Artikel Popular

Thursday, July 9, 2020

Rukun Negara: Latar Belakang Sejarah


KHAMIS, 9 Julai 2020
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

(Dipetik dan diubah suai daripada manuskrip yang belum diterbitkan “Tun Abdul Razak dan Pembinaan Negara.”)

Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirumuskan oleh kerajaan  sebagai asas ekonomi tentang Rukun Negara.  Tun Abdul Razak yang bijak sememangnya menyedari bahawa walau bagaimana penting sekalipun keunggulan Rukun Negara dan perolehan persetujuan ramai, penentuan sama ada perjuangan bagi memperoleh perpaduan akan dicapai, atau tidak akan diketahui melalui penyusunan semula negara dari segi ekonomi dan sosial. Jadi, DEB dirangka dengan niat untuk memberikan kandungan dan isi kepada ideologi pembangunan negara Malaysia yang baharu, seperti yang terdapat dalam Rukun Negara (Faaland, Parkinson, Rais, 1991:  31). DEB ialah dasar jangka panjang yang meliputi tempoh selama 20 tahun (1971 – 1990).
            Tujuan utama kerajaan melancarkan DEB, dengan Rancangan Malaysia Kedua 1971 – 1975 sebagai tahap pertamanya, adalah untuk mentafsirkan ideologi Rukun Negara mengikut maksud pengendalian.  Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, “Rancangan ini merupakan rancangan terperinci bagi DEB.  Rancangan ini menggabungkan objektif yang mempunyai dua tujuan, iaitu bagi membasmi kemiskinan, tanpa mengira kaum, dan bagi menyusun masyarakat Malaysia untuk mengurangkan dan secara beransur-ansur, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi”  (Faaland, Parkinson, Rais, 1991:  93 – 94). 
            Rancangan Malaysia Kedua menggabungkan DEB yang bercabang dua untuk pembangunan.  Cabang pertama bertujuan untuk mengurangkan dan akhirnya menghapuskan kemiskinan dengan meninggikan pendapatan dan menambahkan guna tenaga untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan mereka. Cabang kedua bertujuan untuk menyegerakan proses penstrukturan semula masyarakat  Malaysia untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya kelaziman mengaitkan sesuatu bangsa dengan fungsi ekonomi tertentu dapat dikurangkan hingga akhirnya dapat dihapuskan secara beransur-ansur (Milne dan Mauzy, 1982: 415). Walau bagaimanapun, pandangan lain mengatakan bahawa DEB menjadi lebih penting daripada Rukun Negara, kerana DEB menjadi asas dan kayu ukuran untuk semua dasar ekonomi dan sosial yang diunjurkan sekurang-kurangnya hingga tahun 1990 (Means, 1991: 23).
            Langkah positif telah diambil untuk menyelesaikan pertikaian antara ketiga-tiga kaum yang terbesar  di Malaysia (Melayu, Cina, dan India) dengan penubuhan tiga institusi  Pada Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan, dengan Datuk  Dr. Agoes Salim sebagai ketuanya.  Seterusnya, Tun Abdul Razak menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MPN) pada tahun 1970 untuk memajukan konsensus tentang isu nasional dan mengenal pasti dan bersetuju tentang ideal yang implisit dalam Perlembagaan Persekutuan atau melampaui Perlembagaan (Ahmad Sarji, 2016: 29). Pada tahun itu juga Majlis Muhibah Negara  ditubuhkan yang dianggotai oleh 53 orang ahli yang dipilih oleh Tunku sebagai pengerusi Majlis).  Walau bagaimanapun, jentera Majlis Muhibah Negara tidak sama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan MPN (Milne dan Mauzy, 1982: 116).
            Daripada berbagai-bagai organisasi yang ditubuhkan selepas 13 Mei, MPN yang paling menarik.  Secara am, tujuannya diberikan sebagai “untuk mengadakan garis panduan bagi kerjasama antara kaum dan integrasi sosial untuk memupuk identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia (Milne dan Mauzy, 1982: 116). Tugas MPN adalah untuk menentukan “penyelesaian” yang kekal terhadap masalah perkauman untuk menentukan bahawa tragedi 13 Mei tidak berulang lagi. Dalam beberapa perkara MPN merupakan institusi yang ditubuhkan sebagai menggantikan Parlimen.  Majlis ini merupakan sebuah badan berbilang kaum yang mengandungi 65 orang ahli yang mewakili kerajaan negeri dan Persekutuan, parti-parti politik (kecuali DAP dan Parti Rakyat), dan golongan yang berpengaruh” (Comber, 2007:  150 – 151).  MPN yang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Jawatankuasa Ekonomi dan Jawatankuasa Politik.  Hasil perdebatan yang panjang lebar, maka terbentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan  Rukun Negara (Lim, 2006: 126).
            Pada pertengahan Julai 1969, Tan Sri (Tun) Ghazali Shafie mengumumkan matlamat untuk menyediakan garis panduan dalam mewujudkan ideologi negara.  Rangkanya telah disediakan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang diketuai  oleh beliau sendiri.  Rangka akhir telah diserahkan kepada MPN untuk diluluskan (Comber, 2007: 151). Beberapa orang pegawai awam kanan dan akademik membantu merangka Rukun Negara, termasuk Tun Muhammad Ghazali Shafie, Tun Abdullah Ayob, Tan Sri Zain Azraai, Datuk Khatijah Ahmad, Tan Sri profesor Khoo Kay Kim, profesor James Peter Ongkili, Tan Sri Rama Iyer, Tun Mohd. Salleh Abas, dan Datuk Dr. Agoes Salim (Ahmad Sarji, 2016: 30).  Pada 31 Ogos 1970, Yang di-Pertuan Agong secara rasmi mengisytiharkan ideologi negara yang dinamakan Rukun Negara, dengan lima prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan. Menurut Tun Ahmad Sarji prinsip ini diterima oleh semua dan boleh diterapkan untuk semua, adalah bertujuan untuk memandu tindakan negara baharu, dan semua parti politik yang mengaggotai MPN, di samping DAP yang tidak menganggotai MPN, meluluskan Rukun Negara  (Ahmad Sarji, 2016: 30). 
Rukun Negara diwujudkan kerana memandangkan masyarakat Malaysia yang berpecah-belah, termasuk perpecahan kaum yang digunakan untuk tujuan jahat pada 13 Mei, maka perlulah bagi negara untuk mencari jalan bagi mencapai matlamat tertentunya.  Untuk tujuan ini prinsip tertentu diperlukan sebagai panduan untuk mencapai matlamat tersebut (Milne dan Mauzy, 1982: 120).   Dengan memetik takrif ideologi  yang terdapat dalam kamus Paul Sigmund sebagai “suatu skim yang bersistem atau badan penyelaras idea mengenai kehidupan atau kebudayaan, maka jika dibandingkan sudah tentulah rangkai kata untuk Rukun Negara itu agak am.  Ini bukanlah satu ideologi dalam erti kata falsafah  yang dirancang secara menyeluruh” (Milne dan Mauzy, 1982: 120 – 121).  Menurut Tun Mohd. Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara,  Rukun Negara tidak mengenakan kewajipan yang lebih dan tidak memberikan hak yang lebih berbanding dengan apa yang sudah terkandung dalam Perlembagaan.  Jadi, usaha untuk mematuhi Rukun Negara tidak lebih daripada usaha untuk mematuhi Perlembagaan (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 30).
Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, kerajaan dan negara yang khidmatnya dicurahkan, untuk pertama kali mempunyai falsafah dan ideologi negara atau prinsip asas, iaitu Rukun Negara (Ahmad Sarji, 2016: 31). Walau bagaimanapun, tidak seperti Pancasila dan bahasa Indonesia berjaya dalam pembinaan bangsa di negara itu, Rukun Negara dan bahasa Melayu adalah sebaliknya.  Mungkin hal ini juga ada kaitannya dengan “usaha untuk  membuat rakyat memahami Rukun Negara supaya mencapai matlamat perpaduan negara akan mengambil masa yang panjang” (Milne dan Mauzy, 1982: 121).
Dalam salah satu ucapannya, Tun Abdul Razak, menyatakan bahawa Rukun Negara, DEB, DPK, dan DKK, semuanya akan menyumbang ke arah apa yang beliau  istilahkan sebagai “Malaysia Baru” (Ahmad Sarji, 2016: 41).  Hal ini jelas menunjukkan bahawa menerusi ideologi negara dan dasar negara, beliau mempunyai impian dan wawasan pembinaan negara.



Monday, July 6, 2020

Politik Jati Diri: Dari Sungai Kandis ke Tanjung Piai


ISNIN, 6 Julai 2020
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Bagi kebanyakan daripada kita, jati diri atau jati diri nasional bukanlah sesuatu yang asing sama sekali. Tambahan pula, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, politik jati diri pula muncul dalam arena politik antarabangsa.  Dari segi sejarah,  menurut Stanford Encyclopedia of Philosophy,  pada bahagian kedua abad ke-20, menyaksikan kemunculan gerakan politik skala besar, misalnya feminisme gelombang kedua, Hak Sivil Orang Kulit Hitam di Amerika Syarikat,  pembebasan gay dan lesbian, dan  gerakan Kaum India Amerika, berasaskan dakwaan tentang ketidakadilan yang dilakukan oleh  kumpulan sosial tertentu.  Politik jati diri sebagai ragam pengaturan ialah hubungan rapat dengan idea yang sesetengah  kumpulan sosial yang ditindas; maksudnya, bahawa jati diri seseorang sebagai wanita atau Peribumi Amerika misalnya, menjadikan seseorang itu agak aneh terdedah pada imperialisme budaya, keganasan, eksploitasi, peminggiran, atau tidak ketakberkuasaan.
            Kemunculan Francis Fukuyama dengan buku terbaharunya, Identity: The Demand for Dignity and Politics of Resentment seolah-olahnya  membayangkan bahawa beliau mula berundur daripada demokrasi liberal dan  tunduk pada politik jati diri yang  melanda banyak negara demokrasi. “Tuntutan terhadap pengiktirafan jati diri seseorang,” tulis Fukuyama, “merupakan politik jati diri berkembang kepada fenomena yang lebih luas, sebagai kebangkitan nasionalisme gaya lama dan Islam yang dipolitikkan. 
            Bagi Fukuyama, politik jati diri  berkait rapat dengan maruah dan pengiktirafan,  seperti yang ditegaskan oleh  beliau: “Politik jati diri sezaman dipacu oleh pencarian untuk pengiktirafan yang sama oleh kumpulan yang dipinggirkan oleh masyarakat mereka. Akan tetapi, keinginan itu untuk pengiktirafan yang sama boleh mudah terjebak ke dalam tuntutan terhadap pengiktirafan penguasaan kumpulan (group superiority)”. Beliau menegaskan bahawa  kedua-duanya, iaitu nasionalisme dan Islam boleh dilihat sebagai spesies politik jati diri.
Seterusnya,   Fukuyama mendedahkan kemerosotan puak kiri lama berasaskan kelas yang memang memeranjatkan memandangkan kebangkitan ketidaksamaan global yang gagal dimanfaatkan oleh puak kiri. Beliau  menjelaskan puak kiri memberikan laluan kepada politik jati diri akibat mereka  kurang memberikan tumpuan terhadap kesamaan ekonomi yang lebih luas dan lebih mempromosikan kepentingan pelbagai kumpulan yang lebih luas, yang dianggap sebagai terpinggir, seperti kaum kulit hitam, golongan imigran, wanita, orang Hispanic, komuniti LGBT, dan sebagainya. Sementara itu, puak kanan mentakrifkan semula diri mereka sebagai patriot yang cuba melindungi jati diri nasional tradisional, iaitu jati diri yang secara eksplisit, dikaitkan dengan ras, etnisiti, atau agama.
            Tan Sri Andrew Cheng, yang menulis dalam South China Morning Post, “How Malaysia Can Overcome Identity Politics and Create Inclusive Growth Amid Diversity”, bersempena 55 tahun pembentukan Malaysia, menegaskan bahawa di Malaysia, politik jati diri menjadikan nationhood  lebih kompleks. Sheng seterusnya memetik  pemerhatian Fukuyama yang menulis dalam Foreign Affairs: “satu-satu kumpulan terpaksa mempercayai bahawa jati diri, sama ada nasional, agama, etnik, seksual, gender, atau sebagai tidak menerima perhatian yang cukup”.
Sebenarnya, politik jati diri  berasaskan bangsa   wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua, bermula dengan penubuhan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) pada tahun 1929, pimpinan Muhmmad Eunos Abdullah. KMS dikatakan mempengaruhi penubuhan parti politik di Semenanjung,  misalnya Kesatuan Melayu Selangor. Syed Muhd Khairudin Aljunied dalam bukunya,  Radicals: Resistance and Protest in Colonial Malaya, menyatakan   “di balik keterbatasannya,   KMS berjaya meninggalkan impak yang tidak dapat dikikis terhadap golongan radikal yang bercita-cita tinggi.  Pengasas organisasi baharu ini memilih nama yang hampir sama dengan KMS, iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM)”. KMM ditubuhkan pada April  1938, ialah hasil daripada pakatan beberapa orang pemuda Melayu nasionalis kiri yang berjiwa radikal dan revolusioner.
Rustam A. Sani dalam bukunya, Asal Usul Sosial Golongan Kiri Melayu: Satu Analisis Berkenaan Kesatuan Melayu Muda, membayangkan hakikat kewujudan politik jati diri di negara ini. Rustam mengingatkan supaya aspek ideologi tidak terlalu ditekankan pada konsep, seperti “golongan kiri Melayu”, yang merujuk kepada  KMM,  Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pusat Tenaga Rakyat (Putera), dan Parti Rakyat Malaya (PRM). Tegas beliau,  “sifat politik Melayu (bahkan, politik Malaysia secara keseluruhan) dalam pelbagai manifestasi adalah lebih ‘bersifat perkauman’ daripada ‘bersifat ideologi’.”
            Di Malaysia, sejak akhir-akhir ini, berikutan kerjasama yang terjalin antara UMNO dengan PAS sehingga melahirkan “Muafakat Nasional”, bagi sesetengah cerdik pandai politik, boleh membawa kepada politik jati diri: bangsa dan agama. Pandangan tersebut bertitik tolak daripada beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung hanya beberapa bulan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14, yang menyaksikan kerjasama antara kedua-dua parti itu mula terjalin.  PRK itu bermula dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, iaitu Sungai Kandis, Seri Setia, dan Balakong. Kemudian di Parlimen Port Dickson dan Cameron Highlands, balik semula ke DUN Semenyih di Selangor dan seterusnya di Rantau Negeri Sembilan. PRK yang sebelum ini tertumpu di Semenanjung beralih ke Sandakan, Sabah.
            Walau bagaimanapun, pada mulanya kerjasama antara UMNO dengan PAS yang memberikan laluan antara satu sama lain  tidak membuahkan hasil. Di Sungai Kandis misalnya, semasa PRU ke-14, daripada jumlah 50,800 pengundi yang berdaftar, seramai 43,470 telah keluar untuk mengundi, iaitu 85 peratus. Daripada  jumlah ini, calon Pakatan Harapan (PH) memperoleh  23,998 undi (55.5 peratus), UMNO memperoleh  11,518 undi (26.5 peratus), PAS memperoleh 7573 undi (17.5 peratus),  dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh hanya 76 undi. Sementara itu, dalam PRK, yang berlangsung pada Ogos 2018,  calon PH,  Mohd Zawawi Ahmad Mughni  memperoleh 15,427 undi,  menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang memperoleh 9585 undi.  Keputusan dengan majoriti 5842 undi,  ditafsirkan sebagai penolakan rakyat terhadap politik bangsa dan agama yang dilaung-laungkan oleh UMNO dan PAS.
            Di Seri Setia yang  berlangsung pada awal September 2018, menyaksikan pertandingan  antara calon PH,  Halimey Abu Bakar dengan calon PAS, Dr. Halimah Ali. Keputusannya, Halimey  memperoleh 13,725 undi mengalahkan Halimah yang memperoleh  9868 undi, dengan majoriti 4027 undi. Dengan jumlah undi yang diperoleh calon PAS   itu  menunjukkan bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS mula mencipta rentaknya. Dalam PRK itu kerjasama melonjak ke tahap lebih tinggi apabila UMNO  menurunkan jenteranya bagi membantu PAS sepanjang tempoh 21 hari kempen. PAS mula mara di Seri Setia yang merupakan kubu kuat PH selama tiga penggal dan PH mempunyai kekuatan 3M,  iaitu “money” (wang),  “media,” dan “machinery” (jentera).
Oleh sebab tiga PRK di Selangor itu berkeputusan calon PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP meraih kemenangan yang boleh dikatakan selesa, menunduk calon Barisan Nasional (BN), PAS, dan MCA (di Balakong, MCA bertanding menggunakan simbol sendiri), maka riak  politik jati diri sukar dikesan. Rentak  PH ini berterusan ke Port Dickson yang menyaksikan kepulangan semula Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam arena politik tanah air.   Seperti yang dijangkakan, dalam PRK  yang berlangsung pada Oktober 2018, bekas Timbalan Perdana Menteri itu meraih kemenangan yang selesa, memperoleh 31,016 undi, dengan majoriti 23,560 undi, dan sekali gus, mengaburkan  politik jati diri.
Meskipun kerjasama UMNO dengan PAS itu pada mulanya  menghadapi halangan dan menempuh laluan sukar, kedua-dua parti itu tidak berundur meninggalkan kerjasama yang terjalin. Para pemimpin kedua-dua parti itu kerap kali muncul bersama-sama di khalayak ramai dan menunjukkan kesepakatan mereka di Dewan Rakyat,  meskipun disindir dan diperlekeh oleh pihak lawan dan dikritik oleh cerdik pandai politik.
Ibarat “tuah dalam kemalangan” bagi BN, berlaku PRK  di Cameron Higlands, meskipun pada mulanya dijangkakan, PH akan meneruskan rentaknya. Walau bagaimanapun,  BN membuat keputusan yang strategik dengan meletakkan calon daripada UMNO dan bukan daripada MIC.  Dalam PRK yang berlangsung pada Januari 2019, calon BN, Ramli Mohd Nor telah meraih 12,038 undi berbanding dengan  Manogaran Marimuthu daripada DAP yang memperoleh  8800 undi. Dengan undi majoriti 3238,  satu angka yang begitu besar jika dibandingkan dengan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen itu dalam PRU ke-14, iaitu sebanyak 597 undi. Meskipun beberapa faktor menyumbang kepada kemenangan calon BN itu, antaranya Ramli ialah anak tempatan daripada suku Orang Asli, disebabkan beliau menentang calon DAP dan PAS pula  berkempen bersungguh-sungguh, maka bangsa dan agama dikatakan mewarnai PRK itu.
BN meneruskan rentak kemenangannya dalam PRK Semenyih dan Rantau. Di Semenyih yang berlangsung pada Mac 2019, calon BN, Zakaria Haji Hanafi memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PH daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi. Dengan kemenangan itu, BN berjaya merampas semula kerusi daripada PH dan memadamkan majoriti 8964 undi yang diperoleh oleh PH dalam PRU lalu. Dalam PRK itu juga, Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan calonnya, Nik Aziz Afiq Abdul  yang sekadar memperoleh 847 undi. Tindakan PSM meletakkan calon Melayu, menggambarkan bahawa  parti itu  seakan-akan cuba bermain politik jati diri dan bukannya menegakkan perjuangan kelas yang merentasi garis kaum, semata-mata untuk meraih undi Melayu yang merupakan pengundi majoriti. Bahkan, jika diperhatikan penampilan calon PRM sepanjang kempen, iaitu cara berpakaian seakan-akan dia calon parti agama.
Sebagaimana di Cameron Highlands, di Semenyih, PAS bekerja keras berkempen untuk calon BN. Akibatnya, kempen PH, termasuk  yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim, menyasarkan serangan terhadap parti itu. Tanpa disedari atau mungkin disengajakan, kempen seperti itu merangsang  kebangkitan politik jati diri kerana para penyokong PAS, memberikan sokongan  padu terhadap calon BN.
Dalam PRK Rantau yang berlangsung pada April 2019, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi,   mengatasi  pesaing terdekatnya,  Dr. S Streram daripada PKR mewakili PH yang memperoleh  5887 undi, dengan majoriti 4510 undi. Oleh sebab Mohamad memperoleh sokongan daripada pengundi Melayu, Cina, dan India, atau dengan kata lain, pengundi “buta warna”, maka sukar untuk mengatakan bahawa politik jati diri mencorakkan PRK itu. Pertarungan antara calon BN dengan calon DAP tidak boleh dianggap sebagai pertarungan antara Melayu dengan bukan Melayu.
 Sebaliknya,  kemenangan beliau itu dikaitkan dengan  pelbagai ketidakpuasan  rakyat terhadap  manifesto,  sama ada lambat ataupun gagal dilaksanakan. Yang paling menarik, ialah BN menang  di semua saluran pengundi muda kerana mereka berhadapan dengan peluang pekerjaan yang gagal disediakan berbanding manifesto  terdahulu PH mahu menyediakan satu juta peluang pekerjaan yang berkualiti.
Tatkala tahun 2019 bersiap sedia untuk melabuhkan tirainya, berlaku satu lagi PRK, iaitu di Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November, berikutan kematian anggota Parlimen daripada  Bersatu. Menepati jangkaan banyak pihak,  keputusan menunjukkan bahawa calon BN,  Wee Jeck Seng  memperoleh 25,466 undi  menewaskan calon Bersatu,  Karmaine Sardini  yang  memperoleh 10,380 undi.   Keputusan majoriti 15,086 undi memang di luar jangkaan  pemimpin politik, pemerhati politik, dan pekerja parti yang bertanding dan merupakan tamparan hebat terhadap PH yang jelas menampakkan bukan politik jati diri.
Kemenangan Wee itu disumbangkan oleh pengundi Melayu dan pengundi Cina yang membentuk jumlah pengundi terbesar, iaitu hampir 100 peratus. Meskipun semasa kempen,  “BMF” (kempen yang mengutamakan produk Islam) turut dijajakan  dan UMNO serta PAS yang baru sahaja memperkenalkan “Muafakat Nasional” disindir kerana berkempen bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan calon bukan Melayu, bukan Islam daripada MCA itu, terbukti bahawa   pengundi Melayu tidak mudah terpengaruh. Di Tanjung Piai, sekali lagi para pengundi ‘buta warna”, dan dengan itu, bayang-bayang politik jati diri  tidak kelihatan.
Selain Wee dan Karmine, terdapat calon Gerakan, Wendy Subramanian yang memperoleh  1707 undi dan   calon Berjasa, Datuk Dr. Badrulhisham Abdul Aziz yang  hanya memperoleh 850 undi. Wendy pada mulanya diramalkan  memperoleh sokongan  daripada pengundi Cina yang meskipun mula berang terhadap PH,  mereka dijangkakan, tidak mengundi calon MCA. Sementara Badrulhisham pula akan  “menuai” daripada kempen “BMF”, tetapi akhirnya  hilang wang pertaruhan. Kedua-duanya, iaitu Wendy dan Badruhisham dibayangkan muncul sebagai “kuasa ketiga”, namun bayangan  itu  meleset sama sekali.
Berdasarkan keputusan beberapa PRK di Semenanjung, kebangkitan politik jati diri boleh dikatakan tidak merata. Sambutan para pengundi terhadap politik jati diri pula tidak memberikan gambaran yang jelas. Kemenangan calon BN dalam empat PRK itu sukar untuk ditafsirkan sebagai kebangkitan politik jati diri, kerana terdapat beberapa faktor yang turut menyumbang. Namun begitu, kita tidak  dapat menafikan bahawa beberapa buah parti di negara ini bukannya UMNO dan PAS semata-mata, secara terancang atau tidak,  terjebak dalam politik jati diri: kaum dan agama.  Pastinya, para pemimpin parti politik  akan melayang-layang ke dalam politik jati diri sekiranya mereka menjangkakan politik jati diri membuahkan hasil lumayan untuk dituai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...