Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sesungguhnya, jalan ke arah pemulihan masih berliku-liku dan lekak-lekuk: pasaran buruh yang lemah, defisit yang menggunung, para pengguna yang terlalu berhati-hati, dan kredit yang ketat. Memang benar bagai dikata bahawa manusia hanya mengambil masa lima minit untuk berasa takut, tetapi memerlukan masa yang lama untuk memadamkannya.
Dalam keadaan pemulihan yang sedemikian, maka wujud perbauran antara strategi keluar dengan pakej rangsangan. Pada awal Disember lalu, Presiden Amerika, Barack Obama mencadangkan pakej rangsangan baru bernilai AS$150 bilion untuk merancakkan pemulihan dan mengurangkan kesengsaraan pengangguran digit berganda apabila lebih tujuh juta orang Amerika hilang pekerjaan sejak kemelesetan berlaku dua tahun lalu. Sementara Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama mengumumkan pakej rangsangan bernilai AS$81 bilion yang membantu negara itu mengelak daripada terjebak dalam satu lagi kemelesetan pada tahun 2010 tanpa mengatasi deflasi yang mengancam prospek jangka panjang ekonomi.
Tatkala pasaran saham menyaksikan kerancakan larian lembu jantan, kadangkala lenggok beruang pula mengacau. Tatkala lembu jantan dan beruang berebut-rebut, tiba-tiba muncul babi yang nyaris-nyaris menyondol pasaran. Tatkala sinar pemulihan kelihatan di hujung terowong, ribut pasir dari Dubai pula melanda, dengan kelajuan yang menyapu merentas sempadan.
Dubai mempunyai cerita kejayaan yang luar biasa: dijadikan contoh oleh Thomas Friedman dalam bukunya, The World is Flat: A Brief History of the Globalized World in the 21st Century, dan hab antarabangsa untuk filem Bollywood di luar India untuk tayangan dan pembikinan wayang. Bermula sebagai aktiviti perikanan kecil dan komuniti penyelam mutiara, Dubai terus berkembang kukuh untuk muncul sebagai pusat perdagangan utama di Teluk Parsi. Dubai, kota yang pantas di dunia – meminjam judul buku Jim Krane, Dubai: The Story of the World’s Fastest City, dengan kekayaannya muncul dengan cepat.
Di sinilah juga tempat revolusi seni bina yang menguja dan inovatif. Dubai kini muncul sebagai metropolis yang pesat membangun untuk lebih dua juta penduduk, kebanyakannya ekspatriat yang mendapat faedah daripada kegiatan ekonomi yang kian dipelbagaikan di negara kota itu. Di rantau negara yang konservatif dan autokratik yang sejak lama terikat pada naik turun kitaran industri minyak, Dubai berdiri megah kerana mewujudkan ekonomi terbuka yang dipelbagaikan dengan baik melampaui sumber tenaga. Dengan sama sekali tidak memiliki rizab minyak dan gas berbanding dengan jirannya, Arab Saudi dan Kuwait, Dubai dikatakan ingin membuktikan bahawa “jika anda sebahagian ekonomi global, anda akan menjadi makmur; anda tidak perlu memiliki minyak.”
Setahun selepas kemerosotan global menjejaskan pertumbuhan yang pesat di Dubai, negara kota itu mengejutkan pasaran global dengan mengumumkan rancangan untuk menyusun semula syarikat yang menanggung hutang yang besar ketika menjelang Aidiladha bagi umat Islam dan Kesyukuran di Amerika. Pengumuman Dubai pada 25 November bahawa Dubai World meminta untuk menangguhkan bayaran balik hutang mencetuskan kebimbangan bahawa kemungkinan kemungkiran boleh menjejaskan pemulihan sistem kewangan global.
Pengumuman tersebut menyebabkan kemerosotan pasaran saham terbesar dalam tempoh tiga bulan di Asia dan keadaan kucar-kacir terburuk di Eropah sejak April kerana ini boleh menambahkan lagi kerugian yang ditanggung oleh bank-bank. Agensi-agensi kredit utama bertindak balas dengan mengurangkan penarafan hutang syarikat milik kerajaan dengan berkata bahawa mereka mungkin menganggap rancangan penangguhan itu sebagai mungkir.
Berita itu menghantui ketakutan, sekurang-kurangnya sementara waktu, bahawa pemulihan ekonomi dunia berada pada landasan yang rapuh. Pada hari Jumaat, ketika umat Islam menyambut Aidiladha, krisis hutang Dubai membangkitkan kebimbangan terhadap satu lagi gelombang kacau-bilau kewangan, menunjukkan bagaimana ekonomi dunia mudah terancam. Apabila ribut pasir melanda, pucuk hijau yang tumbuh beberapa bulan lalu menjadi layu kekeringan!
Seperti yang dilaporkan oleh The Associated Press (AP), oleh sebab pasaran saham, komoditi, dan mata wang global menjadi berputar-putar hilang kawalan, kemungkinan kesan limpahan dari Dubai muncul dari London ke Korea Selatan, dengan bank, besar dan kecil, berasa bimbang akan apa-apa kerugian yang mungkin ditanggung akibat pendedahan terhadap hutang yang besar itu.
Ekoran kucar-kacir di Eropah, pasaran saham Asia merudum pada Jumaat itu, manakala dolar mencecah paras yang paling rendah yang baru dalam tempoh 14 tahun berbanding dengan yen kerana para pelabur melonggokkan pelaburan pada mata wang yang ditanggapi lebih selamat. Dengan Dubai World didesak menjelaskan hutang, bank-bank dijangka menerima pukulan yang keras: pemberi pinjaman utama yang beribu pejabat di London, HSBC Holdings dan Standard Chartered kemungkinan menanggung kerugian masing-masing AS$611 juta dan AS$177 juta, menurut anggaran awal penganalisis di Goldman Sachs. Ternyata bahawa bank-bank di United Kingdom secara kolektif memberikan pinjaman kira-kira AS$5 bilion kepada Dubai World, dengan Royal Bank of Scotland paling terdedah.
Di Asia, Sumitomo Mitsui Financial Group, mungkin terdedah pada firma hartanah Dubai World yang berhutang sebanyak beberapa ratus juta dolar. Korea Selatan menganggarkan institusi kewangan negara itu mempunyai pendedahan hanya AS$88 juta. Firma pembinaan dari Jepun, Australia, dan Korea Selatan yang terlibat dalam ledakan pembangunan di Dubai akhir-akhir ini juga mungkin turut terkena kesannya.
“Krisis Dubai itu,” Cai Junyi, penganalisis untuk Shanghai Securities dilaporkan berkata, “menyentuh saraf sensitif para pelabur. Dunia menyaksikan sama ada akan berlaku impak yang cukup besar. Dubai World diibaratkan jendela kecil yang mungkin membayangkan satu lagi tsunami kewangan.”
Permintaan Dubai World, termasuk pemaju terbesar yang dimilikinya, Nakheel untuk menangguhkan bayaran balik hutang mencetuskan panik dalam pasaran saham global, sebelum pasaran bingkas semula. Pakar-pakar kewangan kelihatan berasa risau bahawa jika Nakheel jatuh muflis, tidak dapat tidak, Dubai World – konglomerat yang mempunyai kepentingan di seluruh dunia dari pelabuhan ke padang golf, terheret sama. Sebenarnya, masalah Dubai World berpunca daripada pergantungan pada pinjaman jangka pendek yang pada sebelum ini mudah diperoleh yang digunakan untuk membiayai projek jangka panjang bangunan tinggi, dan malah lebih banyak pulau buatan manusia.
“Sejak bertahun-tahun,” tulis Economist.com pada akhir November, “Dubai berusaha menguasai imaginasi dunia kewangan, merancang pusat kewangan mudanya sebagai ‘pintu masuk global’ bagi modal. Minggu lalu Dubai berjaya menarik perhatian. Pengumuman Dubai untuk menangguhkan bayaran balik hutang Dubai World, menyapu seluruh pasaran global bagaikan ribut pasir yang tersorok yang sekali-sekala melanda amiriah, mengaburkan pandangan cahaya lembut bangunan-bangunan pencakar langitnya.”
Seperti ribut pasir, pengumuman Dubai itu terlalu merosakkan kerana mengurangkan keterlihatan. Para pelabur menjangkakan kerajaan Dubai bersedia menyelamatkan konglomeratnya yang berhutang itu, dan Abu Dhabi, jiran amiriah yang kaya-raya itu akan menyelamatkan Dubai.
“Apabila generasi akan datang berbual-bual dengan anak-anak mereka tentang cerita keruntuhan besar pada awal abad ke-21, pastinya mereka bermula dengan cerita ibarat tempat yang bernama Dubai,” tulis Jonathan Freedland dalam The Guardian.
Impian Dubai tenggelam dalam lautan hutang. Ada yang mengatakan bahawa pengajaran yang terlalu keras yang dialami sejak tahun 2008 ialah bahawa dunia yang aset adalah pada diskaun dan tunai ialah raja. Dunia masih belum melepasi kekangan ini dan tekanan kewangan terhadap Dubai semakin meningkat. Selain itu, Dubai dikatakan cepat menjadi batu nisan bagi megah diri dan keadaan riang serta penuh semangat kapitalis.
Nouriel Roubini, Profesor New York University, yang pernah meramalkan krisis kewangan, berkata bahawa percubaan konglomerat itu untuk menjadualkan semula hutang merupakan peringatan bahawa ekonomi global mudah terdedah pada halangan. “Meskipun isu kewangan Dubai World tidak memeranjatkan dan kecil secara relatifnya berbanding dengan kerugian kredit global, tetapi ini mengingatkan bahawa keadaan mudah terdedah dan tidak seimbang yang menyumbang kepada kerkah kredit belum lagi lenyap,” kata Roubini dalam laman Webnya, RGE.
“Kegagalan yang teruk di Dubai itu,” tegas Roubini, “mengingatkan para pelabur bahawa semuanya belum pulih dalam sistem kewangan global. Meskipun pendedahan pada Dubai World secara relatifnya berbaur dan boleh dibendung, meskipun beberapa tumpuan terhadap bank-bank di United Kingdom dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), tetapi ini membangkitkan semula memori tentang sisa-sisa kerugian yang berpunca daripada ledakan kredit.” Walaupun sedu Dubai gagal menjejaskan pemulihan ekonomi, tetapi ketakutan mula mengacau bahawa kemungkinan punca kesan jangkitan yang serius dan mempersegarkan memori keruntuhan kewangan di Amerika dan Eropah lebih setahun lalu.
Masalah Dubai telah diketahui umum dengan bangunan kosong, kejatuhan harga hartanah, dan pemberhentian projek pembinaan. Akan tetapi, pasaran selama ini seakan-akan menganggap bahawa hutang Dubai selalunya dilindungi oleh Abu Dhabi, jirannya dan terkaya di UAE. Banyak pemberi pinjaman di sana dan di luar negara memberikan pinjaman kepada Dubai World dengan andaian bahawa sebagai syarikat yang dikawal oleh kerajaan, tentunya mempunyai sokongan kerajaan. Dubai mendorong para pelabur mempercayai bahawa instrumen yang diniagakan secara awam, seperti sukuk atau bon Islam akan dilunaskan.
Walau bagaimanapun, Dubai berulang-ulang kali menyatakan pendirian bahawa tiada jaminan kerajaan terhadap Dubai World. Kerajaan tidak memberikan penjelasan yang memuaskan mengapa kerajaan tiba-tiba mengubah pendiriannya. Hal ini mengingatkan para pelabur bahawa jaminan kedaulatan tanpa bertulis adalah tidak bernilai.
“Bank-bank percaya kerajaan Dubai tidak mahu memburukkan reputasinya, tetapi kerajaan secara berkesan menyebut mereka bohong apabila kerajaan meminta terma bayaran semula yang baru,” kata Jan Randolph, Pengarah Risiko Kedaulatan di IHS Global Insight.
Menteri Ekonomi UAE, Sultan bin Saeed al-Mansouri berkata bahawa penstrukturan semula hutang itu kini sedang dilaksanakan di Dubai World merupakan perkara biasa dalam perniagaan. Bercakap seminggu selepas Dubai World meminta pemiutangnya untuk menangguhkan bayaran semula hutang itu selama enam bulan, beliau menegaskan bahawa ekonomi UAE tidak boleh rosak oleh adegan ini.
“Hutang Dubai World tidak menjejaskan prestasi ekonomi Dubai atau UAE dan ini adalah soal masa sebelum syarikat menyusun semula hutangnya dan berpegang pada komitmennya seperti yang dijadualkan.” Untuk menyedap hati atau menenangkan keadaan, beliau menambah bahawa Dubai mempunyai rekod pertumbuhan yang kukuh.
Krisis hutang di Dubai diperhatikan dengan rapat oleh para pembeli dan penjual kuda lumba, meskipun masih jelas apakah kesan krisis hutang itu kemungkinan terjadi terhadap minat perlumbaan dan pembiakan kuda lumba dalam kalangan syeikh. Dikatakan juga bahawa krisis Dubai itu mengancam Airbus dan Boeing: Emirates, syarikat penerbitan milik kerajaan Dubai menempah kapal terbang bernilai AS$30 bilion daripada Airbus dan AS$4 bilion daripada Boeing. Tidak memeranjatkan bahawa saham syarikat induk Airbus, European Aeronautic Defence and Space Co. jatuh lebih daripada tiga peratus pada 26 November, manakala saham Boeing jatuh 1.2 peratus apabila pasaran Amerika dibuka semula pada 27 November selepas Kesyukuran.
Krisis Dubai turut meletakkan Bollywood kebimbangan: Dubai dan Timur Tengah menyumbang hampir 50 peratus daripada keseluruhan kutipan dari luar negara. Dilaporkan bahawa bagi filem gred A, lebih 40 peratus kutipan dari luar negara, dengan Dubai menyumbang 10 – 15 peratus.
Pasti akan berlaku pengurangan pekerjaan, meskipun terlalu awal untuk menentukan keterukannya. Timbul tanda tanya tentang kedudukan 70,000 orang pekerja Dubai World di seluruh dunia. Beribu-ribu orang pekerja asing meninggalkan sektor pembinaan, hartanah, dan perkhidmatan kewangan selepas kemerosotan ekonomi global melanda Dubai pada akhir tahun 2008.
Walau bagaimanapun, Menteri Kewangan India, Pranab Mukherjee berkata bahawa krisis hutang Dubai tidak mempunyai kesan yang besar terhadap ekonomi India kerana pertamanya, amaun adalah kecil, dan kedua, pendedahan sistem perbankan negara itu dengan sistem kewangan India adalah terhad. Selain beberapa kesan sampingan awalan terhadap pasaran saham India, Mukherjee dilaporkan berpendapat bahawa krisis itu tidak banyak impak terhadap eksport negaranya ke rantau itu.
Namun begitu, beliau berkata bahawa krisis Dubai itu akan memberikan impak terhadap penghantaran pertukaran asing dari sana, dan pengangguran di negara kota Teluk itu, dengan rakyat India merupakan bilangan terbesar, iaitu 42.3 peratus penduduk Dubai. “Krisis Dubai boleh diuruskan dan kerajaan memerhatikan situasi itu.”
Sementara kerajaan zon euro melihat kesan yang sedikit daripada krisis Dubai terhadap pertumbuhan ekonomi atau bank-bank di 16 buah negara yang menggunakan mata wang euro, meskipun pengumuman penangguhan hingga Mei membangkitkan gelombang kejutan di merata-rata pasaran kewangan. “Pendedahan institusi perbankan kami pada Dubai adalah sangat terhad,” kata Jean-Claude Juncker ketua menteri-menteri kewangan zon euro. “Kami fikir bahawa kesan negatif akibat krisis Dubai akan terlalu kecil.” Sementara Menteri Kewangan Perancis, Christine Lagarde memberitahu wartawan bahawa krisis itu “pada hakikatnya bersifat serantau” dan tidak mempunyai risiko sistemik terhadap ekonomi global.
Permintaan Dubai World untuk melengahkan bayaran balik hutang, manakala pertumbuhan yang perlahan di UAE “boleh dibendung dan boleh diuruskan” bagi bank-bank yang memberikan pinjaman kepada syarikat yang dimiliki kerajaan itu. Demikian pandangan Masood Ahmed, Pengarah Jabatan Timur Tengah dan Asia Tengah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Masood, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.com tidak menjangkakan penangguhan itu menjadi isu kepada bank yang terlibat kerana Dubai World memiliki aset yang luas, seperti hartanah komersial dan kemungkinan sesetengah aset ini akan dilupuskan. Ketidakpastian pasaran menjadi kurang sejak kerajaan Dubai menjelaskan pertanyaan para pelabur. Dan, beliau tidak menjangkakan bahawa UAE akan memerlukan sokongan kewangan IMF kerana kerajaan itu memiliki sumber untuk menangani isu ini dengan mudah.
Dubai, negara syeikh terbesar di UAE, menyumbangkan kira-kira 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) UAE. IMF menjangkakan pertumbuhan yang perlahan di amiriah itu pada tahun 2010, dengan pertumbuhan bukan minyak “rendah secara ketara” jika dibandingkan dengan unjuran terbaru, iaitu kepada pertumbuhan satu peratus.
Agensi penarafan antarabangsa, Moody’s dilaporkan berkata bahawa kemungkinan kemungkiran berganda berkait dengan penyusunan semula hutang boleh menyebabkan penurunan gred dalam penarafan bank UAE, tetapi bank-bank antarabangsa yang terdedah pada Dubai World tidak mungkin terjejas. Agensi penarafan itu menganggarkan bahawa kerajaan Dubai dan entiti yang berkaitan dengannya menanggung hutang AS$100 bilion – lebih tinggi daripada anggaran pasaran yang hanya AS$80 bilion.
Krisis Dubai tidak menandakan bermulanya masalah baru. Masalah Dubai boleh dianggap sebagai kegagalan amalan dalam spekulasi hartanah komersial dan bukannya mendedahkan apa-apa yang terutamanya baru tentang ekonomi global. Royal Bank of Scotland dilaporkan berkata bahawa Dubai hanya menyumbangkan kurang daripada 0.1 peratus ekonomi global, manakala UAE hanya 0.4 peratus daripada pinjaman merentas sempadan global yang belum bayar.
Selepas kelam seketika, saham rancak dari Shanghai ke New York pada 1 Disember kerana kerajaan Dubai berkata bahawa separuh obligasi Dubai World adalah stabil. Kerajaan Dubai berbincang dengan para peminjam untuk menyusun semula AS$26 bilion hutang meredakan kebimbangan bahawa kemungkiran membayar balik hutang itu akan menambahkan lagi jumlah AS$1.7 trilion yang syarikat kewangan di seluruh dunia terpaksa menurun nilai akibat krisis kredit mengurangkan nilai aset mereka. Selepas kejatuhan yang ketara minggu lalu, pasaran saham global kini pulih, dengan para pelabur kurang berasa bimbang bahawa Dubai World mungkin mungkir terhadap hutangnya dan mencetuskan kacau-bilau global.
Pada pertengahan Disember kerajaan Dubai memaklumkan bahawa kerajaan menerima dana kecemasan AS$10 bilion daripada Abu Dhabi untuk menjelaskan hutang yang ditanggung oleh Dubai World. “Kami di sini hari ini adalah untuk memberikan jaminan kepada para pelabur, pemiutang kewangan dan perdagangan, para pekerja, dan warganegara kami bahawa kerajaan kami akan bertindak pada setiap ketika sejajar dengan prinsip pasaran dan amalan perniagaan yang diterima di peringkat antarabangsa,” kata Syeikh Ahmed bin Saeed Al-Maktoum, Pengerusi Jawatankuasa Fiskal Tertinggi Dubai.
Meskipun dari segi teknikal, krisis di Dubai World adalah soal komersial semata-mata, dan sepatut tidak dianggap sebagai nasional atau kemungkiran hutang kedaulatan, tetapi timbul kebimbangan bahawa pada masa akan datang berlaku krisis yang melibatkan hutang kedaulatan kerana peningkatan yang besar dalam defisit fiskal. Setelah menyaksikan institusi kewangan di seluruh dunia mengalami kegagalan, tidak dinafikan kemungkinan bahawa kegagalan yang seterusnya ialah kerajaan.
Apabila ribut pasir reda dan dunia tidak lagi kelam, maka keterlihatan makin jelas bahawa mengapa Dubai adalah penting dan adakah di negara kota ini perniagaan berjalan seperti biasa. Juga keterlihatan makin jelas tentang perlunya kawal selia, ketelusan, dan tadbir urus. Dengan keyakinan bahawa Dubai mempunyai peluang untuk belajar daripada kesilapannya dan berkembang maju sekali lagi, maka memang tepat apabila orang berkata bahawa jangan perlekehkan Dubai.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Februari 2010.)
No comments:
Post a Comment