Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Geert Wilders yang sentiasa berselindung di sebalik kebebasan bersuara untuk menyerang Islam, pernah berkata bahawa tidak wujud Islam sederhana. Yang menarik dan mungkin berbahaya, dia tidak keseorangan, sebaliknya mempunyai pengikut, baik di Eropah mahupun di Amerika Syarikat, dalam membangkitkan sentimen anti-Islam. Seperti yang dibahaskan oleh Daisy Khan dalam The Guardian hari ini, Islamfobia ialah musuh sebenar Amerika.
Menyedari bahaya tindak-tanduk Wilders terhadap Islam, Christopher Dickey yang menulis dalam The Daily Beast mencadangkan seseorang memberitahu Wilders supaya menghentikan sikap anti-Islam yang berakar umbi dalam dirinya itu sebelum orang lain menerima akibatnya. Carolina Selatan, jelas Dickey, kelihatan menjadi khalayak untuk amaran dahsyat Wilders terhadap agama Islam.
Wilders, bahas Dickey, pintar memodalkan ketakutan sebenar dan menjelmakan ketakutan palsau, tetapi mengelakkan daripada bertanggungjawab jika nyawa orang terancam atau hilang, dengan berkata, "Saya bertanggungjawab terhadap tindakan saya sendiri dan bukannya tindakan orang lain. Dia pernah mengadu bahawa Pentadbiran Obama "daif" kerana tidak berusaha sepenuhnya untuk memerangi apa yang dia anggap sebagai ancaman Islam. Memperluaskan dakwaannya supaya Qur'an diharamkan, sebagaimana Mein Kampf di sesetengah negara. Wilders mencadangkan Amerika Syarikat sepatutnya "menghapusklan simbol Islam, iaitu tidak ada lagi masjid dan menutup sekolah agama Islam."
Tidak wujud Islam sederhana, dakwa Wilders, dan dia berasa letih mendengar bahawa Islam radikal adalah sesuatu yang berbeza daripada kepercayaan arus perdana. Bagi dirinya, tidak wujud dalam kalangan penganut agama Islam wujud banyak taifah dan aliran yang berbeza.
Ghairah untuk menyebarkan Islamofobia di seluruh dunia, Wilders mendakwa orang yang berpegang pada Qur'an adalah menganut ideologi fasis totalitarian, tetapi dia menjelaskan bahawa "Saya tidak ada apa-apa untuk menentang orang Islam, tetapi saya mempunyai sesuatu menentang Islam."
Tidak cukup dengan orang seperti Geert Wilders yang mengapi-apikan sentimen anti-Islam dan begitu bersemangat untuk melihat persengketaan agama, sahabatnya Ayaan Hirsi Ali, kelahiran Somalia dan pernah menjadi anggota Parlimen Belanda berbicara dengan nada yang sama, dan lebih bahaya. Menulis dalam keluaran terbaharu Newsweek, tentang perang global terhadap Kristian di dunia Islam, Ayaan mendakwa dari setiap penjuru dunia Islam, orang Kristian dibunuh kerana percayaan mereka. Kebangkitan genosid yang sepatutnya membimbangkan dunia.
Di sebalik gambaran bahawa orang Islam ditindas di Barat, sebenarnya, bahas Ayaan, penindasan kejam terhadap minoriti Kristian menjadi norma di negara majoriti Islam, dari Afrika Barat ke Timur Tengah ke Asia Selatan ke Oceania. "Di sesetengah negara," tulis Ayaan, "kerajaan dan agennya yang membakar gereja dan mempenjarakan ahli kariah."
Ayaan yang mengemukakan senarai negara yang berlakunya Kristianfobia: Nigeria, Sudan, Mesir, Iraq, Pakistan, Indonesia, dan bahkan di negara minoriti Islam, iaitu Etiopia. Walau bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa perang global terhadap Kristian bukannya perang tradisional sama sekali, sebaliknya penyataan spontan rasa benci anti-Kristian oleh orang Islam yang mengatasi budaya, agama, dan keetnikan.
Di Eropah, individu, seperti Geert Wilders dikaitkan dengan kebangkitan puak kanan jauh yang semakin menguasai politik beberapa buah negara dari bahagian selatan ke Scandinavia. Ancaman keganasan puak ini semakin dirasai dan baru-baru ini dinyatakan dalam laporan tentang asal usul keradikalan keganasan.
Pertembungan peradaban yang pernah dibahaskan oleh Samuel Huntington, sudah cukup untuk membangkitkan kebimbangan tentang perbalahan agama, kini muncul individu, seperti Geert Wilders dan Ayaan Hishi Ali memukul gendang perang yang berpunca daripada agama dengan membayangkan Islam dengan pelbagai keburukan dan punca segala ancaman.
No comments:
Post a Comment