Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Greece seperti yang sering dirujuk, tempat lahir demokrasi, tetapi yang sering dilupakan bahawa di situ juga lahirnya anarki. Akibat krisis hutang, kedua-duanya menghala ke arah yang berlawanan: yang pertama menjunam, manakala yang kedua kian ketara. Hilang kedaulatan, hilang maruah. Bahkan, ada yang mencadangkan bahawa Greece sepatutnya mengadakan pungutan suara untuk keluar daripada kemelut yang berpanjangan itu.
Tolak minyak, bahas Patrick Cockburn, "Greece seperti negara Arab. Di negara itu, meminjam menggantikan minyak." Dengan kelulusan pelan penyelamat kedua yang bernilai AS$172 bilion baru-baru ini setelah berbulan-bulan berbincang, maka Greece boleh menarik nafas lega, paling tidak, seketika, dan pasaran pula reda, meskipun bayang krisis masih belum pergi jauh.
Atas desakan troika, iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pusat Eropah (ECB), dan Kesatuan Eropah, Greece terpaksa melakukan pemotongan demi pemotongan belanjawan, dan menswastakan aset negara. Sebilangan rakyat negara itu merasakan bahawa kerajaan menjual mereka. Berikutan pelan penyelamat, kesatuan sekerja Greece berjanji akan melancarkan pemberontakan popular.
Sebagaimana negara lain dalam zon euro yang ekonomi dijangkakan menguncup sebanyak 0.3 peratus pada tahun ini, maka Greece memerlukan pertumbuhan untuk mengelakkan depression. Namun, dengan langkah jimat-cermat yang dilaksanakan secara sembarangan, pertumbuhan masih jauh di belakang.
Banyak pemerhati, seperti yang dilaporkan oleh Spiegel Online International, menganggap sasaran pakej pelan penyelamat terlalu optimistik. Wujud keraguan bahawa Greece akan benar-benar mampu balik ke laluan untuk pertumbuhan dan mengurangkan hutang awamnya daripada tahap semasa yang melebihi 160 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada sasaran 120.5 peratus pada 2020. Demikian juga banyak yang berasa takut bahawa 130 bilion euro (AS$172 bilion) dalam pelan penyelamat itu tidak cukup. Bahkan, seperti yang dibahaskan oleh Clive Crook dalam Bloomberg sebaik-baik sahaja pelan penyelamat kedua diluluskan, "langkah itu mengheret Eropah ke kancah malapetaka."
Tidak cukup dengan tekanan demi tekanan yang dikenakan terhadap Greece, yang terbaharu troika mahu mengenakan potongan terhadap upah minimum. Antara senarai potongan upah dan potongan perbelanjaan sosial yang troika kenakan terhadap Greece ialah upah minimum yang hingga sekarang dirundingkan dalam perjanjian kolektif nasional dan kini ialah 862 euro sebulan, akan dipotong sebanyak 22 perats. Pekerja muda dari segi upah minimum, bahkan dipotong sebanyak 32 peratus.
Dari sudut pandangan Troika, memotong upah minimum adalah semata-mata langkah logik dalam proses yang bermula pada Mei 2010 apabila perjanjian pelan penyelamat pertama ditandatangani. Pada masa itu, upah sektor awam dengan bayaran bulanannya 13hb dan 14hb diwakili sebagai hak istimewa yang tidak diingini.
Dengan upah minimum yang semakin berkurangan bersama-sama dengan pemotongan yang lain sebagai langkah jimat-cermat, kuasa beli pekerja di Greece akan terjejas, dan dengan itu, menjejaskan perbelanjaan isi rumah yang diperlukan untuk menjanakan pertumbuhan. Bahkan, dalam kes di United Kingdom misalnya, untuk dijadikan perbandingan, data terbaharu menunjukkan bahawa perbelanjaan isi rumah dan kerajaan gagal menopang ekonomi negara itu pada suku keempat tahun 2011.
Justeru, bayangkan apabila perbelanjaan isi rumah dan kerajaan itu terus-menerus dikurangkan, seperti yang dilaksanakan di Greece atas desakan troika, pastinya pertumbuhan tidak kunjung tiba.
No comments:
Post a Comment