Artikel Popular

Friday, February 10, 2012

Hutang Tidak Bahaya?

JUMAAT, 10  Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH


Penerima Hadiah Nobel  Ekonomi, Paul Krugman pernah menulis dalam kolumnya bahawa hutang tidak bahaya.  Dalam membahaskan bahawa tidak seorang pun faham hutang hutang, bagi Krugman hutang tinggi yang ditanggung oleh Amerika Syarikat tidak bahaya. Meskipun negara itu mengalami pemulihan teknikal negara itu sejak tahun 2010, kadar pengangguran yang tinggi boleh membawa ancaman.  

Lantaran itu, beliau mencadangkan supaya jangan tergesa-gesa mengurangkan defisit belanjawan.  Krugman juga merujuk Britain yang hutangnya melebihi 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selama 81 tahun dalam masa 170 tahun lalu. 

Di Amerika Syarikat, pengurangan defisit merupakan debat yang berpanjangan dalam kalangan anggota Kongres, ahli ekonomi, dan para pengulas, dan lazimnya berlaku tuding jari, seperti yang pernah dibahaskan oleh Ezra Klein dalam Wonkblog, dan penjelasan beliau yang menyusul.   Namun, yang sering dihujahkan bahawa dalam keghairahan mengurangkan defisit jangan sekali-kali mengabaikan pengangguran yang masih tinggi.  Baru-baru ini, Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke, mencadangkan  pertumbuhan sekarang, pengurangan defisit kemudian. 



Dalam responsnya terhadap jaminan  Paul Krugman itu, Daniel Fisher yang menulis dalam Forbes berharap bahawa Penerima Hadiah Nobel itu betul.  Namun, bagi Fisher, sebenarnya Krugman membuat perhitungan yang silap untuk mengatakan hutang Amerika tidak bahaya. Fisher yang memetik sumber lain, iaitu  Grant's Interest Rate Observer, berasa waswas dan pesimistik terhadap Krugman:  hutang awam  meningkat tinggi, iaitu daripada AS$3.3 trilion pada tahun 2001 kepada AS$11  trilion  sekarang.   

Dengan hutang awam pada nisbah semasanya dengan KDNK akan memerlukan lebihan "utama" tahunan 1.5 peratus KDNK untuk 75 tahun akan datang.  Defisit fiskal tahun 2011 ialah AS$1.3 trilion atau 8.7 peratus KDNK. 

Walau bagaimanapun, Paul Krugman kerana hutang awam yang tinggi di Britain yang mencecah satu trilion paun, seperti yang ditegaskan oleh George Eaton bukan punca yang boleh mencetuskan panik.  Sebagaimana Krugman, Eaton yang menulis dalam Newstateman, juga merujuk hutang negara itu dari segi sejarah. 

"Hutang negara sebenarnya tinggi untuk 54 tahun dalam tempoh 100 tahun lalu," jelas beliau.  "Pada tahun 1956 misalnya, hutang awam mencecah 141 peratus KDNK, lebih dua kali ganda dengan hutang awam sekarang, tetapi dikurangkan  beransur-ansur melalui pertumbuhan ekonomi, kenaikan cukai, dan inflasi yang sederhana, dan bukannya dengan pemotongan perbelanjaan yang ketat."  

Untuk menguatkan hujahnya, Eaton memetik pesanan John Maynard Keynes, "Menjaga pengangguran dan belanjawan akan menjaga dirinya sendiri." 

Dalam carta harian yang interaktif, The Economist menyenaraikan negara yang menanggung beban hutang yang besar.  Hutang tersebut terdiri hutang kerajaan, isi rumah, kewangan, dan bukan kewangan beberapa negara terpilih dan negara pasaran sedang muncul.  Dengan beberapa pengecualian, seperti Jerman dan Jepun, kebanyakan negara kaya menyaksikan peningkatan yang besar pada tahap hutang pada tahun-tahun yang membawa kepada krisis. 

Mendahului senarai negara yang jumlah hutang keseluruhan adalah tinggi ialah Britain dan Jepun iaitu lebih 400 peratus KDNK.  Diikuti oleh Italy, Sepanyol, Perancis,  Switzerland, dan Korea Selatan, iaitu antara 300 peratus hingga 399 peratus KDNK.  Mendahului hutang kerajaan yang tinggi ialah Jepun, iaitu 220 peratus KDNK, Italy dengan 110 peratus KDNK, dan diikuti oleh Perancis, Jerman, dan Britain antara 70 hingga 90 peratus KDNK.

Berikutan krisis hutang euro yang berpanjangan yang sukar diselesaikan - memetik Jeremy Warner - secara grafik The Telegraph menjelaskan krisis hutang Eropah. Grafik ini menunjukkan bagaimana pinjaman bersih antara sebuah negara dengan bank di negara lain yang menunjukkan seluruh benua itu diancam oleh kemungkinan Greece tidak membayar balik pinjamannya.  Negara itu banyak berhutang dengan semua negara zon euro, iaitu hampir AS$74 bilion dengan Jerman dan Perancis.

Sama ada hutang boleh mengancam sesebuah negara ataupun tidak, nampaknya masih dibahaskan.  Hanya yang pasti jika terpaksa pilihan, lebih baik mempunyai hutang yang tinggi berbanding dengan kadar pengangguran yang tinggi. Walau bagaimanapun, ekonomi dunia kini berhadapan dengan - memetik Robert J. Samuelson, "mempunyai wilayah yang tidak dicartakan" untuk mengingatkan  bahaya yang sedang menanti.  Sarat masalah, padat ketidakpastian, kontang penyelesaian. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...