Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat sedang berlangsung pada hari ini (6 November di Amerika Syarikat), yang dapat diikuti melalui Internet, dan boleh dikatakan ramalan lebih memihak kepada Presiden Barack Obama berbanding lawannya, Mitt Romney yang berubah nada. Daripada cerdik pandai politik kepada peninjau pendapat kepada peramal, dan bahkan selebriti, memilih Obama sebagai pemenang.
D samping Nate Silver melalui FiveThirtyEight yang menunjukkan Obama jauh mendahului Romney dalam perlumbaan undi badan perwakilan pemilih, iaitu yang terkini, 313.0 undi berbanding 225.0 undi, tinjauan pendapat turut memilih Obama. Model penjejakan HuffPost Pollster yang dicipta oleh ahli sains politik Stanford, iaitu Simon Jackman, yang menggabungkan semua data yang dapat diperoleh di peringkat nasional dan seluruh negeri, mendapati jika tinjauan pendapat sekiranya tinjauan pendapat berada dalam lingkungan julat sejarah ketepatan peninjauan pendapat, maka Obama mempunyai 91 peratus peluang kemenangan.
Simon Jackman meramalkan bahawa peluang kemenangan untuk Barack Obama ialah 91.4 peratus, untuk meraih 303 atau 332 undi badan perwakilan pemilih. Peluang yang Jackman ramalkan itu, tidak jauh berbeza dengan Nate Silver yang meramalkan peluang kemenangan Obama 90.9 peratus. Dengan itu, sekali gus, menafikan dakwaan puak konservatif bahawa Silver membuat ramalan yang memihak kepada Obama.
Meskipun perlumbaan kali ini sengit, terutamanya di tiga buah negeri berayun, iaitu Virginia, Ohio, dan Florida, dan bahkan Romney juga diramalkan menang, Michael Tomasky seakan-akan tidak sabar untuk mengisytiharkan kemenangan calon pilihannya, Obama. Meskipun perlumbaan di banyak negeri sengit, tegas Tomasky, keputusannya akan cukup jelas: Obama 294, Romney 244.
Dalam pada itu, perhatian turut tertumpu pada tinjauan pendapat keluar (exit polls) yang dijangkakan diumumkan ketika pengundian masih berlangsung di negeri-negeri Pantai Barat, dan dengan itu, para pengundi dinasihatkan supaya jangan mempedulikan tinjauan tersebut.
Pada pukul 11.00 pagi hari Selasa (11.00 malam waktu Malaysia), wakil daripada lima rangkaian televilsyen dan Associated Press (AP), dilaporkan akan memasuki "bilik kuarantin," di sebuah tempat yang tidak diketahui tanpa membawa telefon bimbit atau mempunyai akses Internet. Di situ, wakil daripada ABC, CBS, NBC, Fox, dan AP mula meneliti data tinjauan pendapat keluar yang disediakan oleh Edison Research.
Enam jam kemudian mereka akan dibenarkan mula menghantar data kepada organisasi berita masing-masing, manakala tinjauan pendapat tambahan, terutamanya tentang Pantai Barat, mula tiba. Meskipun saluran berita boleh mula melaporkan tinjauan pendapat keluar itu selepas pukul 5.00 petang (5.00 pagi hari Rabu waktu Malaysia) tentang beberapa trend umum yang mereka perhatikan dalam tinjauan pendapat itu, seperti sama ada para pengundi menganggap ekonomi merupakan isu paling penting dalam pilihan raya tahun 2012, mereka tidak dibenarkan menerbitkan atau menyiarkan mana-mana maklumat yang menunjukkan cara yang menyatakan kecenderungan memihak hingga pengundian ditutup dan angka undi sebenar mula tiba.
Mungkin daripada tinjauan pendapat keluar. kita dapat menjangkakan pemenang pilihan raya ini sementara menunggu keputusan sebenar diumumkan.
No comments:
Post a Comment