Artikel Popular

Monday, February 6, 2012

Veto: Adakah Rusia Akan Terasing atau Memperlihatkan Kuasa Globalnya?

ISNIN,  6  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Rusia dan China, seperti yang dilaporkan memvetokan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendesak Presiden Syria, Bashar al-Assad meletakkan jawatan. Tindakan kedua-dua negara yang dianggap  menyebelahi Assad, yang  semakin menzalimi rakyat yang menentangnya, bukan sahaja memperlihatkan pendirian  tidak sehaluan dengan 13 buah negara lain dalam Majlis Keselamatan, tetapi juga mencetuskan keberangan Washington dan London. Berikutan veto itu, Assad dilaporkan "semakin naik berani" untuk terus melakukan kekejaman. 

Setiusaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, menganggap pemvetoan itu satu "persendaan." Beliau yang kini berada di Sofia, Bulgaria, berkata, "hari gelap untuk Syria."  Sementara duta negara itu ke PBB, iaitu Susan Rice dipetik sebagai berkata, "rakyat Syria yang berani kini dapat melihat dengan jelas siapa dalam Majlis Keselamatan menyokong keinginan mereka untuk mendapatkan hak kebebasan dan hak asasi manusia, dan siapa pula yang tidak menyokong."  Beliau menuduh Rusia dan China ingin menjual senjata kepada Syria, tetapi dinafikan oleh Rusia.

Sementara itu,  wakil Rusia ke PBB mendakwa bahawa resolusi itu adalah bias dan menggalakkan "perubahan rejim."  Rusia sejak awal-awal lagi resolusi yang dikemukakan itu boleh menjerumuskan Syria ke dalam kancah perang saudara. Akhbar China yang mempertahankan pendirian penolakan Beijing terhadap resolusi itu, dengan menegaskan bahawa kempen Barat di Libya, Afghanistan, dan Iraq membuktikan kesilapan perubahan rejim yang dipaksa. 

Melalui makalahya dalam Foreign Policy, Marc Lynch menafikan bahawa resolusi itu bertujuan "mengubah rejim," mengingatkan veto itu akan menghapuskan kerelevanan PBB dan meningkatkan kemungkinan bahawa Syria akan semakin terjebak ke dalam perang saudara yang dirangsangkan oleh kebanjiran senjata dan bantuan kepada semua pihak yang terlibat. 

Rusia dengan China yang sama-sama menggunakan kuasa veto masing-masing,  dituduh melihat Pemberontakan Arab sebagai amaran.  "Dengan veto itu,  tulis J.P.P. dalam The Economist, menunjukkan bagaimana Rusia dan China kini melihat kepentingan mereka secara bersepakat."  Namun, pastinya,  Rusia digasak dengan teruk dan Perdana Menteri Vladimir Putin yang kini menghadapi tentangan rakyatnya turut diheret sama. 


Damsyik dan Moscow ialah sekutu dalam Perang Dingin apabila Kesatuan berkonfrontasi dengan Amerika Syarikat, Israel, dan kelihatan ketara "imperialisme." Menulis dalam Foreign Affairs mendakwa bahawa Rusia beratus di atas pasir berhubung dengan Syria, Dmitiri Trenin, banyak sebab Rusia bersekongkol dengan Syria:  Vladimir Putin dan al-Assad merupakan jenis kesatuan autokratik, dengan Putin bimbang bahawa Pemberontakan Arab menggalakkan cabaran terhadap pemerintahannya sendiri; pada masa yang sama, Rusia dijangkakan mempunyai kepentingan besar ekonomi di Syria, termasuk kontrak senjata, pangkalan tentera laut Rusia yang dipajak, dan rancangan  untuk kerjasama tenaga nuklear.


Dengan menganggap veto itu ialah veto yang dilakukan Putin, David Hearst menegaskan bahawa Rusia akan terasing.  Sementara kuasa Barat menyokong status quo Israel yang dikelilingi oleh autokrat Arab yang dengan mereka, Israel mengadakan perdamaian, dan Rusia mengekalkan hubungan diplomatik dan pertahanan dengan Syria dan Iran yang menyokong gerakan "penentangan" terhadap Israel, Rusia kini mendapati dirinya mempertahankan status quo autokratik dalam bentuk Assad. "Tatkala masa makin suntuk untuk menghentikan pertumpahan darah di Syria, manakala musuh ketat Putin ialah pengasingan dalam hidupnya."


Barat sebenarnya, tulis Evelyn Leopold,  mencabar Rusia supaya menyekat tindakan Syria di PBB, dan Rusia menyahut cabaran itu sambil mengingatkan bahawa "ini bukannya minggu untuk mengasak Vladimir Putin, orang kuat, ke penjuru.  Beliau menghadapi demonstrasi yang menentang cita-citanya untuk menjadi presiden satu dekad lagi dalam pilihan raya bulan depan yang beliau dijangkakan menang."  


Sebelum pembentangan resolusi itu, Rusia bermain kuasa Syria apabila negara itu terus menyokong Assad, bahkan ketika beliau kini semakin terasing daripada Liga Arab dan komuniti antarabangsa.  Dalam tulisannya untuk International Herald Tribune, Yagi Beinglas dan Daniel Brode, menarik perhatian bahawa sokongan Rusia terhadap Syria berlaku sejak zaman Kesatuan Soviet lagi. Perkongsian yang berterusan ini dijalinkan atas beberapa faktor, iaitu hubungan sejarah, kepentingan ekonomi, dan kepentingan geopolitik. 


Dengan mengingkari desakan Barat ini, bahas kedua-dua penulis ini, "Rusia cuba memperlihatkan dirinya sebagai kuasa global,  lalu sanggup berhadapan dengan apa-apa sahaja kritik."


Menjangkakan bahawa Rusia memvetokan resolusi itu, Robert Fisk yang menulis dalam The Independent:  "Wujud keazaman Rusia dan Putin-Medvedev tidak diperbodohkan oleh Barat dan PBB sebagaimana yang pernah berlaku apabila mereka gagal menentang zon larangan terbang ke atas Libya yang membawa secara langsung kejatuhan Gaddafi."  Dengan kata lain, tidak mahu "pisang berbuah dua kali," dan lebih daripada itu, "tidak mahu selalu "menyerahkan cek kosong" kepada Amerika Syarikat dan sekutunya kerana mereka pastinya, menyalahgunakannya.  


Pada takat tertentu, Amerika Syarikat dan sekutunya, cuba mengambil kesempatan daripada Pemberontakan Arab.  Tanpa menafikan penting dan signifikannya pemberontakan itu, tetapi dari satu segi yang lain, jangan sekali-kali membiarkan Amerika Syarikat mengatur agenda besarnya di rantau itu.  Di negara itu,  beberapa pihak mendesak Pentadbiran Obama  agar mengambil tindakan yang lebih keras, antaranya campur tangan ketenteraan dan sekatan senjata.    Desakan ini datangnya daripada bermacam-macam helang, puak neokonservatif, kumpulan pemikir yang bersarang di tempat, seperti AEI dan Washington Institution for Near East Policy, pelbagai sayap kanan pro-Israel, dan kebanyakan calon Presiden daripada Republikan.  Namun begitu, seperti yang ditegaskan oleh Robert Dreyfuss dalam The Nation, "Amerika sepatutnya tidak menyibuk."


Nampaknya, Rusia (juga China) terpaksa membuat pilihan, iaitu sama ada membiarkan rejim Syria itu terus berkuasa ataupun membiarkan Amerika Syarikat terus-menerus mempamerkan kuasa globalnya dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang cabaran.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...