Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada hari ini, 6 November berlangsung pilihan raya di Amerika Syarikat, yang melibatkan pemilihan Presiden negara itu, anggota perwakilan dan senator. Untuk Pilihan Raya Presiden, daripada cerdik pandai kepada peninjau pendapat kepada peramal, kebanyakannya menjangkakan Barack Obama menang untuk satu penggal lagi, belum lagi mengambil kira pandangan kempen beliau.
Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat terbaharu oleh Gallup menunjukkan di peringkat nasional, Romney mendahului Obama dengan satu titik peratusan, tetapi Taufan Sandy menyekat momentum Romney, sebaliknya menaikkan Obama. Secara keseluruhan, tinjauan pendapat yang kini mencetuskan perang budaya, menunjukkan Obama mendahului lawannya, dan meletakkan Romney sebagai orang yang tertekan. Sementara tinjauan pendapat terbaharu, yang dipetik oleh Meghan Casserly, undi wanita memberikan kemenangan kepada Obama.
Seperti yang diungkapkan oleh Greg Mitchell dalam The Nation, "peninjauan pendapat di ambang pilihan raya, masih kelihatan baik untuk Obama," atau menurut Alex Altman, "Obama calon pilihan." Meskipun ekonomi masih lemah, iaitu pertumbuhan hanya sekitar dua peratus dan kadar pengangguran masih tinggi, yang terbaharu 7.9 peratus, Obama bukan sahaja belum berkubur, bahkan tidak membenarkan lawannya, Mitt Romney mara terutamanya ke negeri berayun demi menyempitkan laluan calon Republikan ke Rumah Putih.
Obama, seperti yang diperhatikan oleh Charlie Cook, boleh berterima kasih kepada iklan negatif awal tentang Romney yang memberikan kelebihan kepada beliau. Sebagaimana beberapa pengulas lain, Cook menganggap Romney dengan "deposit tetap" 191 berbanding 201 undi badan perwakilan pemilih untuk Obama, melalui laluan sukar untuk ke 270. Selepas campur tolak, daripada baki 79 undi, jelas Romney memerlukan 64 undi, manakala Obama hanya memerlukan 17 undi. Kesilapan kempen Romney, menurut Cook, adalah membiarkan kempen Obama mentakrifkan Romney mengikut kehendak mereka sendiri.
Setakat ini, beberapa tinjauan pendapat, menunjukkan Obama memperoleh sekurang-kurangnya 270 undi badan pemilih yang diperlukan untuk melayakkan calon menjadi Presiden. HuffPost Pollster, menjangkakan Obama memperoleh 277 undi berbanding 191 undi untuk Romney, dengan 70 undi "lambung duit." Sementara RealClearPolitics, tanpa negeri "lambung duit," menjangkakan Obama memperoleh 303 undi dan Romney 235 undi badan perwakilan pemilih. TPM pula meramalkan Obama memperoleh 290 undi dan Romney 191 undi, manakala 57 undi lagi, "lambung duit."
John Cassidy yang mengemaskinikan peta badan perwakilan pemilihnya, menjangkakan Obama meraih 303 undi berbanding 235 undi untuk Romney. Suatu kenaikan yang tinggi untuk Obama kerana sebelum ini Cassidy, memberinya sekadar cukup makan, iaitu 277 undi. Seorang lagi cerdik pandai pro-Obama, iaitu Ezra Klein, meramalkan Obama memperoleh 290 undi badan perwakilan pemilih.
Sementara Nate Silver, daripada FiveThirtyEight The New York Times, memuktamadkan ramalannya. Silver, yang menjadi sasaran kritikan puak konservatif, berhujah bahawa Taufan Sandy, memainkan peranan membantu kemenangan Obama, menjangkakan beliau memperoleh 315.3 undi berbanding 222.7 undi badan perwakilan pemilih untuk Romney. Sementara peluang menang Obama meningkat sebanyak 14.8 peratus sejak 30 Oktober, kepada 92.2 peratus berbanding Romney hanya 7.8 peratus.
Meskipun persaingan sengit, ulasan lazim ialah Barack Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan Mitt Romney. Para pengundi bebas, mungkin kerana Michael Bloomberg menyokong Obama, diperhatikan meninggalkan Romney. Sementara di Florida, negeri yang dijangkakan memberikan 29 undi untuk Romney, dilaporkan pengundian awal memberikan suntikan semangat kepada Obama.
Sememangnya, terlalu banyak berita baik untuk Barack Obama jika dibandingkan dengan Romney yang diperhatikan sukar untuk menguasai empat negeri berayun, seakan-akan membayangkan beliau di ambang kemenangan. Sebaliknya, Romney terpaksa menerima hakikat bahawa kemaraan ke Rumah Putih akan terbantut tanpa Ohio, meskipun pasukannya berusaha membuka laluan baru untuk ke sana, iaitu melalui Pennsylvania.
Pastinya, kempen Obama menerima berita baik itu dengan berhati-hati kerana dalam politik, apa-apa sahaja boleh terjadi sebelum, dan bahkan selepas wisel penamat. Kegembiraan yang berlebihan boleh membawa padah, bahkan Howard Kurtz yang tidak menafikan jangkaan kemenangan Obama, masih tidak hilang perhatian terhadap kemungkinan beliau kalah. Robert Wright yang menulis dalam The Atlantic, menyenaraikan beberapa perkara yang para penyokong Obama berasa bimbang.
Walau apa-apa pun, esok mungkin selewat-lewatnya tengah hari (waktu Malaysia), keputusan akan diketahui. Ketika itu akan terbukti kebenaran jangkaan atau ramalan kemenangan untuk Obama.
No comments:
Post a Comment