Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Krisis ekonomi semasa mendorong sesetengah untuk menggali semula pemikiran yang dilupakan berdekad-dekad, antaranya yang ditinggalkan oleh John Maynad Keynes, Joseph Schumpeter, Hyman Minsky, dan bahkan Karl Marx. Sesetengah ahli ekonomi sezaman tidak jemu-jemu membincangkan pemikiran Keynes untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi, antaranya Joseph Stiglitz, Nouriel Roubini, Roger Bottle, Robert Skidelsky, dan John Cassidy.
Pastinya, antara mereka, Paul Krugman yang paling ghairah mengetengahkan pemikiran ahli ekonomi British yang tersohor pada abad ke-20, bahkan ketika banyak negara mula meninggalkan Keynesian dan beralih kepada langkah jimat-cermat. Seperti yang dapat dilihat melalui kolumnya dalam The New York Times, Krugman sentiasa menegaskan Keynes adalah betul.
Selain ahli ekonomi yang dinyatakan itu, Jonathan Portes yang menulis dalam Social Europe Journal, membahaskan Keynesian dari segi dasar fiskal, memperkukuhkan lagi apa yang ditulis oleh Robert Skidelsky dalam Newstateman hampir dua tahun lalu, "kekacauan defisit, penyelesaian Keynes."
Dalam ulasan buku tentang pemikiran John Maynard Keynes dan Friedrich Hayek, Peter Clarke mendedahkan "perjuangan ideologi di tengah-tengah krisis ekonomi masa kini." Kedua-duanya, iaitu Keynes dan Hayek mewakili dua pendekatan yang berbeza. Keynes yang berlatarbelakang tradisi Cambridge melihat ekonomi disiplin kemanusiaan atau sains moral. Sebaliknya, Hayek, berlatarbelakangkan sekolah Austria, menyerap dalam usaha mencari kecantikan abstrak mekanisme harga.
Pastinya, pemikiran kedua-dua ahli ekonomi itu bukan sesuatu yang mutlak, seperti yang pernah dicadangkan oleh Meghnad Desai dan Robert Skidelsky, untuk mempercepatkan pemulihan perlu melihat melampau teori ekonomi Keynes dan Hayek.
Langkah jimat-cermat yang dilaksanakan oleh beberapa buah negara, ternyata bukan sahaja gagal membuahkan hasil, tetapi juga banyak membawa keburukan, lalu banyak orang teringat akan John Maynard Keynes, dan merasakan ahli ekonomi ini sentiasa betul.
No comments:
Post a Comment