenpeace.  Walau bagaimanapun, dikatakan masalah bagi Obama ialah bahawa Kanada ialah pembekal tunggal terbesar tenaga ke Amerika Syarikat. 
Tatkala perlombongan  pasir di Selangor masih hangat lebih-lebih lagi  kerana melibatkan percakaran politik, pada kulit depan majalah The Economist dalam keluaran 17 – 23 Julai 2010, terpampang, “Shifting Sands:  Change in Coming to the West’s Arab Allies”   dengan gambar lukisan seakan-akan wajah Presiden  Hosni Mubarak – dengan seluruh  badannya, kecuali kepala dan tangan kanannya yang masih terangkat,  ditimbusi oleh pasir.  Sungguh kuat kuasa pasir sehingga presiden mampu ditelannya.    Rupa-rupanya  heboh tentang pasir tidak hanya berlaku di Selangor, bahkan juga kedengaran di dunia Arab, sehingga mendapat liputan media antarabangsa.  Akan tetapi,  di sini mengorek, di sana mengalih.  Di sini wang, di sana kuasa, tetapi wang dan kuasa saling berkaitan: politik dalam perniagaan.
Dalam rencana utamanya, “Thanks You and Goodbye”  majalah itu menyebut bahawa dua buah negara yang paling penting di dunia Arab terletak dalam tangan autokrat yang tua, iaitu Hosni Mubarak di Mesir dan Raja Abdullah di Arab Saudi.  Mungkin kedua-duanya akan dapat mengawal pewarisan.  Namun begitu, majalah itu mengingatkan bahawa peralihan dalam autokrasi selalunya bermakna ketidakstabilan.  Nasib kedua-dua negara ini penting kepada Barat kerana dua alasan:  tenaga dan keselamatan.  Mesir dan Arab Saudi ialah sekutu yang boleh dipercayai, walaupun cacat.  Jika kedua-dua negara ini terhuyung-hayang, kepentingan Barat di dunia Arab dalam bahaya.  Oleh sebab itu, rejim berkenaan perlu digalakkan untuk melonggarkan lagi sistem ekonomi dan politik negara mereka dan mengubah sistem berkenaan menjadi kedudukan yang memberikan harapan dan bukannya ketakutan.
Jika pemimpin di  negeri-negeri  yang terlibat dalam perlombongan  pasir melihat  gambar lukisan   Hosni Mubarak yang ditimbusi pasir, pasti mereka  dihantui oleh  bayang-bayang yang mengerikan!   Seakan-akan memberikan peringatan bahawa  jangan cuba mengorek pasir kerana silap langkah, boleh tertimbus diri sendiri!  Sebagaimana tsunami, pasir juga mampu menelan apa-apa dan sesiapa sahaja.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2010.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...