SELASA, 19 November 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Belanjawan
2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat pada 11
Oktober lalu, bertemakan “Memacu
Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama” dengan
bertunjangkan empat teras utama, iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi baharu dan era digital, pelaburan ke atas rakyat: meningkatkan
keupayaan modal insan, mewujudkan masyarakat
yang bersatu, inklusif dan saksama, dan memulihkan institusi dan kewangan awam.
Dengan perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM297
bilion, iaitu 18.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Daripada jumlah
itu, RM241 bilion diperuntukkan kepada belanja mengurus, RM56 bilion untuk
belanja pembangunan, dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. Seperti biasa,
kudap-kudapan disediakan untuk setiap lapisan rakyat yang mungkin bersifat
populis.
Belanjawan 2020
dibentangkan ketika ramalan bahawa kemelesetan akan melanda dunia pada
tahun hadapan semakin menjadi-jadi, antaranya berpunca daripada perang dagang antara Amerika
Syarikat dengan China yang masih belum reda dan kemungkinan tidak akan reda. Banyak negara, termasuk
Malaysia menerima kesan buruk perang dagang itu. Secara keseluruhan, ekonomi maju
akan mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan daripada pertumbuhan global,
yang dijangkakan tumbuh 3.2 peratus
tahun ini dan 3.5 peratus 2020. Ekonomi maju dijangkakan mencatatkan
pertumbuhan 1.9 peratus tahun ini dan
1.7 peratus tahun hadapan. Di rantau
Asia, China, India, dan Vietnam dijangkakan mencatatkan pertumbuhan yang
tinggi. Sementara negara jiran, Singapura dijangkakan boleh terjebak dalam
kemelesetan selepas kejatuhan besar dalam kegiatan ekonomi pada suku kedua
tahun ini.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia suku
tahun kedua 2019, ialah 4.9 peratus, mengatasi jangkaan, tetapi pencapaian separuh pertama tahun ini, 4.7
peratus berbanding sasaran pertumbuhan tahunan 4.9 peratus. Pertumbuhan
ekonomi diibaratkan sebagai “kek”; semakin besar kek berkembang, maka semakin banyak
orang dapat menikmatinya.
Yang menjadi perhatian, Belanjawan 2020 dibentangkan
hanya beberapa minggu selepas pelancaran
Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) oleh Perdana Menteri Tun Dr.
Mahathir Mohamad. WKB 2030 merupakan hala tuju
ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030 yang akan memberi fokus kepada merapatkan jurang
pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dengan
luar. Ketidaksamaan kini merupakan fenomena global, yang turut melanda negara
maju.
Perlu dinyatakan bahawa
dalam tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dari tahun 1971 hingga 1990,
kemiskinan dan ketidaksamaan menjadi tumpuan para penggubal dasar dan para
pengkaji. Namun begitu, selepas pelaksanaan DEB, secara beransur-ansur, kemiskinan dan ketidaksamaan mula kurang
mendapat perhatian. Hal ini demikian mungkin kerana melalui program tindakan
afirmatif, kemiskinan dan ketidaksamaan berjaya dikurangkan. Pada awal tahun
1990-an, para pengkaji mula memberikan tumpuan pada Malaysia sebagai negara
perindustrian baharu, globalisasi yang menerobos dunia, dan terhadap krisis
kewangan Asia 1997 – 1998, yang Malaysia turut terjebak dalam krisis buruk itu
dan krisis politik yang dicetuskannya. Bahkan, entah kenapa penerbitan buku
Muhammed Abdul Khalid, The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income
and Wealth in Malaysia kurang mendapat perhatian para pengkaji, apatah lagi
para penggubal dasar.
Muhammed, yang kini
berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri, dalam prakata
bukunya, menegaskan bahawa meskipun Malaysia mencapai kejayaan dalam
mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan, terutamanya antara kumpulan kaum
dari tahun 1970 hingga tahun 1990, jurang
kekayaan masih tinggi pasca-1990. Keadaan ini hampir kekal pada tahap yang sama
dalam tempoh 25 tahun lalu. Masih teruk, jurang pendapatan relatif antara isi
rumah bandar dengan isi rumah desa pada tahun 2012, sama seperti pada tahun
Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.
Secara sepintas lalu,
dapat diperhatikan bahawa dalam Belanjawan 2020, wujud usaha untuk mengurangkan
jurang ketidaksamaan antara golongan
kaya dengan golongan miskin, antara kaum, dan juga antara penduduk bandar
dengan penduduk desa. Peningkatan kos
sara hidup amat dirasai oleh rakyat, terutamanya penduduk bandar. Untuk
menampung keperluan hidup diri dan keluarga, ada yang terpaksa melakukan kerja
sambilan, seperti pemandu teksi dan penghantar makanan.
Sehubungan dengan itu, Belanjawan 2020 mencadangkan peningkatan upah
minimum kepada RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar utama, manakala di
tempat lain kekal dengan RM1100. Di sini jelas menunjukkan bahawa kerajaan
masih keberatan memperkenalkan upah minimum RM1500, seperti yang pernah
dijanjikan.
Usaha untuk merapatkan
jurang antara kaum yang lebih berkesan adalah melalui peluang perniagaan dan
pekerjaan yang lebih luas kerana langkah ini akhirnya membolehkan golongan
berkenaan berdikari. Untuk perniagaan, Belanjawan 2020 memperuntukkan RM445
juta untuk menyokong pembangunan usahawan bumiputera. Di bawah skim Pembiayaan
Usahawan Perusahaan Kaum Cina, Belanjawan memperuntukkan pinjaman RM100 juta, dan pinjaman RM20 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan
Masyarakat India. Kerajaan juga terus menyokong usahawan bumiputera dalam
kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bagi usahawan bumiputera
baharu dengan menyediakan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dan peruntukan
dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau.
Langkah kerajaan ini sejajar dengan hakikat pentingnya PKS dalam ekonomi
negara, iaitu penyumbang utama KDNK dan menyediakan peluang pekerjaan.
Golongan bawahan
selalunya terdiri daripada pekebun kecil, pesawah, peneroka Felda, dan buruh yang
biasanya tinggal di bandar atau pinggir bandar. Mereka yang lebih memerlukan
sokongan atau bantuan kerajaan. Tanpa sokongan dan bantuan tersebut, maka sukar
bagi mereka untuk keluar daripada belenggu taraf hidup rendah, dan dengan itu,
jurang ketidaksamaan tidak dapat dirapatkan, bahkan mungkin semakin melebar.
Untuk pekebun kecil
kelapa sawit, kerajaan akan melancarkan dan pinjaman penanaman semula berjumlah
RM550 juta tanpa cagaran dan kadar faedah dua peratus setahun dan tempoh
pinjaman selama 12 tahun. Untuk masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
(Felda), kerajaan menyediakan peruntukan RM850 juta untuk pelbagai tujuan,
antaranya RM200 juta untuk program meningkatkan pendapatan 11,600 orang
peneroka dan RM300 juta untuk menghapus kira faedah pinjaman peneroka.
Belanjawan 2020 juta menyediakan peruntukan RM738 juta untuk Risda dan Felcra bagi melaksanakan pelbagai program penjanaan
pendapatan yang akan memberikan manfaat kepada lebih 300,000 orang pekebun
kecil dan 100,000 orang peserta Felcra.
Sesetengah negara maju
juga merupakan negara pengeluar hasil pertanian, Amerika Syarikat pengeluar
gandum, jagung, dan bahkan beras. Belanda yang saiznya sebesar negeri Pahang,
masih mengeluarkan hasil pertanian. Negara maju biasanya memberikan bantuan
atau subsidi kepada para petani sebagai
galakan supaya mereka kekal mengusahakan pertanian. Sebagai contoh, akibat
perang dagang dengan China, pendapatan petani di Amerika terjejas teruk. Oleh
sebab itu, Presiden Donald Trump menawarkan bayaran bantuan pada tahun lalu bernilai
kira-kira AS$12 bilion kepada petani yang terjejas oleh tarif tindak balas
China.
Dalam Belanjawan 2020, dalam usaha untuk meningkatkan
pendapatan pengusaha pertanian, kerajaan memperuntukkan RM4.9 bilion, manakala
RM150 juta untuk membantu petani, nelayan, dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber
pendapatan melalui integrasi tanaman.
Namun begitu, sejauh mana segala peruntukan yang
diberikan itu dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan, menimbulkan persoalan yang sedikit banyak
perlu disentuh di sini. Menurut kajian, agihan pemilikan dan pengusahaan tanah
yang berat sebelah dalam kalangan kaum tani sendiri juga merupakan masalah dan punca
ketidaksamaan dalam kalangan masyarakat tani. Kajian empirik tahun 1970-an,
menunjukkan agihan pemilikan dan
pengusahaan tanah tani, terutamanya dalam kalangan pekebun kecil getah dan
pesawah padi di Semenanjung. Sehubungan dengan itu, pernah dicadangkan dalam
usaha membasmi kemiskinan yang berleluasa dalam kalangan kaum tani, terutamanya petani
yang kelaparan tanah, secara berkesan semestinya agihan pemilikan tanah yang
berat sebelah. Penumpuan selama ini terhadap usaha meningkatkan produktiviti
pengeluaran petani hanya memperluaskan lagi jurang perbezaan dalam kalangan
kaum tani, sedangkan kemiskinan dalam kalangan mereka yang kelaparan tanah
terus tidak diatasi.
Sejak beberapa bulan lalu kita mendengar keluh-kesah para
nelayan tentang kesengsaraan hidup mereka. Ada menteri mencadangkan nelayan menanam
nanas dan rambutan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Namun begitu, cadangan
ini kelihatan tidak praktik kerana para nelayan biasanya mempunyai tanah yang
luas sekangkang kera, berapalah hasil yang akan diperoleh kelak.
Oleh sebab diakui bahawa perikanan memainkan peranan
penting dalam ekonomi Malaysia, khususnya dari segi pembekalan bahan protein
dan penyediaan peluang pekerjaan, meskipun perikanan merupakan sektor ekonomi
yang kecil, maka kerajaan perlu membantu para nelayan supaya mereka mempunyai
motivasi untuk kekal hidup sebagai nelayan. Sesungguhnya, wujud kesan buruk, terutamanya dari segi keselamatan
makanan sekiranya pesawah meninggalkan bendang mereka dan nelayan enggan turun
ke laut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara mengalami
pengangguran yang semakin teruk. Lebih daripada setengah orang yang menganggur
pada tahun 2018, 140,000 ialah siswazah. Dari segi usia pula, kira-kira 290,000
orang penganggur ialah belia yang berusia hingga 24 tahun. Sehari selepas
pembentangan Belanjawan 2020, Datuk Seri Mustapha Mohamed dipetik sebagai
berkata, “data diperlukan untuk melihat mengapa 200,000 orang siswazah
menganggur, termasuk pemegang ijazah luar negara.”
Pengalaman di
banyak negara menunjukkan bahawa pengangguran dalam kalangan belia boleh
mencetuskan ketidakstabilan politik dan kekacauan sosial apabila golongan ini turun
di jalanan melancarkan tunjuk perasaan. Keadaan menjadi semakin teruk apabila negara
terjebak dalam kemelesetan. Perlu ditegaskan bahawa usaha untuk mengurangkan
jurang ketidaksamaan tidak akan berjaya sekiranya kadar pengangguran tinggi.
Dalam Belanjawan 2020, kerajaan menyediakan beberapa
insentif untuk siswazah menganggur, namun yang anehnya, mereka diberikan insentif
RM500 sebulan selama dua apabila mereka menerima
tawaran bekerja dan bukannya ketika mereka menganggur. Pihak majikan yang
menerima mereka bekerja pula diberikan insentif RM300 sebulan untuk tempoh yang
sama.
Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diperkenalkan pada
tahun 2019 menggantikan BR1M, diteruskan pada tahun 2020, dengan peruntukan RM5
bilion. Skim ini diperluaskan kepada individu bujang seramai 1.1 juta orang, berusia melebihi 40 tahun dan berpendapatan kurang
daripada RM2000 sebulan. Orang kurang upaya (OKU) yang berusia 18 tahun ke atas
dengan pendapatan kurang daripada RM2000 sebulan juga menikmati skim ini.
Yang mencetuskan kontroversi dalam Belanjawan 2020, ialah
langkah kerajaan membuka peluang kepada
warga asing untuk memiliki kondominium dan
pangsapuri yang tidak terjual dianggarkan bernilai RM8.3 bilion pada
pertengahan tahun 2019. Untuk itu, kerajaan akan menurunkan nilai ambang
daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020. Langkah kerajaan ini bukan
sahaja dianggap untuk menyelamatkan pemaju, tetapi juga dianggap bercanggah
dengan “rukun pasaran” dan ditafsirkan
sebagai bercanggah dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.
Seperti belanjawan tahun-tahun sebelum ini, Belanjawan
2020 penuh dengan angka dan data. Meskipun banyak pihak dijanjikan
kudap-kudapan, termasuk penjawat awam dan pesara, persoalan pokok ialah kemampuannya
mengurangkan jurang ketidaksamaan dari setahun ke setahun. Itu pun dengan harapan bahawa pada tahun depan
tidak berlaku kemelesetan global, meskipun banyak ramalan kemungkinan besar
akan berlaku.
No comments:
Post a Comment