Artikel Popular

Tuesday, February 28, 2012

Konflik Israel-Iran: Merpati Putih Membawa Pesan

SELASA,  28  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di tengah-tengah kegamatan gendang perang Israel dan tidak kurang pula yang tumpang sekaki, mengapi-apikan Israel yang naik histeria itu, Roya Hakakian menulis dalam The New York Times mengingatkan dua buah negara yang bermusuh ini mempunyai pertalian sejarah dan budaya.      Hakakian melahirkan rasa kekesalan yang mendalam jika perang antara Israel-Iran benar-benar tercetus. 

Berketurunan Iran-Yahudi, Hakakian memberitahu bahawa sejak zaman remajanya, iaitu ketika bemulanya Revolusi Iran pada tahun 1979, kesetiaannya sering dipersoalkan, termasuk konflik Israel-Iran sekarang:  "Jika tercetus perang antara Iran dengan Israel, negara manakah yang anda sokong?" tanya seseorang melalui Facebook.   

Dengan nada kesal, beliau menulis, "Tidak ada dua bangsa  yang dibentuk secara mendalam antara satu sama lain, dan namun, sangat tidak menyedari bahawa mereka terhutang budi antara satu lain."  Beliau menceritakan kemajuan Iran dalam perindustrian merupakan usaha yang diterajui oleh orang Yahudi Iran semasa pemerintahan Reza Shah Pahlavi - ketika itu Iran mempunyai tentera dan kerajaan pusat yang berkesan yang menjadikan perindustrian suatu kemungkinan. 

Semasa remaja, Roya Hakakian pernah menyertai  perbincangan kumpulan berhubung dengan konflik Israel-Palestin - apabila beliau membuat rumusan bahawa bumi itu sepatutnya dikembalikan kepada rakyat Palestin. Beliau memberitahu 100,000 orang Yahudi Iran telah berpindah, kebanyakannya ke Israel atau Amerika Syarikat, dan kini, hanya kira-kira 20,000 masih tinggal di Iran.

"Sebagaimana majoriti orang Iran tidak menyedari sejarah ini,"  tulis Hakakian, "demikian juga orang Yahudi yang tidak menyedari sumbangan orang Iran terhadap kelangsungan orang Yahudi."  Beliau memberitahu  bahawa beliau melihat  orang Yahudi Amerika terperanjat apabila bertemu dengan beliau, mereka mendapat tahu bahawa tentang kewujudan orang Yahudi di Iran untuk pertama kali, meskipun hakikatnya bahawa Iran masih merupakan tempat tinggal terbesar orang Yahudi di Timur Tengah di luar Turki dan Israel. 

Jelas Hakakian lagi, seawal abad keenam Sebelum Masihi, orang Yahudi dibuang negeri  di  Babylonia, menemui penyelamat Cyrus Agung Parsi, yang membantu mereka pulang ke Israel. Pada awal tahun 1940-an, Iran menjadi tempat perlindungan untuk orang Yahudi yang ketika itu lari daripada buruan tentera Hitler.  Beribu-ribu orang Yahudi terhutang nyawa kepada tindakan berani Abdol-Hossein Sardari, ketua utusan diplomatik Iran di Perancis, yang mengingkari perintah Nazi dengan mengeluarkan beribu-ribu pasport dan dokumen perjalanan untuk orang Yahudi.

Dengan nada emosi, Roya Hakakian bertanya, "Adakah dua bangsa ini membenarkan pemimpin mereka memulakan peperangan jika mereka sedar akan betapa mereka terhutang budi kepada antara satu sama lain? Beliau mengingatkan bahawa dengan mengebom Iran, Israel akan mengebom bahagian sejarah Yahudi.  Jika ini berlaku, mana satu negara yang saya sokong tidak akan menjadi persoalan.  Saya akan dimusnahkan dua kali oleh dua budaya yang tidak sempurna, tetapi disayangi yang setiap budaya itu menjadikan separuh diri saya wanita.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama, orang keturunan Yahudi melahirkan rasa terhutang budi dan nyawa kepada orang Islam.  Sebelum ini, iaitu akhir tahun lalu, Eva Weisel menulis juga dalam The New York Times, dan pernah petik, "memberikan penghormatan kepada semua orang yang menyelamatkat orang Yahudi."  Maksud Weisel, ialah  Khaled Abdul Wahab, orang  Islam Arab di Tunisia,  yang telah pun meninggal dunia, yang pernah menyelamatkan beliau dan keluarga beliau daripada tentera Jerman. 

Seperti yang diketahui umum, ketika kerajaan Kristian Eropah menzalimi orang Yahudi, mereka  mencari tempat perlindungan di negara Islam.  Demikian juga apabila orang Yahudi menjalankan perniagaan pemberian pinjaman wang  di kota-kota Italy, mereka diusir oleh pemerintah, lalu mereka berhijrah ke negara yang diperintah oleh Empayar Ottoman.  Di situ, mereka meneruskan perniagaan "lintah darah" mereka yang akhirnya muncul syarikat kewangan yang besar - yang kini di seluruh dunia.

Namun, sebagaimana banyak suara lain, baik orang Islam mahupun orang Yahudi dan Kristian, Roya Hakakian dan Eva Weisel tenggelam dalam gegak-gempita gendang perang yang digamatkan lagi oleh  tempikan helang dan puak neokonservatif yang sentiasa dahagakan darah. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...