Artikel Popular

Tuesday, February 14, 2012

Greece: Potong dan Protes

SELASA, 14  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Seperti yang dilaporkan, anggota Parlimen Greece meluluskan langkah jimat-cermat baru yang terlalu keras yang diminta oleh pemiutang pelan penyelamat demi menyelamatkan negara yang dibebani hutang yang besr daripada muflis.  Sementara itu, perusuh di Athens  tengah membakar bangunan, menjarah kedai, dan bertempur dengan polis rusuhan.  

Undian yang bersejarah di Parlimen itu menyediakan laluan untuk negara-negara rakan Greece di Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan pinjaman pelan penyelamat yang baru, yang bernilai AS$170 bilion (130 bilion euro).  Tanpa pinjaman terbaharu itu, nescaya Greece jatuh muflis pada bulan depan dan berkemungkinan meninggalkan zon euro, satu senario yang berkemungkinan besar menggegarkan pasaran global.

Sebanyak 199 anggota Parlimen yang menyokong berbanding dengan 74 orang yang menentang pemotongan perbelanjaan, meskipun wujud tentangan kuat dalam kalangan anggota dua parti pakatan utama. Sejumlah 37 orang anggota Parlimen daripada Parti Sosialis majoriti dan parti konservatif, iaitu Demokrasi Baru, sama ada menentang pendirian parti, berkecuali, ataupun bersetuju. 

Pergaduhan hari Ahad lalu tercetus selepas lebih 100,000 orang pembantah berarak ke Parlimen untuk membantah pemotongan drastik, iaitu akan melibatkan pemecatan seorang dalam lima orang penjawat awam dan memotong upah minimum sebanyak lebih satu perlima. 

Sekurang-kurangnya 10 buah bangunan dibakar, termasuk panggung wayang, bank, dan kafeteria, manakala penjarah memecahkan berbelas-belas buah kedai dalam rusuhan yang membawa kerosakan terburuk dalam beberapa tahun. Berbelas-belas orang  polis dilaporkan cedera dan sekurang-kurangnya 55 orang pembantah dimasukkan ke hospital.  Sebanyak 45 orang perusuh yang disyaki ditangkap dan 40 orang lain ditahan. 

Perdana Menteri Lucas Papademos yang bertegas melaksanakan langkah jimat-cermat yang baru itu dipetik sebagai berkata, "Vandalisme dan pemusnahan tidak mempunyai tempat dalam demokrasi dan tidak akan ditolakansurkan."

Sejak Mei 2010, Greece dapat bertahan dengan pelan penyelamat bernilai AS$145 bilion (110 bilion euro) daripada negara-negara rakan di Eropah dan IMF.  Pada mulanya, jumlah itu dikatakan cukup untuk menyelamatkan Greece, tetapi akhirnya terbukti sebaliknya,  lalu Greece memerlukan pelan penyelamat yang baru.  Sebagaimana pelan penyelamat pertama, pelan yang kedua ini dijangkakan tidak dapat menyelamatkan Greece yang terus terjebak dalam kemelesetan, dengan kemerosotan digit berganda dalam output.

Greece seakan-akan diberikan kata dua, iaitu potong atau mungkir, dan dengan kemungkiran, negara itu muflis. Greece  akan  menerima lebih banyak kesakitan apabila kadar pengangguran pada kadar 21 peratus, ekonomi terus terjebak tahun kelima kemelesetan, dan perusuh  membakar dan menjarah di jalan-jalan di Athens.

Nasib Greece dan mungkin kawasan euro, tegas Andrew Watt, menurut para penggubal dasar Greece dan Kesatuan Eropah di persimpangan.  Dan meskipun berlaku rusuhan di jalan-jalan raya dan perletakan jawatan daripada kerajaan, Parlimen Greece secara besar-besaran menyokong. "Jika tidak ada perubahan lain," tulis Watt, "Greece sudah laknat jika menerima dan laknat jika tidak menerimanya" -  memperlihatkan negara itu tidak dapat diselamatkan lagi.

Pelan jimat-cermat baru yang dituntut oleh Kesatuan Eropah dan IMF diluluskan oleh Parlimen Greece pada 12 Februari lalu, meskipun berlaku demonstrasi dan keganasan.  Akan tetapi, seperti yang dibahaskan oleh sebuah editorial, "pelan itu tidak menyelesaikan apa-apa dan meletakkan orang Greece tanpa jawapan tentang masa depan mereka."  Pelan jimat-cermat baru yang dikenakan oleh pemiutang, tidak kira baik buruk kesudahannya, soal editorial itu, "mampukah membawa keluar Greece daripada krisis? Atau laluan pantas ke arah kemuflisan yang tidak dapat dikawal?"  


Dalam duka lara Greece itu, menurut  The Economist, "hanya penangguhan, kesakitan yang amat sangat belum berakhir." Bahkan, bagi orang Greece, negara mereka  telah jatuh muflis, iaitu pekerja sektor awam tidak dibayar gaji sejak berbulan-bulan, hospital tidak mendapat bekalan, golongan miskin kehabisan wang untuk membayar hutang bank.

Greece sekali seperti "yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran" apabila dilaporkan bahawa harapan negara itu memperoleh pelan penyelamat yang baru dengan kadar segera berkecai.  Para Menteri Kewangan zon euro dijangkakan bertemu di Brussels pada Rabu dan membuat persediaan untuk mengesahkan program pelan pelan penyelamat untuk Greece. Akan tetapi, dalam olak buri drama di Athens, jelas bahawa zon euro belum bersedia untuk mengalu-alukan pelan penyelamat kedua Greece dalam masa dua tahun.

Dalam konteks yang lebih luas, seperti yang diungkapkan oleh David Blanchflower dalam The Guardian semalam, "Greece dan kepulangan semula 'pilin kematian' ekonomi"  mengingatkan bahawa jika Greece tumbang, nescaya banyak lagi negara yang menerima nasib yang sama. Sebagaimana banyak cerdik pandai lain, Blanchflower meletakkan harapan kepada Canselor Jerman, Angela Merkel untuk menghulurkan bantuan; kalau tidak, semuanya berakhir dan kemungkinan berlaku dengan begitu pantas.  

Namun, seperti yang diketahui, dan  dibangkitkan oleh Timothy Garton Ash baru-baru ini,   Angela Merkel keberatan untuk memandu zon euro keluar daripada krisis.  Sementara George Soros yang bertelagah dengan Angela Merkel semasa di Davos, terus menggasak beliau, mendakwa Angela Merkel  menerajui Eropah ke arah yang silap.

Tatkala drama Greece kian hampir ke penghujungnya, kesudahan ceritanya dapat dijangkakan.
  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...