Artikel Popular

Sunday, February 19, 2012

Pasar Lambak di Jalan Sultan

AHAD, 19 Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Pada awal pagi tadi, saya  ke Pudu Raya (saya masih selesa dengan nama ini, meskipun namanya telah diubah) dan  memasuki  Jalan Sultan yang mula sesak. 

Bersetentangan dengan Hotel Furama (kini bertukar nama), Kompleks Selangor,  sambil memandu, saya terpandang banyaknya orang menjual pakaian yang dilonggokkan sepanjang kaki lima sederetan dengan Hotel Swiss Inn, hingga ke simpang lampu isyarat Jalan Petaling.  

Kira-kira tiga tahun lalu, pada waktu yang agak sama, iaitu pada tahun 2008, saya pernah melihat kumpulan penjaja pakaian, tetapi bilangannya lebih kecil jika dibandingkan dengan yang ada pada hari ini.  

Tengah hari tadi, sebaik-baik sahaja  keluar dari restoran beriani tarbush di Jalan Bukit Bintang, saya terpandang seorang penjaja mula bersiap sedia untuk menjual jam tangan.  Pada Sabtu minggu lalu, dalam perjalanan ke Pavilion, saya melihat bilangan penjaja jam ini agak banyak, mungkin kerana hari ini, saya  di situ agak awal sedikit.

Melihat kehadiran kumpulan penjaja di Jalan Sultan dan di Jalan Bukit Bintang itu, fikiran saya terbayangkan hukum ekonomi, iaitu permintaan dan penawaran.  Mereka wujud kerana adanya permintaan terhadap barang jualan mereka:  pakaian dan jam tangan.  

Namun, yang sering menjadi kemusykilan ialah penguatkuasaan.  Di  manakah pegawai dan staf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang membiarkan  penjajaan seperti itu semakin berleluasa? Adakah kerana ufti atau ketidakpekaan? 

Dalam kes Jalan Sultan misalnya, seperti saya katakan, tiga tahun lalu, bilangan mereka adalah kecil, tetapi hari ini semakin membesar. Dengan kehadiran mereka, kota raya Kuala Lumpur yang mempunyai bangunan pencakar langit dan pusat beli-belah yang berkenal, menjadi taraf kota Dunia Ketiga: peniaga yang tidak tersusun dan pakaian murahan dan tiruan membanjiri pasaran.

Beberapa bulan lalu, sebuah akhbar tempatan menyiarkan bahawa peniaga di Jalan Sultan menentang rancangan pembinaan MRT kerana ini boleh menjejaskan perniagaan mereka. Apakah kehadiran gerombolan penjaja pakaian di kaki lima premis perniagaan mereka tidak menjejaskan perniagaan mereka?  Paling tidak, kehadairan peniaga ini, merosakkan imej persekitaran perniagaan mereka.  

Saya yakin, selepas menjadikan Jalan Petaling sebagai koloni mereka, kumpulan penjaja ini akan menerobos  ke Jalan Petaling.  Hanya menunggu masa dan ketika.  Kira-kira setahun lalu, apabila dalam Belanjawan Tahun 2011, kerajaan mengumumkan rancangan pembinaan Menara Warisan, yang mencetuskan tentangan daripada beberapa pihak; antara alasannya, merosakkan warisan budaya Jalan Petaling. 

Sesungguhnya, dengan kewujudan "koloni" penjaja pakaian di Jalan Sultan, meskipun mungkin seminggu sekali, tidak keterlaluan jika dikatakan lambat-laun, palilng tidak, Jalan Petaling akan kehilangan identiti. 

Banyak orang yang berani menentang rancangan projek kerajaan, seperti MRT dan pembinaan Menara Warisan, tetapi mendiamkan diri mereka apabila kawasan berkenaan diterobosi oleh gerombolan penjaja yang tidak dapat dipastikan dari mana asal usul mereka ini dan membawa pelbagai keburukan dan kerosakan di situ.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...