Artikel Popular

Tuesday, February 21, 2012

Penyelesaian Dua Negara Sudah Terlewat?

RABU,  22 Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala Israel semakin naik histeria untuk menyerang Iran,  sehingga Fareed Zakaria turut  merayu "jangan serang Iran," manakala Iran pula dituduh menggunakan minyak untuk mengugut Eropah,   dan polemik perisytiharan "saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel" belum reda,  Dan Ephron menulis dalam Newsweek mendedahkan amalan aparteid dalam kelab bola sepak Beitar di Israel: tidak menerima pemain Arab Israel.  

Jelas beliau, menurut undang-undang di Israel, anggota minoriti Arab mempunyai hak yang sama seperti orang Yahudi.  Mereka boleh mengundi dan memegang jawatan; mereka boleh berkhidmat sebagai diplomat dan hakim Mahkamah Agung.  Akan tetapi, status mereka secara konstan dilemahkan oleh paradoks yang keras:  orang Arab Israel adalah kedua-duanya, iaitu warganegara Israel dan keluarga musuh Israel.  Kini, terdapat kira-kira 20 peratus orang Arab Israel daripada jumlah penduduk Israel keseluruhan.

Namun, yang amat serius, yang sepatutnya menjadi keprihatinan  umat Islam khususnya, dan warga dunia amnya,  ialah temu bual Spiegel Online International  dengan ahli falsafah Palestin yang terkenal, iaitu Sari Nusseibeh yang percaya bahawa sudah terlewat untuk penyelesaian dua negara bagi konflik Timur Tengah. Akibat pencerobohan dan pendudukan Israel  Baitulmuqqadish Timur, maka kawasan itu tidak  wujud lagi.  Jelas beliau, Baitulmuqqadish Timur  telah pun menjadi nama yang tidak kena.  Akan tetapi, negara Palestin tanpa Baitulmuqqadish Timur sebagai ibu negaranya tidak boleh. 

Jelas Nusseibeh, sukar untuk dibayangkan untuk melihat bagaimana untuk mencari penyelesaian melukis semula peta supaya dapat memberi kami, umat Palestin, Baitulmuqqadish Timur sebagai ibu negara. Akan tetapi, perkara kedua, wujud peneroka Israel.  "Bolehkah anda mengambil setengah juta penduduk ini?  Tidak, anda tidak boleh.  Tidak ada yang mustahil, dari segi matematik, tetapi dari segi politik, dan dalam politik, tidak semua selalunya mungkin.

Apabila ditanya adakah kita patut mengakui pada diri kita sendiri bahawa penyelesaian dua negara sudah mati, Nusseibeh menjelaskan, "bercakap dari segi matematik, penyelesaian dua negar merupaka penyelesaian yang sangat baik.  Penyelesaian ini menyebabkan kesengsaraan yang minimum dan diterima oleh majoriti di kedua-dua belah pihak.  Oleh sebab itu, kita sepatutnya menjadikannya kenyataan sejak dahululagi, tetapi kita melakukannya."

Dalam hubungan ini, beliau menyalahkan kedua-dua belah pihak.  Pertamanya, memakan masa yang lama untuk Israel  untuk menerima bahawa wujud orang Palestin.  Mengambil masa yang lama bagi kami, orang Palestin bahawa kami sepatutnya mengiktiraf Israel sebagai negara. Masalahnya, sejarah bergerak pantas daripada idea.  Tiba masa dunia sedar hakikat bahawa penyelesaian dua negara ialah penyelesaian terbaik, kita mempunyai beratus-ratus ribu orang Israel tinggal melampau Garisan Hijau - sempadan tahun 1949 di antara Israel dengan Tebing Barat.  

Jelas beliau lagi, faham fanatik semakin menjadi-jadi di kedua-dua belah pihak.  Hari ini, untuk mencari penyelesaian dua negara kelihatan seperti mencari sesuatu di dalam buih fantasi."

Pada akhir temu bual itu,  Nusseibeh menarik perhatian bahawa orang Islam dan orang Yahudi hidup bersahabat untuk tempoh yang panjang.  Meskipun tidak terlalu indah, biasanya hubungan ini lebih baik daripada di Eropah hampir sepanjang masa.   Kami mempunyai persabahatan antara orang Yahudi dengan orang Arab yang yang sangat kukuh dan ada kalanya sejak beberapa generasi.  Maka, bukan sesuatu yang mustahil.

Tatkala parti-parti politik di Malaysia asyik menuding jari, "siapa yang lebih menyayangi Israel," "siapa yang lebih pro-Israel," umat Palestin semakin menempuh jalan buntu untuk mencari penyelesaian. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...