Artikel Popular

Monday, November 5, 2012

Dari Pennsylvania dengan Kemenangan?

ISNIN, 5 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dalam minggu terakhir kempen, calon Republikan, Mitt Romney, melalui kempennya mengambil langkah strategik dengan memperluas peta pilihan raya. Jika sebelum ini kempen lebih tertumpu pada sembilan buah negeri berayun atau "lambung duit," tiba-tiba kempen Romney beranjak ke Pennsylvania.  

Romney, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, menggunakan hari-hari terakhir untuk memburu kemenangan di Pennsylvania yang begitu lama diabaikan.  Hingga minggu terakhir pilihan raya, pasukan Romney tidak melakukan apa-apa tekanan signifikan untuk menang di negeri yang calaon Presiden daripada Parti Demokratik sejak tahun 1988.  Dua puluh undi badan perwakilan pemilih di negeri ini dihapus kira oleh mereka, manakala serangan udara, iaitu iklan meledak di negeri berayun.

Langkah ini merupakan sebahagian usaha untuk mencari 270 undi yang Romney perlukan untuk memenangi Rumah Putih, setelah menyedari bahawa perjalanan melalui Ohio yang mempunyai 18 undi badan perwakilan pemilih, seperti yang ditunjukkan oleh satu demi satu tinjauan pendapat, semakin sukar.  Pada hari Selasa, seminggu sebelum pilihan raya, Romney membeli AS$2 juta dalam iklan televisyen di Pennsylvania.  Kumpulan Republikan mencurahkan AS$9 juta tambahan.

Pennsylvania, menurut The Washington Post, ialah negeri yang terbukti sukar untuk Republikan.  Pengundi Demokrat yang berdaftar mengatasi bilangan Republikan, 4-3. Meskipun dicuba, tidak ada calon Presiden daripada Republikan yang menang di negeri ini sejak tahun 1988.  Paling hampir pada tahun 2004, apabila Presiden George W.  Bush muncul dengan kekurangan 2.5 titik peratusan berbanding dengan John Kerry.

Meskipun percaturan saat terakhir ini dipercayai sukar untuk membuahkan hasil, meskipun tidak mustahil,  kempen Obama tidak berdiam diri. Naib Presiden Joe Biden dan bekas Presiden Bill Clinton turun ke negeri yang menjadi medan pertempuran untuk menangkis segala serangan daripada kempen Romney.

Secara keseluruhannya, sejak hari Ahad, tugas Romney agak  sukar.  Beberapa tinjauan pendapat, yang terbaharu oleh Pew Research Center,  menunjukkan Barack Obama mendahului beliau di peringkat nasional.  Obama juga menguasai negeri berayun, seperti Iowa, Ohio, dan Wisconsin,  dan akibatnya, perjalanan Romney ke Rumah Putih semakin berliku.

Menjelang Hari Pilihan Raya, peluang Romney semakin pudar, seperti yang ditegaskan oleh Nate Cohn, "sepanjang minggu lalu, hujah terbaik bahawa Romney menang, gugur satu demi satu." Sebaliknya, Obama terus mendahului Romney dalam pertempuran di negeri berayun, seperti yang ditunjukkan oleh beberapa tinjauan pendapat.

Jelas bahawa Presiden Obama berkemungkinan memasuki Hari Pilihan Raya dengan mendahului Romney secara sangat sederhana, dari segi purata tinjauan pendapat nasional.  Tulis Nate Silver dalam FiveThirtyEight, yang dalam ramalannya yang dikemaskinikan pada 5 November, menjangkakan Obama menang 307.2 undi badan perwakilan pemilih berbanding 230.8 untuk Romney.  Peluang menang Obama ialah 86.3 peratus berbanding 13.7 untuk Romney.

Kevin Drum yang mengemaskinikan model peramalan Presiden yang diperkenalkan oleh Nate Silver, Andrew Tanenbaum (kedua-duanya di sebelah atas), Sam Wang, dan Josh Putnam (kedua-duanya di sebelah bawah), menjangkakan Obama menang secara purata 305 undi badan perwakilan pemilih.  Walau bagaimanapun, Sam Wang menunjukkan kejatuhan yang menggetarkan dalam satu hari untuk angka Obama. 



Harry J Enten menyatakan lapan negeri yang menentukan keputusan pilihan raya kali ini, iaitu Virginia, Ohio, Florida, New Hampshire, Colorado, Wisconsin, Iowa, Nevada.  Daripada semua negeri itu, berdasarkan tinjauan pendapat oleh RealClearPolitics, menurut Enten, dua negeri, iaitu Virginia dan Florida dikuasai oleh Romney, manakala negeri lain oleh Obama.  Jika tinjauan pendapat ini diterjemahkan dalam peti undi, maka harapan Romney tipis, bahkan kemenangan di Pennsylvania (juga tipis), belum pasti dapat membantu beliau.

Dalam carta negeri permainan,The Economist  pada 5 November, menjangkakan Obama memperoleh 253 undi badan perwakilan pemilih dan 206 untuk Romney, manakala 79 undi lagi menjadi rebutan, iaitu  melibatkan Colorado (sembilan), Florida (29), Iowa (enam), New Hampshire (empat), Ohio (18), dan Virginia (13). Nyata bahawa Obama mempunyai deposit tetap yang lebih banyak jika dibandingkan dengan Romney.  

"Dalam masa hanya tinggal satu hari," catat Mark Blumenthal, "Obama terus mendahului Romney di negeri berayun untuk membolehkan beliau meraih 270 undi" dengan menunjukkan Ohio dan Iowa dalam genggaman beliau.

Tatkala Hari Pilihan Raya semakin hampir, para cerdik pandai, menurut Howard Kurtz, meletakkan kemenangan pada Barack Obama. Namun, Kurtz menerima pandangan itu secara berhati-hati dengan mempersoalkan, "bagaimana jika mereka silap?"

Taufan Sandy, seperti yang sering diperkatakan, antaranya oleh John Cassidy,  membantu Obama, bagaimana pula Pennsylvania?  Adakah membantu atau memudaratkan Romney? Dalam pertarungan pemenang angkut semua, mampukah beliau mara ke Rumah Putih tanpa Ohio?  Steve Kornacki mempunyai jawapannya, iaitu memberikan kemungkinannya untuk Romney, tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa Obama menang besar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...