Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bersempena 200 tahun kelahiran, nama Charles Dickens terus dikenang bukan setakat oleh para pembaca, khususnya peminat sastera, bahkan Prince Charles dilaporkan mengetuai perayaan bersempena kelahiran itu. Kisah dua kota, iaitu Portsmouth dan London, seperti yang dilaporkan dalam The Independent, mengucapkan "selamat hari lahir" kepada Dickens. Sempena 200 tahun kelahirannya, Michael Levenson yang menegaskan bahawa dua biografi Dickens yang memberitahu kita tentang pengalaman sosialnya yang luas.
Radhika Jones yang menulis dalam Time, menjelaskan mengapa orang kini masih berminat membaca Dickens atau menontonnya di kaca televisyen. Antaranya, jelas Jones, Dickens ialah stilistik genius, yang menulis menarik khalayak yang terdiri daripada orang yang pandai-pandai dan murahan; kerjayanya menunggangi gelombang sosial, politik, dan kemajuan saintifik; beliau menulis semula budaya sastera yang meletakkan dirinya sebagai tumpuan.
Tambah Jones, "tidak seorang pun yang pernah tahu apakah campuran bakat, cita-cita, tenaga, dan nasib baik yang menjadikan Dickens satu-satunya penulis yang amat terkenal."
Melalui carta hariannya, The Economist melaporkan jumlah naskhah karyanya yang terjual antara tahun 1846 hingga 1870, dengan Bleak House (1846), mencatatkan jumlah terbesar, iaitu hampir 800,000 naskhah, diikuti oleh Dombey and Son (1852), kira-kira 750,000 naskhah, Little Dorrit (1855), 700,000 naskhah, dan David Copperfield (1849), 550,000 naskhah. Sementara Hard Times (1854), mencatatkan jualan paling rendah, disusuli oleh Great Expectations (1862) dan A Christmas Carol (1843).
No comments:
Post a Comment