Artikel Popular

Friday, February 10, 2012

Sekali Lagi Najib Perkenalkan Dasar Ekonomi yang Silap

SABTU,  11 Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perdana Menteri, Najib Razak, seperti yang dilaporkan meminta Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melepaskan pegangan ke atas syarikat-syarikat yang dianggap bukan teras perniagaan, tetapi berpotensi untuk diserah tadbir dan diserah milik kepada syarikat bumiputera seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Najib juga menjelaskan kaedahnya, iaitu  melalui satu proses penilaian yang dibuat secara tender terbuka dengan syarikat-syarikat bumiputera dipelawa mengambil bahagian. Syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat tersebut dan seterusnya dapat menambahkan nilai ekuiti bumiputera. Untuk itu,  Khazanah dan PNB masing-masing disasarkan akan melepaskan pegangan ke atas lima syarikat.


Dengan "arahan" itu,  Najib sekali lagi memperkenalkan dasar ekonomi yang silap, meskipun ada penulis blog yang mengalu-alukannya sebagai "berorientasikan pasaran."  Dengan mengarahkan PNB terutamanya, Najib seakan-akan "merampas"  peluang berjuta-juta pelabur  PNB untuk menikmati pulangan dividen yang lebih baik.  Lebih malang lagi, hak para pelabur yang "dirampas"   "diserahkan" kepada syarikat bumiputera yang kononnya berkelayakan.  


Kita tidak memerlukan ahli ekonomi atau pakar pelaburan untuk memberitahu kita akan akibat apabila  PNB terpaksa melupuskan  pemilikannya, meskipun tidak kesemuanya.  Seperti yang diketahui, menjual aset atau melupuskan pemilikan bukan langkah yang bijak, lebih-lebih lagi bagi PNB yang mengharapkan pulangan pelaburan untuk membayar dividen kepada bilangan pelabur yang cukup besar.  


Penjelasan Najib bahawa "syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat tersebut" menimbulkan persoalan dan sekali gus keraguan bahawa beliau  benar-benar faham apa yang beliau perkatakan.   Jika benar-benar "terbaik, kukuh, dan berkemampuan," syarikat berkenaan tidak perlu memohon "ihsan" atau "belas kasihan"  PNB dan Khazanah.  


Dengan kata lain, syarikat bumiputera itu boleh mengatur strategi  mereka sendiri untuk terus mengembangkan perniagaan  dan meningkatkan  ekuiti.  Banyak lagi peluang perniagaan lain yang menanti syarikat berkenaan tanpa perlu mengharapkan  PNB dan Khazanah.  


Yang membimbangkan,  kalau-kalau syarikat bumiputera tidak "seindah" yang dibayangkan oleh Najib.  Kemungkinannya muncul syarikat yang berniaga "modal atas angin" atau "bermodalkan air liur."  Sudah banyak contoh kegagalan penswastaan, sedangkan individu yang diberikan amanah itu "hidup senang-lenang." Hentikan amalan "menswastakan keuntungan, merakyatkan kerugian."


Dalam konteks yang lebih luas, dengan arahan Najib itu, maka   "kapitalisme negara," beralih   kepada "kapitalisme kroni," iaitu syarikat bumiputera yang akan terbabit itu  berkemungkinan mempunyai hubungan politik. Meskipun kapitalisme negara mempunyai kebaikan dan kelemahannya, seperti yang dibahaskan dengan cukup meluas dalam The Economist baru-baru ini, tetapi kapitalisme kroni  sesuatu yang lebih teruk.  


Kalaulah benar bahawa langkah itu berorientasikan pasaran, seperti yang didakwa oleh penulis blog, sesungguhnya ini satu malapetaka terhadap ekonomi Malaysia. Jangan terlalu  percayakan pasaran! Akibat krisis kewangan 2007-2008, di mana-mana sahaja orang sering berbicara tentang kegagalan pasaran bebas.  Krisis yang melanda itu bukan sahaja menyaksikan kejatuhan pasaran kewangan, tetapi juga  kejatuhan ideologi pasaran bebas.   Bahkan, kini, pasaran bebas disaingi kuat oleh kapitalisme negara - memetik Ian Bremmer yang menulis dari Davos baru-baru ini.


Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan  Greenspan yang begitu taksub dengan ideologi pasaran bebas,  akhirnya dengan rendah diri "bertaubat" di hadapan jawatankuasa Kongres bahawa beliau "silap dengan ideologi yang menjadi anutannya yang terbukti cacatnya."


Kini, banyak  orang berbicara tentang ketidaksamaan  pendapatan, terutamanya dengan kemunculan gerakan Menduduki Wall Street:  "golongan 99 peratus melawan golongan satu peratus."  Pembabitan PNB dalam bidang pelaburan dengan memberikan pulangan dividen kepada pelabur kecil, adalah sebahagiannya berperanan dari segi mengurangkan jurang agihan pendapatan atau kekayaan. Justeru, penjualan beberapa syarikat milik PNB terutamanya,  akan menyaksikan apa yang diistilahkan sebagai "pengumpulan  melalui perampasan."  


Sesungguhnya, "mengganggu" PNB yang bersusah payah mengumpulkan modal daripada pelabur kecil  bukan suatu langkah yang bijak. Dengan pemilikan oleh PNB,  sekurang-kurangnya syarikat berkenaan berada dalam tangan yang selamat, tetapi keadaan ini belum tentu terjamin selepas berpindah tangan. Selalunya berkesudahan, seperti  "kera mendapat bunga," sebuah kegagalan yang amat menyedihkan, dan bahkan mengaibkan kebanyakan orang Melayu yang mempunyai maruah dan harga diri yang tidak sanggup melihat syarikat bumiputera yang diamanahkan akhir menjadi "penyangak." 


Dengan pengumuman terbaharu itu, Najib sekali lagi memperlihatkan dirinya sebagai orang yang gemar mengumumkan sesuatu tanpa usul periksa.  Mungkin ada yang masih ingat ketika beliau membentangkan Belanjawan 2011 apabila lebih RM100 juta diperuntukkan kepada Permata Negara.  Bagi mereka yang mengetahui (walaupun tidak arif) tentang pengurusan kewangan negara, pastinya mereka  akan mempersoalkan bahawa Permata Negara ini di bawah agensi kerajaan atau kementerian mana untuk membolehkan dan mewajarkan peruntukan belanjawan disalurkan.  Kalau di bawah Jabatan Perdana Menteri, maka boleh dianggap "projek laki bini." 


Contoh kedua,  pengumuman pembinaan Menara Warisan di tapak Stadium Merdeka dan Stadium Negara oleh PNB.  Seperti yang diketahui, PNB bukan  sebuah agensi kerajaan, dengan itu, mengapa Najib beria-ia sangat mengumumkan dalam Belanjawan 2011.  "Senang cakap," biarkan PNB sendiri yang mengumumkannya.   Akibat pengumuman itu, maka timbul  kontroversi dan   kerajaan dituduh melakukan pembaziran kerana melibatkan peruntukan yang besar, iaitu kira-kira RM8 bilion.  Akhirnya, Najib dan PNB menjelaskan bahawa Menara Warisan tidak melibatkan peruntukan kerajaan, sebaliknya PNB menggunakan sumber kewangannya sendiri. Kalau tidak melibatkan peruntukan kerajaan, mengapa diumumkan dalam belanjawan tahunan kerajaan? Akibat pengumuman itu, Najib tersadung, PNB terpaksa bertindak defensif. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...