Artikel Popular

Saturday, February 4, 2012

Kemelesetan Besar: Siapakah yang Harus Dipersalahkan?

SABTU,  4  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Meskipun lebih tiga tahun berlalu, kemelesetan yang berlaku pada tahun 2008-2009, yang terburuk sejak Kemelesetan Besar 1930-an, masih belum pergi jauh.  Di mana-mana sahaja, baik di skrin televisyen mahupun di dada akhbar dan majalah, baik di Davos mahupun Brussels, baik  di Washington mahupun di London, baik di Paris mahupun di Berlin, orang masih dihantui oleh kemelesetan sezaman ini.  Banyak orang merasakan bahawa kemelesetan curam berganda sebenarnya sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  


Bahkan, di Amerika Syarikat,  data terbaharu tentang kadar pengangguran yang  turun kepada 8.3 peratus, tidak patut  disambut dengan perasaan gembira. Pendek kata, meskipun data membawa berita gembira, hantu kemelesetan masih merayau-rayau.

Berikutan kemelesetan ini, beberapa pihak dipersalahkan, antaranya banker, penggubal dasar, pengawal selia, dan ahli ekonomi. Banyak nama besar yang disenaraikan. " Mengapa Rizab Persekutuan," bahas Robert J. Samuelson, "tidur sebelum krisis perumahan kerana  terlepas perhatian kemungkinan ledakan-pecah."


Dan, hingga hari ini,  orang belum jemu-jemu untuk menyenaraikan individu yang menyebabkan dunia terhumban ke dalam kemelesetan itu, seperti yang dapat dilihat dalam tulis Larry Elliott dalam The Guardian pada Jumaat semalam. 

Selepas menyatakan pengambialihan AOL  di Amerika dengan harga AS$164 bilion pada tahun 2000 dan perolehan ABN pada harga 49 bilion paun pada tahun 2007, Elliott, menyenaraikan nama besar yang terlibat daripada Presiden kepada Perdana Menteri kepada pengawal selia kepada ahli ekonomi, dan tidak ketinggalan banker.

Mengetahui senarai yang panjang itu ialah Alan Greenspan, Sir Mervyn King, Gordon Brown, Bill Clinton, Eugene Fama, Ronald Reagan dan Margaret Thatcher, Hank Paulson, Kathleen Corbet, Phil Gramm, dan banker.  

Namun begitu, agak aneh kerana George W. Bush, Presiden Amerika Syarikat ketika berlakunya krisis ekonomi dan kemelesetan tidak termasuk dalam senarai.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...