Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Musim bunga Arab. Musim panas Israel. Musim sejuk China. Sejak tercetusnya Pemberontakan Arab mulai awal tahun ini, perkataan “musim” seakan-akan menjadi kesayangan kebanyakan pengulas dan cerdik pandai. Selain itu, Dataran Tahrir kelihatan muncul di mana-mana: Wisconsin, kota-kota Inggeris, dan yang terbaharu di Wall Street yang dari sini, seperti yang berlaku pada pertengahan Oktober lalu, dengan cepat merebak ke seluruh dunia. Bagi dunia Arab sendiri, pemberontakan popular ini merebak dengan pantas dari Tunisia ke Mesir ke seterusnya ke Libya, Yaman dan Syria.
Sebagaimana di Dataran Tahrir, di Syria juga menyaksikan revolusi budaya apabila pemberontakan yang aman, golongan remaja mendapati seni, komedi, dan muzik mereka menjadi senjata untuk membangkitkan ketakutan Presiden Bashar al-Assad. Golongan remaja ini mempunyai penentangan yang diluahkan terhadap rejim menerusi badan karya seni yang meluas dan memperluas lawan budaya (counter-culture). “Dalam poster, slogan, lagu, animasi, dan komedi,” tulis Salwa Ismail dalam guardian.co.uk, pada Jun yang lalu, “mereka cuba untuk menyediakan alternatif terhadap monopoli media rejim dan pendudukan agresif rejik dalam ruang awam.”
Terpengaruh dengan perkembangan di Tunisia dan Mesir, penunjuk perasaan di Belarus mewujudkan gerakan yang dinamai “Revolusi Melalui Rangkaian Sosial” sebagai tentangan terhadap Presiden Alexander Lukashenko, yang memberikan amaran kepada rakyatnya supaya jangan terikut-ikut dengan impian “revolusi warna,” seperti yang melanda di negara lain bekas Republik Soviet, seperti Ukraine dan Georgia. Di negara itu, bertepuk tangan dianggap sebagai subversif apabila Lukashenko mengisytiharkan bahawa perbuatan tersebut dilarang di tempat awam, kecuali tepukan itu ditujukan kepada veteran perang.
Sejak tercetusnya Pemberontakan Arab yang setakat ini menumbangkan tiga rejim, peranan media, seperti al-Jazeera, WikiLeaks, dan media sosial, seperti Facebook dan Twitter, banyak dibahaskan. Pastinya, perbahasan itu kadangkala nampaknya berlebih-lebihan hingga mengaburi faktor keberanian dan kecekalan rakyat Arab sendiri untuk menentang rejim yang korup, ketidaksamaan ekonomi, dan kepincangan sosial. Dikatakan bahawa perubahan melanda seluruh Timur Tengah dicetuskan oleh generasi Facebook. Di Syria, meskipun revolusi belum berjaya, peranan Facebook turut diketengahkan: Halaman Facebook Revolusi Syria 2011. Namun, tersebar luasnya dalam pemberontakan alat rangkaian sosial, seperti Facebook, YouTube, dan Twitter, seperti yang pernah diperingatkan “ialah simpton, bukannya sebab atau punca, struktur organisasi ini. Ini merupakan ragam penyataan keupayaan penduduk yang pintar menggunakan instrumen ini dalam tangan untuk mengatur sesuatu secara autonomi.”
Melihat peranan media sosial dalam pemberontakan di Mesir yang akhirnya menghasilkan kejayaan, seorang bapa yang tidak dapat menyembunyikan keterujaannya menamakan bayi perempuannya, Facebook. Kesedaran peranan halaman Facebook dalam mencetuskan revolusi mungkin terus mekar dalam budaya semasa Mesir sepanjang masa, mungkin nama itu akan menjadi inspirasi yang berkekalan dan membangkitkan tindakan.
Melihat peranan media sosial dalam pemberontakan di Mesir yang akhirnya menghasilkan kejayaan, seorang bapa yang tidak dapat menyembunyikan keterujaannya menamakan bayi perempuannya, Facebook. Kesedaran peranan halaman Facebook dalam mencetuskan revolusi mungkin terus mekar dalam budaya semasa Mesir sepanjang masa, mungkin nama itu akan menjadi inspirasi yang berkekalan dan membangkitkan tindakan.
“Jika anda mahu melahirkan masyarakat bebas, maka dicadangkan, hanya berikan Internet. Alasannya ialah bahawa Internet menolong anda menentang perang media.” Demikian ulasan atau komen berhubung dengan kekuatan atau kelebihan Internet, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Internet, Facebook, dan Twitter mencipta komunikasi massa dan ruang sosial yang rejim tidak dapat kawal. Kemajuan ini membolehkan orang muda membandingkan nota dengan golongan sebaya mereka di negara lain, dan melihat dengan jelas bagaimana kerajaan mereka membazirkan kekayaan dan masa untuk terus mencengkam kuasa mereka, tetapi mengabaikan keperluan rakyat mereka. Keadaan ini membuka mata golongan orang muda itu.
“Facebook, Twitter, dan media sosial lain,” tulis Christopher Walker dan Robert W. Orttung dalam The New York Times, merevolusikan landskap akhbar dunia, membantu menyingkirkan diktator di Tunisia dan Mesir, dan membangkitkan protes di Bahrain dan Syria.” Namun, Walker dan Orttung mengingatkan cengkaman kuat institusi media lama yang dikawal oleh kerajaan, seperti yang berlaku di Mesir, Libya, dan Syria. “Meskipun media sosial merupakan alat yang penting untuk mencipta keterbukaan politik, kumpulan penentang memerlukan saluran nasional jika pembaharuan institusi yang kukuh berlaku dalam masyarakat yang perlu menahan manipulasi dan penindasan yang luar biasa.”
Dalam syarahannya di saluran televisyen BBC pada pertengahan Jun lalu, Penerima Hadiah Nobel Keamanan dan pejuang hak asasi manusia, Aung San Suu Kyi, menegaskan peranan penting yang dimainkan oleh teknologi komunikasi dalam pemberontakan demokratik moden. Beliau membandingkan 23 tahun perjuangan untuk memenangi demokrasi di negaranya, Myanmar dengan revolusi yang bergerak dengan pantas di Tunisia dan Mesir, dan berkata bahawa kesediaadaan yang meluas teknologi berasaskan Internet di dunia Arab merupakan faktor penting dalam kejayaan gerakan di kedua-dua buah negara itu.
Merujuk Pemberontakan Arab, Steve Coll dalam ulasan buku dalam The New York Review of Books, mempersoalkan, sama ada Internet untuk kebaikan atau keburukan. Beliau mengakui bahawa memang tidak dapat disangkal bahawa media sosial memainkan peranan dalam revolusi di Tunisia dan Mesir. “Facebook dan rangkaian digital lain mampu mempercepat komunikasi politik dan menyediakan alat yang cekap untuk menganjurkan protes. Dalam kombinasi dengan penyiar satelit, seperti al-Jazeera, rangkaian dalam talian dapat mendokumenkan penyalahgunaan kerajaan dengan cepat dan menyebarkan kesedaran mereka.” Namun, Coll membangkitkan bahawa sama ada Internet, jika dibandingkan dengan teknologi komunikasi sebelum ini yang juga memperhebat hubungan dalam kalangan orang ramai yang berselerak, iaitu telegraf, radio, televisyen, telefon, mesin faks, telefon sel, mempunyai sifat unik yang memberikan kelebihan kepada para penggunanya berbanding dengan pihak berkuasa berpusat. “Persoalan berkaitan,” tulis beliau, “melibatkan apakah teknologi komunikasi sebenarnya memajukan kebebasan bersuara dan perhimpun, atau menolong penduduk yang tidak berpuas hati memberontak.”
Dalam “The Mash of Civilizations” Niall Ferguson menegaskan bahawa rangkaian sosial mungkin menggalakkan demokrasi, tetapi juga memperkasa musuh kebebasan. Selain mengakui kebenaran yang diakui secara universal bahawa teknologi maklumat, terutamanya rangkaian sosial melalui Internet mengubah keseimbangan kuasa global, Ferguson juga mengakui “Generasi Facebook” disanjung kerana menumbangkan diktator Mesir, Hosni Mubarak. “Untuk tempoh yang singkat, kesayangan Dataran Tahrir ialah eksekutif Google, Wael Ghonim.” Namun, beliau mengingatkan bahagian lain untuk cerita itu bahawa bukan hanya penyokong demokrasi yang tahu bagaimana mengeksploit kuasa rangkaian dalam talian, tetapi juga musuh kebebasan juga boleh berbuat demikian. Melalui kolumnya dalam Newsweek itu, Ferguson mengingatkan bahawa pertembungan peradaban adalah mudah untuk Barat untuk menang jika Barat hanya melekukkan idea dan institusi abad ke-21 menentang idea dan institusi abad ketujuh. Tiada tuah begitu. Dalam lumat peradaban baru, musuh kita yang paling bahaya, beliau mengisytiharkan, “golongan Islamis yang faham bagaimana memasukkan fatwa pada Facebook, menghantar e-mel Qur’an, dan menciak seruan terhadap jihad.”
Selain melihat media sosial sebagai ancaman terhadap demokrasi, Niall Ferguson, juga dalam Newsweek, pada September lalu menulis sesuatu yang mungkin tidak sedap didengar, oleh generasi muda terutamanya, “Texting Makes U Stupid.” Beliau mengingatkan bahawa Amerika Syarikat melahirkan kurang pendidikan peradaban yang tidak memungkinkan negara itu bersaing dengan musuhnya di peringkat global. Dalam makalah itu, Niall Ferguson, sejarawan di Havard University, memetik kajian yang dilakukan oleh Nielsen pada tahun lalu bahawa rakyat Amerika berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun menghantar dan menerima secara purata 3,339 teks sebulan. Gadis remaja menghantar dan menerima lebih 4,000 teks sebulan. Namun, sebelum melontarkan kritikan, beliau mengakui bahawa beliau sendiri mungkin menghantar kira-kira 50 e-mel dalam sehari, dan menerimanya kira-kira 200 e-mel. Akan tetapi, ada perbezaannya, “saya juga membaca buku” yang jelas memperlihatkan bahawa amalan berleluasa menghantar dan menerima mesej melalui media sosial mengorbankan pembacaan buku. “Akibatnya,” tegas beliau, “pertama, Amerika terkebelakang dalam masyarakat yang lebih celik huruf. Akan tetapi, pengajaran yang lebih penting adalah bahawa kanak-kanak yang tidak membaca adalah menyisihkan diri daripada peradaban leluhur mereka.”
Di luar dunia Arab dan media sosial, krisis hutang yang berlarutan melanda Eropah, bukan sahaja membangkitkan persoalan kegawatan ekonomi dan kelumpuhan politik, tetapi juga membabitkan persoalan budaya, seperti yang dicadangkan oleh Simon Jenkins dalam guardian.co.uk pada pertengahan September lalu. Bagi beliau, Kesatuan Eropah melampaui batas kemampuan kuasanya dan kini berhadapan dengan krisis kesahan. “Lemahnya Kesatuan Eropah dan berkecainya zon euro yang sepadan bukan hanya kemungkinan krisis politik dan ekonomi semasa yang cukup dalam, tetapi tidak dapat dielakkan Eropah berpatah balik kepada identiti nasional yang menggembirakan dan tidak ada apa-apa yang Kesatuan Eropah dapat lakukan untuk menghentikannya.”
Dan yang tidak kurang menarik tentang krisis Eropah, ialah di negara terletaknya ibu pejabat Kesatuan Eropah, iaitu Belgium, kini bergelut dengan krisis perlembagaan yang berpunca daripada pertengkaran bahasa. Dengan apa yang berlaku di Belgium yang sejak pilihan raya pada 13 Jun 2010 hanya ditadbirkan oleh kerajaan penjaga (caretaker government), majalah The Economist pada akhir Januari tahun ini membangkitkan, “mengapa pertikaian bahasa yang tanpa kesudahan menjadi perkara penting kepada Eropah?” Dalam pilihan raya yang tidak membawa apa-apa keputusan, yang meletakkan Belgium tanpa kerajaan yang sah adalah berpunca daripada persengketaan bahasa. Para pemimpin politik yang bertutur dalam bahasa Belanda dan bahasa Perancis bertelagah antara mereka tentang darjah kuasa dan hak kenaikan cukai sepatutnya dipindahkan ke wilayah di negara yang berpecah belah dari segi bahasa. Belgium hanya sebilangan kecil negara yang bahasa rasmi dwibahasa: bahasa Perancis dan bahasa Belanda yang diharapkan menyatupadukan seluruh negara, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Dengan krisis yang melanda Belgium itu, jelas bahawa fahaman pelbagai budaya semakin tidak mendapat tempat di Eropah. Dari Perancis ke Jerman dan ke Britain, para pemimpin negara berkenaan menolak kepelbagaian budaya. Kebangkitan puak kanan melampau di banyak negara di benua itu menyaksikan penolakan secara besar-besaran terhadap kaum imigran dan sekali gus terhadap kepelbagaian budaya. Bahkan, Anders Behring Breivik yang melakukan keganasan di Norway beberapa bulan lalu, yang secara terang-terang memperlihatkan dirinya menentang fahaman pelbagai budaya, terutamanya terhadap Islam, menurut pemerhatian pelbagai pihak, “bukannya serigala tanpa kawanan.”
Pada tahun ini, Greece yang bergelut dengan krisis hutang yang teruk lebih setahun lalu, terus-menerus bersengketa dengan Macedonia berhubung dengan tuntutan warisan: Alexander the Great. Persengketaan seperti ini memperlihatkan bahawa warisan merupakan unsur penting dalam kebangkitan nasionalisme, seperti yang berlaku terhadap kuil Preah Vihear yang saling dituntut oleh Thailand dan Kemboja sehingga mencetuskan pertikaian dan ketegangan antara kedua-dua buah negara. Tatkala Thailand mengadakan pilihan raya umum pada Julai tahun ini, pertikaian kuil itu menjadi senjata politik.
Pastinya tuntutan terhadap warisan akan berlaku di mana-mana jua dan tidak semestinya boleh mencetuskan perang budaya. Misalnya, selepas dua dekad berunding, Boston Museum of Fine Arts pada bulan September lalu mengembalikan bahagian patung Hercules kepada Turki. Bahagian atas patung legenda Greece itu dikatakan dicuri dari tapak arkeologi di Turki pada tahun 1980 dan diseludup ke Amerika Syarikat. Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, sendiri yang membawa balik patung yang berusia 1900 tahun itu.
Sesungguhnya, tahun 2011 menyaksikan kemunculan musim yang segar yang bermula dari dunia Arab kemudian merebak ke seluruh dunia. Bersama-sama kemunculan ini ialah peranan media sosial yang bukan sahaja membentuk tanggapan dan pendapat awam rakyat jelata, bahkan yang lebih penting menggembleng dan menggerakkan massa untuk memperlihatkan keberangan mereka terhadap golongan elit yang hidup selesa dari segi politik, ekonomi, dan budaya. Seperti lazim, dalam mana-mana kebangkitan rakyat, budaya juga memainkan peranannya. Perlu diingatkan bahawa media sosial hanya sekadar medium atau perantaraan, tetapi budaya merupakan kandungan dan nilai yang menjalinkan kesatuan dan membentuk identiti dalam kalangan rakyat jelata yang bangkit pada musim yang segar ini.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya Disember 2011.)
No comments:
Post a Comment