Artikel Popular

Saturday, February 18, 2012

Wayang Cina

SABTU, 18  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sebentar lagi akan berlangsung persembahan terhebat, iaitu perdebatan antara Presiden MCA, Dr.  Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (The Star pada halaman hadapan hari ini menyebut Lim Eng Guan).  Tajuk perdebatan, seperti yang diketahui umum, "Malaysian Chinese at the Political Crossroads"  - kalau diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,  "Cina Malaysia di Persimpangan Politik."

Benarkah Cina Malaysia di persimpangan politik? Mungkin banyak yang meraguinya, lebih-lebih lagi, selepas Pilihan Raya Umum 2008.  Alternatif untuk orang Cina membuat pilihan dan menaruh harapan mereka sentiasa ada, daripada MCA dan Gerakan di satu pihak kepada DAP di satu pihak yang lain.  Kuasa tawar-menawar parti-parti politik Cina sentiasa kuat, bahkan semakin kuat,   baik bagi MCA yang sedang merosot, mahupun DAP yang sedang bangkit:  MCA dalam Barisan Nasional dan DAP dalam Pakatan Rakyat.  

Pulau Pinang misalnya, kekal dalam tangan Cina selama-lamanya, daripada MCA kepada Gerakan kepada DAP, tidak kira bagaimana baik sekalipun prestasi parti-parti politik Melayu-Islam.  Walaupun MCA misalnya, memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri, seperti di Perak dan Terengganu, jawatan Exco tetap terjamin kerana kuota kaum Cina, meskipun parti-parti politik  Cina menentang tindakan afirmatif, sebaliknya mendukung meritokrasi. Kuasa Cina di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR, misalnya Selangor dan seketika di Perak, tidak perlu dipertikaikan lagi.  Sebenarnya, "tangan tidak nampak" menjalar di sana sini.

Melihat tajuk perdebatan, mungkin ada yang tertanya-tanya jika parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menganjurkan perdebatan "Orang Melayu di Persimpangan Politik."  Perkataan pertama meletup ialah "rasis" kerana bersalut unsur "ketuanan Melayu" dan tidak berteraskan "bangsa Malaysia."  Bagi yang mengambil kesempatan untuk menggasak Najib Razak, pastinya mendakwa tidak berasaskan semangat 1Malaysia. 

Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng akan mempamerkan kehebatan "kungfu" masing-masing, dan pastinya banyak yang kagum dan terpukau.  Walau apa-apa pun keputusan debat itu kelak, yang jelas,  pemenangnya ialah orang Cina. 

Jawapan yang jelas dan tepat untuk "Cina Malaysia di Persimpangan Politik" ialah hegemoni ekonomi yang kini  diperkukuh oleh  hegemoni politik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...