Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan telah pun
berakhir. Pasukan yang menang, iaitu
Sepanyol masih berpesta, manakala pasukan pilihan yang tewas terpaksa akur
dengan kelemahan masing-masing. Di
samping 32 buah pasukan yang
bertanding, Paul, kurita keramat juga menunjukkan kehebatannya meramalkan
keputusan perlawanan, khususnya pertandingan yang melibatkan Jerman
dan pertandingan akhir. Selain sokongan
para penonton dan tiupan vuvuzela,
kehadiran bintang pop Colombia, Shakira turut menyerikan pertandingan yang
berprestij itu, dan lagu dendangannya
sempena perlawanan akhir, Waka
Waka terus berkumandang hingga kini.
Tidak ketinggalan yang menarik perhatian ialah slogan antirasis apabila Afrika Selatan selaku tuan rumah
pertandingan, menyediakan gelanggang untuk memperlihatkan pendirian terhadap rasisme.
FIFA menggunakan empat pertandingan suku akhir untuk menentang rasisme
dan menyeru para penyokong di seluruh dunia dengan kempennya, “Katakan Tidak kepada
Rasisme.” Federico Addiech, Ketua Jabatan
Tanggungjawab Sosial FIFA, berkata bahawa “Kami berkata bahawa kami mahu
membuat kenyataan yang jelas kepada berbilion penduduk di seluruh dunia tentang
pendirian padu bola sepak terhadap rasisme dan semua bentuk diskriminasi dan
tiada tempat yang lebih baik untuk melakukannya, selain Piala Dunia.” Ada yang berkata bahawa menonton Piala Dunia
pada hari ini mereka berasa gembira melihat kempen antirasis itu.
Sememangnya, kuasa yang luar biasa dalam sukan dan pertandingan untuk menembusi
prejudis. Daripada Jesse Owens yang menguasai
pertandingan dalam Olimpik di hadapan Hitler kepada Jackie Robinson yang
membuka laluan untuk menerima keturunan Afrika Amerika dalam sukan profesional,
kita dapat melihat kuasa sukan dalam masyarakat. Demikian tulis Eric Bryant dalam Diversity dengan teruja dan penuh keyakinan untuk
menentang rasisme.
Bahkan, ada yang
mengatakan bahawa unsur yang paling mengagumkan
dalam pertandingan Piala Dunia itu dari
sudut kemanusiaan ialah komitmen yang membara untuk menyingkirkan rasisme
antarabangsa. Rayuan adalah semuanya lebih dramatik dan bermakna dalam edisi
pertandingan bola sepak antarabangsa tahun ini di negara tuan rumah ialah
Afrika Selatan, yang berpuluh-puluh
tahun menjadi kampung halaman sistem
penindasan berasaskan kaum yang dikenali aparteid. Gambar Nelson Mandela, tokoh unggul perpaduan
dan menentang rasisme dengan bersunguh-sungguh, kelihatan sebagai bukti di
stadium tempat pertandingan diadakan di
seluruh negara itu. Sebelum pertandingan
bermula, pemain daripada kedua-dua pasukan menyampaikan kenyataan mengutuk
rasisme. Selepas itu, untuk menunjukkan
perpaduan, gambar kedua-dua pasukan diambil untuk menunjukkan penentangan
terhadap perasaan benci, ketaasuban, dan
kejahilan.
Pertandingan Piala Dunia baru-baru ini bukan sahaja sentiasa
di bibir para pengulas sukan dan peminat
sukan tempatan dan antarabangsa, tetapi
juga mendapat ulasan atau pandangan para pemimpin dunia dan cerdik pandai. Misalnya, Roger Cohen ke Afrika Selatan untuk memenuhi kolumnya dalam akhbar The New York Times dengan pelbagai
topik: perbualannya dengan Henry
Kissinger tentang bola sepak; vuvuzela;
di sebalik kekalahan Perancis; tentang negara tuan rumah itu sendiri dari segi
ekonomi dan politik; tentang Mezut Ozil, pemain Jerman yang berketurunan Turki;
dunia harapan, iaitu perbezaan antara peperangan dengan keamanan; dan akhir
sekali tentang Paul kurita keramat.
Tidak kurang pertanyaan “nakal” yang memperlihatkan bahawa bangsa atau keturunan tetap merupakan
pertimbangan penting yang ditujukan
kepada Timbalan Perdana Britain, Nick Clegg menjelang pertandingan akhir. Sebagai pemimpin parti kecil dalam kerajaan
campuran, beliau banyak bertolak ansur.
Kemudian, beliau terpaksa
melakukan perkara yang serupa, sama ada
menyokong Belanda atau Sepanyol kerana isterinya, Miriam González
Durántez kelahiran Sepanyol, sedangkan beliau sendiri
separuh Belanda daripada keturunan ibunya.
Bola sepak, seperti yang diperhatikan oleh sesetengah orang, bukan sekadar sukan,
tetapi lebih daripada itu. “Ya, bola
sepak hanya satu permainan. Pasti.
Tidak, bola sepak ialah perang melalui cara lain, dan oleh itu, semua
julukan – ‘pembolos,’ ‘pemberontak’ – bertalu-talu dilemparkan kepada pemain
yang mengaibkan ‘la France’ di pentas yang paling banyak ditonton di dunia,”
demikian ulas Roger Cohen berikutan kekalahan.
Dayo Olopade yang menulis dalam The Atlantic.com tentang pascakolonial bola sepak mengetengahkan
hujah yang sungguh menarik: “Oleh sebab
bola sepak ialah sukan, maka kesamaan atau pariti tidak dijamin. Namun begitu, pertandingan setiap empat tahun
itu mewujudkan peluang yang jarang-jarang wujud bagi negara yang pernah dijajah
untuk mencabar kuasa besar pada abad lalu.
Tidak kira bagaimana berdarah atau kompleks sejarah, Piala Dunia
memberikan peluang kepada empayar untuk menyerang balas.”
Seandainya Edward Said masih
hidup tentunya beliau berasa terperanjat dan mungkin juga gembira melihat
pemikiran pascakolonialnya diperluas ke dalam bidang sukan bola sepak. Seperti yang diketahui, pascakolonialisme
pada mulanya muncul dalam wacana ilmu sebagai kritikan terhadap Orientalisme
yang merupakan wadah kolonial. Tumpuan
wacana pascakolonial adalah untuk membongkar peminggiran, ketidaksamaan, dan
diskriminasi yang muncul daripada kolonialisme
berterusan dalam sistem global kini, dan menuntut struktur ketidaksamaan
tersebut. Para pendukung
pascakolonialisme di peringkat antarabangsa, termasuk Edward Said sendiri, seperti yang dapat dilihat dalam
bukunya, Orientalism, dan di
Malaysia, seperti yang dapat dilihat dalam Pascakolonialisme
dalam Pemikiran Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak menyentuh bola sepak dalam wacana mereka. Namun begitu, Dayo Olopade
memperlihatkan kebijakan dan daya kreatifnya,
membahaskan pascakolonial bola
sepak melalui makalah, “At
the World Cup, the Empire Strikes Back.”
Keunikan pascakolonialisme, pampasan,
usaha untuk mengaburkan kebenaran, aliran kaum imigran, dan peperangan langsung – mencipta drama yang
tinggi dalam semua sukan. Tulis Olopade.
“Perlawanan pascakolonial tahun
ini, termasuk Amerika Syarikat lawan England (beliau tulis United Kingdom), Portugal lawan Brazil, dan
Sepanyol melawan hampir setiap pasukan
yang lain.” Kehadiran pasukan
dari Afrika dan Amerika Latin – dari negara yang pernah dijajah untuk menentang
negara penjajah, seperti England, Belanda, Sepanyol, Perancis, dan Portugal
dalam Piala Dunia baru-baru ini menandakan padang permainan disamaratakan. Seandainya Algeria berkesempatan menentang
Perancis, pastinya ada sesuatu yang menarik untuk berbicara tentang
pascakolonial bola sepak.
Seterusnya, beliau menegaskan
bahawa identiti etnik dan nasional yang samar-samar dalam Piala Dunia moden ini
merumitkan perhitungan mudah Stephen Biko, aktivis antiaparteid Afrika Selatan,
tentang kulit hitam pada kulit putih (black on white), Dunia Ketiga melawan
Dunia Pertama, kita melawan mereka. Hari
ini, pasukan Perancis dipenuhi oleh pemain keturunan Arab dan Afrika, pasukan
Jerman dengan pemain utama keturunan Turki, pasukan Belanda akhirnya memiliki
penyerang kulit hitam. Pemain Argentina
lebih lama tinggal di Sepanyol; Kaka dari Brazil dan Cristiano Ronaldo dari
Portugal bermain bersama-sama untuk Real Madrid. Sembilan pemain Amerika tinggal di Britain –
tujuh lagi ialah generasi pertama Amerika.
Sejarawan terkenal, Eric Hobsbawm, yang bukunya pernah
diulas dalam Dewan Masyarakat, melihat
bola sepak dalam konteks komuniti yang dibayangkan – konsep yang
diperkenalkan oleh Benedict Anderson. “Komuniti yang dibayangkan berjuta-juta
orang,” tulis Hobsbawm,
“kelihatan lebih betul-betul sebagai pasukan 11 orang yang
dinamakan.” (The imagined community of milions seems more real as a team of eleven
named people.) Bahkan, tegas beliau,
kebangkitan semula nasionalisme Inggeris menemui penyataan awamnya yang pertama
dalam pameran awam bendera pasukan bola sepak
Inggeris antarabangsa (berbeza daripada Scotland, Welsh, dan Ireland
Utara).
Nasionalisme dan identiti nasional, menurut
Anderson, bukannya kebenaran yang pasti atau konkrit, sebaliknya ialah bayangan kolektif. Untuk setiap warganegara mengetahui
warganegara lain dan mengenali diri mereka dalam hubungan dengan warganegara
lain hanya boleh muncul melalui jenis identiti massa kolektif yang dibentuk dan
diperkukuh menerusi imaginasi. Beliau
mentakrifkan bangsa sebagai “komuniti politik yang dibayangkan bahawa
dibayangkan sebagai kedua-duanya, iaitu memang terhad dan berdaulat (inherently limited and
sovereign).
Komuniti yang dibayangkan adalah berbeza
daripada komuniti sebenar kerana komuniti yang dibayangkan tidak (dan tidak
boleh) berasaskan interaksi muka dengan muka (face-to-face) setiap hari antara anggota komuniti berkenaan. Sebaliknya, anggota tersebut menyimpan dalam
minda mereka bayangan (imej mental) tentang kesamaan mereka, misalnya
kenegaraan yang anda rasakan dengan anggota lain dalam bangsa (nation) anda apabila “komuniti yang
dibayangkan” anda itu menyertai acara yang lebih besar, seperti Sukan
Olimpik. Bangsa, tegas Anderson, “ialah
dibayangkan kerana anggota, bahkan bangsa yang lebih kecil tidak pernah
mengetahui kebanyakan anggota bangsa mereka, tidak pernah berjumpa dengan mereka,
atau bahkan tidak pernah mendengar tentang mereka. Namun begitu, dalam minda setiap anggota itu
hidup imej perhubungan mereka.”
Walau bagaimanapun, komuniti yang dibayangkan adalah berbeza untuk
pasukan England, seperti yang cuba dibahaskan oleh Gary
Younge dalam “What Soccer Says About Us” yang diterbitkan dalam majalah The Nation pada pertengahan Julai lalu. Komuniti
nasional England adalah hanya
betul-betul sebagai pasukan 11 orang yang dinamakan. Sementara identiti sukan
muncul daripada identiti nasional di kebanyakan negara, di England adalah
sebaliknya. Selagi England bermain bola sepak – permainan yang berakhir dalam
tempoh 90 minit, negara itu muncul. Namun begitu, sebaik sahaja permainan atau
kejohanan berakhir, “bangsa” (nation)
tidak wujud lagi. Bendera England hilang;
kostum dan jalur dilipat, dibasuh dan disimpan untuk pertandingan akan
datang. Maka, rumus Younge, bola sepak ialah “bangsa
90 minit.”
Bagi Younge, tanggapan bahawa
kita dapat mengagak suasana nasional daripada hubungan negara dengan
pasukan sukan kebangsaannya adalah keterlaluan.
Apabila Perancis memenangi Piala Dunia pada tahun 1998, komposisi yang
pelbagai dalam pasukannya dialu-alukan sebagai aset yang paling besar, memberi harapan bahawa negara yang wujud pembahagian kaum dan agama yang cukup luas
mungkin dapat mencari jalan untuk hidup bersama demi kebaikan bersama. “Apakah contoh yang lebih baik tentang perpaduan dan kepelbagaian kita
berbanding dengan pasukan yang indah dan mengagumkan,” kata Perdana Menteri
Sosialis, Lionel Jospin.
“Wawasan utopia ini,” tulis
Younge, “jelas tidak tahan lama. Menjelang Piala Dunia akan datang, pemimpin
terlampau kanan (far-right), Jean-Marie Le Pen mengalahkan Jospin untuk menduduki
tempat kedua dalam pusingan pertama pilihan raya presiden. “Tahun ini (Piala Dunia di Afrika Selatan),
pasukan ini berpecah belah dengan persaingan kaum dan agama sesama sendiri,
mencetuskan tuduhan percakapan nasional berbau perkauman tentang pengasingan
dan ‘mentaliti ghetto’.”
Younge merumuskan bahawa sukan
hanya boleh melakukan sesuatu dengan banyak, dan sebagaimana metafora, sukan
boleh menjadi kasar dan menyusahkan.
Nasionalisme yang dilahirkan oleh sukan boleh menjadi keji, ganas, dan
mudah terpengaruh dengan manipulasi.
Akhir sekali, mempunyai identiti
nasional melalui corong kejohanan lelaki
secara eksklusif (bola sepak wanita berkembang, tetapi masih tidak ada tempat
dari segi budaya), adalah memang terhad.
Kini, tiupan vuvuzela
tidak kedengaran lagi, bendera kebangsaan negara yang bertanding telah
diturunkan, para penyokong dengan kostum yang mencerminkan identiti nasional
masing-masing sudah tidak kelihatan, dan
rangkaian sukan kabel beralih kepada sukan lain, seperti besbol. Sesungguhnya, sesuatu yang dapat dipelajari
daripada pertandingan yang berprestij itu ialah bagaimana bola sepak menjelaskan
dunia. Bola sepak permainan yang cukup
menarik, permainan dunia, dan bagaimana sukan ini memberikan makna kepada
dunia. Justeru, memang tepat jika ada orang berkata bahawa untuk menggunakan
bola sepak, iaitu penontonnya, pemainnya, dan strateginya sebagai cara berfikir
tentang bagaimana orang ramai mengenali diri mereka pada era baru globalisasi
(dan ketidakpuasan hati).
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, September 2010, di bawah judul "Antirasisme dan Pascakolonialisme.")
No comments:
Post a Comment