Artikel Popular

Saturday, April 13, 2019

Teori dan Pendekatan Pembangunan


SABTU, 13 April 2019 
Oleh: ZULKIFLI SALLEH



Berbagai-bagai teori pembangunan ekonomi dikemukakan berdasarkan aliran pemikiran dan pengalaman negara-negara tertentu di dunia ini. Antara teori tersebut ialah neoklasik, tahap pertumbuhan Rostow, putaran ganas, keseimbangan separuh stabil Leibenstein, dualisme, pendekatan strukturalis, imperialisme,  dan pendekatan  pergantungan. Persoalannya, adakah teori atau pendekatan itu mencukupi untuk menganalisis krisis pembangunan di negara Dunia Ketiga (NDT)? Apakah setengah-setengah teori yang dibentuk dan dikembangkan berdasarkan  pengalaman negara maju kini secocok  dengan NDT?
Semua persoalan ini dijawab dan diulas dalam Teori Pembangunan Ekonomi:  Satu Ulasan Kritis terhadap Pendekatan yang Sedia Ada (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1986) yang ditulis  oleh  Jomo K.S. dan  Shamsulbahriah Ku Ahmad. Buku ini cuba menyingkap semula berbagai-bagai teori dan pendekatan pembangunan yang menjadi persoalan utama di NDT, khususnya selepas Perang Dunia Kedua. Keistimewaan buku terletak pada kemampuan pengarang mengenal pasti semua teori dan  pendekatan serta mengelaskannya berdasarkan aliran pemikiran pelopor atau pendukungnya.  Pengelasan juga dibuat berdasarkan rentetan, yakni mengikut tahap perkembangannya.
Meskipun pengarang mengkritik teori dan pendekatan yang ada,  pengarang juga memberikan gambaran yang wajar dan adil. Misalnya, pengarang mengkritik penganjur teori ekonomi neoklasik yang begitu yakin bahawa teori ini boleh digunakan dalam semua keadaan ekonomi. Namun begitu, pada hakikatnya,  teori ini hanya berdasarkan pengalaman negara tertentu, tanpa mengambil kira hubungan negara berkenaan dengan negara lain ataupun sifat sistem ekonomi dunia keseluruhannya.
Buku ini mendedahkan bagaimana wujudnya kekaburan dalam kalangan ahli  teori  pembangunan ekonomi apabila mereka  membentuk dan memajukan teori masing-masing. Misalnya, W. W.  Rostow, pengarang buku The Stages of Economic Growth:  A Non-Communist Manisfesto dianggap sebagai ahli pemikir sejarah ekonomi Akan tetapi, Rostow telah mengetepikan kenyataan sejarah ekonomi yang tidak sesuai dengan hujah dan pendekatannya. Seperti ditegaskan oleh Paul A. Baran dan Eric Hobsbawn dalam artikel  “The Stages of Economic Growth: A Review,”  Rostow bukannya mementingkan pengukuhan teori pembangunan ekonomi, tetapi lebih mementingkan untuk menulis manifesto bukan komunis.” [Untuk kritikan yang lebih menarik, rujuk  Charles K. Wilber (ed.), The Political Economy of Development and Underdevelopment, Random House, 1973). Walau bagaimanapun,  idea Rostow ini telah diterima dengan meluas dan mempengaruhi dasar pembangunan di negara maju dan negara membangun.
Kekaburan juga terdapat dalam  kalangan ahli teori dan dualisme, seperti Benjamin Higgins (dualisme teknologi), Manning Nash (difusi), Hoselitz, Everett Hagen,  dan McClelland (pendekatan psikologi).  Mereka menganggap faktor dalaman, seperti sosiobudaya menghalang pembangunan di sesebuah negara. Pemikiran mereka pernah dan masih mempengaruhi pemikiran ahli-ahli politik di negara ini, khususnya apabila golongan ini membincangkan masalah kemiskinan dan kemunduran dalam kalangan orang Melayu, lantas mereka menganjurkan perubahan sikap dan revolusi mental. Jadi,  tidak hairanlah teori dualisme juga mempengaruhi dasar dan pelaksanaan pembangunan di negara ini.
Kemudian muncul pemikiran yang lebih kritis, iaitu pendekatan strukturalis, imperialisme,  dan pergantungan yang lebih menekankan faktor luar yang menentukan pembangunan dan kemunduran sesebuah negara. Dalam konteks NDT, meskipun  terdapat beberapa kelemahan, sekurang-kurangnya pendekatan ini   lebih memahami masalah NDT. Pendekatan strukturalis yang menekankan penjajahan, laissez faire, perdagangan antarabangsa, pembahagian kerja antarabangsa dan faedah bandingan telah mengakibatkan terjadinya pembangunan tidak seimbang  antara negara maju dengan negara membangun.
Kesempurnaan buku ini ialah  adanya pendekatan pergantungan yang terdiri daripada beberapa aliran pemikiran untuk menganalisis kemunduran NDT. Kemunculan pendekatan ini yang dikenali juga pendekatan ekonomi politik, telah membuka gelanggang baharu ke arah perdebatan tentang  pembangunan dan kemunduran khususnya di NDT. Bahkan, pendekatan ini telah mencabar kesahihan teori-teori sebelumnya, misalnya tahap pertumbuhan Rostow dan dualisme.
Pendekatan ini juga menggalakkan perhatian terhadap ragam pengeluaran, pembentukan masyarakat dan hubungan kelas - yang cuba menggabungkan faktor luaran dan dalaman untuk menjelaskan proses sosial, politik, dan ekonomi masyarakat NDT.
Bab terakhir buku ini merupakan sintesis daripada pendekatan imperialisme, pergantungan,  dan pembentukan masyarakat. Ketiga-tiga pendekatan ini dipengaruhi juga oleh sejarah dan keadaan di negara kita. 
Dengan berpandukan buku ini, para pembaca bukan sahaja dapat memahami teori dan pendekatan pembangunan, bahkan mereka akan dapat mengenal pasti apakah teori dan pendekatan pembangunan yang digunakan dalam rancangan pembangunan di negara ini, walaupun jarang-jarang dinyatakan dalam dokumen pembangunan.
(Dewan Masyarakat, Jun 1987.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...