Artikel Popular

Friday, February 24, 2012

Tindakan Afirmatif: Daripada Kaum kepada Kelas?

SABTU, 25 Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Mahkamah Agung Amerika Syarikat dilaporkan akan mendengar rayuan seorang pelajar perempuan dari Texas yang mencabar pelaksanaan  tindakan afirmatif berdasarkan kaum di kolej dan universiti. Para hakim memaklumkan bahawa mereka akan mendengar rayuan pelajar yang kecewa itu yang mencuba menamatkan "keutamaan kaum" dalam proses kemasukan di pusat pengajian tinggi di Amerika Syarikat. 

Rayuan pelajar perempuan berkemungkinan mempunyai impak nasional, berpotensi sebagai kes yang menamatkan keputusan mahkamah tinggi di negara iyu lebih tiga dekad membenarkan tindakan afirmatif dalam kemasukan di kolej dan universiti. 

Mahkamah Agung kali pertama meluluskan tindakan afirmatif di pusat pengajian tinggi dalam kes Bakke pada tahun 1978.  Satu generasi kemudian, iaitu pada tahun 2003,  Hakim Sandra Day O'connor, menulis keputusan mahkamah itu mengesahkan semula amalan itu, mengatakan dalam kes melibatkan University of Michingan bahawa kolej dan universiti boleh mengehadkan keutamaan kaum dalam usaha untuk mencapai kepelbagaian di kampus.  Pada masa itu, O"Connor mencadangkan bahawa selepas 25 tahun lagi, jika prasangka perkauman semakin lemah, maka keutamaan tersebut tidak boleh dipertahankan lagi.

Dengan keputusan terbaharu Mahkamah Agung untuk mendengar rayuan itu, paling tidak, akan  mengehadkan tindakan afirmatif.  Kali ini kemungkinan besar rayuan itu diterima berdasarkan individu hakim yang menganggotai Mahkamah Agung, misalnya Hakim Samuel Alito yang kelihatan berseteru dengan tindakan afirmatif jika dibandingkan hakim sebelum beliau, iaitu O'Connor.  Sementara Hakim Kagan yang mungkin membuat keputusan bersama-sama hakim yang cenderung kepada liberal dalam menyokong dasar tersebut tidak mendengar kes ini kerana ketika kes itu didengar di Texas dahulu, beliau bertindak sebagai pendakwa raya. 

Pada tanggapan umum, tindakan afirmatif menunggu detik untuk berakhir, seperti yang dibayangkan oleh Andrew Cohen, "Ini bukan lagi mahkamah O'Connor.  Ini ialah mahkamah Anthony Kennedy.  Dan beliau memperlihatkan dirinya tidak bersahabat dengan jenis dasar kemasukan seperti ini.   Justeru, selepas 50 tahun atau lebih, pelajar kulit hitam tidak diterima masuk di universiti-universiti di Selatan kerana warna kulit mereka, Mahkamah Agung bersikap tenang dan yakin untuk menamatkannya, atau sekurang-kurangnya secara dramatik, mengehadkan tindakan afirmatif di pusat pengajian tinggi."


Namun, Kevin Powell yang menulis tindakan afirmatif dan musuh kepelbagaian mengingatkan seluruh hujah tindakan afirmatif selalunya untuk meratakan padang permainan, memberikan mana-mana peluang kepada  golongan yang tidak memiliki kerana warna kulit atau latar belakang mereka peluang untuk impian Amerika.  Tegas Powell, "jika Mahkamah Agung yang cenderung kepada konservatif membuatkan keputusan yang memihak kepada rayuan Abigail Fisher itu, dan menentang tindakan afirmatif secara umumnya, ini merupakan satu malapetaka, terutamanya terhadap pelajar kulit hitam dan Lationa di kolej dan universiti Amerika."

Selain para hakim yang mendengar kes menjadi tumpuan, Richard Kahlenber yang menulis dalam Slate mencadangkan supaya Presiden Barack Obama campur tangan.  Beliau sepatutnya menyokong tindakan afirmatif berdasarkan keutamaan kelas yang membantu semua pelajar berpendapatan rendah.  Berdasarkan barisan hakim yang akan mendengar rayuan ini, Kahlenber juga membayangkan tindakan afirmatif akan berakhir. Namun, pergi lebih jauh dengan mencadangkan Mahkamah Agung menjadikan universiti memberikan perhatian terhadap pembahagian kelas yang membimbangkan di pusat pengajian tinggi.

"Tindakan afirmatif berdasarkan kaum jarang-jarang memberikan faedah kepada pelajar pendapatan rendah dan kelas pekerja," tulis Kahlenber yang merujuk beberapa sumber kajian, antaranya   tinjauan Los Angeles Times dan Newsweek yang mendapati bahawa rakyat Amerika menentang keutamaan kaum dalam kemasukan kolej dengan 2:1, tetapi memilih keutamaan pendapatan dengan margin yang sama. 

Di Malaysia, desakan demi desakan diajukan supaya tindakan afirmatif yang didakwa menguntungkan kaum bumiputera dihapuskan, tetapi tidak kurang yang mempertahankan dasar ini.  Yang jarang-jarang kedengaran atau tidak kedengaran langsung, desakan tindakan afirmatif diteruskan, berdasarkan keutamaan kelas dan bukannya keutamaan kaum.  Maksudnya, tindakan afirmatif yang memberikan keutamaan golongan miskin, golongan berpendapatan rendah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...