Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Akibat krisis kewangan tahun 2007-2008 dan seterusnya dunia terjebak dalam kemelesetan, beberapa akhbar terpaksa memfailkan kemuflisan atau beralih kepada Internet, seperti yang dilakukan oleh The Huffington Post, kerana jumlah pengedaran merosot dan sumbangan iklan berkurangan.
Sementara itu, selain meneruskan edisi bercetak, banyak akhbar menyediakan edisi dalam talian yang boleh diakses oleh pembaca secara percuma. Tidak kurang juga akhbar membenarkan para pembaca mengakses edisi talian, tetapi pada jumlah yang terhad, misalnya The Wall Street Journal, The Washington Post dan Financial Times. Demikian juga The New York Times yang hanya memberikan 20 makalah percuma setiap bulan yang dipilih sendiri oleh pembaca. Sama ada boleh diakses sepenuhnya ataupun pada jumlah yang terhad, Internet membolehkan para pembaca di seluruh dunia membaca akhbar tanpa sempadan.
Antara begitu banyak akhbar yang dapat diakses secara dalam talian, The Daily Mail, seperti yang dilaporkan oleh Will Oremus dalam Slate, akhbar dalam talian paling popular di dunia, mengatasi akhbar terkemuka, seperti The New York Times, USA Today, dan The Wall Street Journal. Tabloid British berjaya menarik pelawat yang unik berjumlah 45.3 juta kepada 44.8 juta Gray Lady.
Perkara yang paling penting untuk mengetahui laman web The Daily Mail (lebih betul disebut Mail Online), tegas Oremus, bahawa akhbar itu benar-benar akhbar dalam talian. Inilah yang meletakkan kejayaannya. Tidak seperti akhbar dalam talian, Mail Online mempunyai sedikit persamaan dengan tabloid British yang melahirkan akhbar dalam talian ini.
Mail Online yang juga menyasarkan pembaca wanita, memisahkan pasukan editorial antara edisi bercetak dengan edisi dalam talian sejak awal-awal lagi. Walau bagaimanapun, Oremus mengingatkan bahawa bukan soal apakah jenis akhbar dalam talian yang lebih baik, tetapi adakah laman berita tulen mampu menghasilkan pendapatan dalam talian.
Tatkala terbongkarnya skandal penggodaman telefon di Britain beberapa bulan lalu, dengan tiba-tiba nama Rebekah Brooks meletup, The Economist membuat liputan tentang tabloid yang paling terpengaruh di dunia, antaranya termasuk The Daily Mail yang menduduki tempat ketiga di belakang Bild Zeltung (Jerman) dan The Sun (Britain), dengan jumlah pengedaran 2.1 juta naskhah.
No comments:
Post a Comment