Artikel Popular

Wednesday, February 1, 2012

Israel dalam Politik Malaysia: Lebih Amerika daripada Amerika

RABU,  1  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah mencetuskan keberangan dan kemarahan, termasuk duta Palestin di Kuala Lumpur, tidak kurang juga yang  kepanasan, akhirnya Anwar Ibrahim menjelaskan pendirian beliau tentang Israel dan Palestin. Dalam penjelasannya melalui The Wall Street Journal, Anwar berkata:  “Some refuse to recognize the state of Israel, but I think our policy should be clear – protect the security (of Israel) but you must be as firm in protecting the legitimate interests of the Palestinians.”  


Penjelasan itu jika diungkapkan dalam kata orang Rom purba: "Bukan kami tidak menyayangi Caesar, tetapi kami lebih menyayangi Rom."


Penjelasan Anwar itu memang penting, meskipun agak terlewat, tetapi yang lebih menarik    ialah tajuk dan tulisan  Shibani Mahtani itu, yang cuba berhujah bahawa "Israel sekali lagi menguasai debat di Malaysia."  Beliau seolah-olahnya membayangkan bahawa dalam suasana Pilihan Raya Umum semakin dirasai,  "Israel  berdiri di tengah-tengah pentas."


Bagi sesiapa yang mengikuti secara teliti dan kritis  temu bual Anwar juga dalam The Wall Street Journal  pada 26 Januari, pastinya  berasa musykil mengapa tiba-tiba "persoalan Israel" diajukan kepada Anwar.  


Tulisan itu juga oleh Shibani Mahtani bermula dengan kes liwat Anwar yang dikemukakan rayuan  oleh Peguam Negara, beralih kepada Pilihan Raya Umum, penjualan saham yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan, dasar penswastaan yang dilaksanakan yang dikritik oleh Anwar (bekas Timbalan Perdana Menteri ini tidak menentang dasar tersebut), seterusnya ke zaman  Anwar dalam UMNO. 


Kemudian tulisan itu beralih kepada  penjelasan Anwar berhubung dengan pandangannya tentang hak homoseksual dan undang-undang liwat di Malaysia, dan hubungan negara majoriti Islam ini dengan Israel:  


"I support all efforts to protect the security of the state of Israel," said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians. Malaysia has consistently refrained from establishing diplomatic relations with Israel, although limited commercial ties exist between private companies in the two countries.


Mungkin banyak pembaca yang bertanya: Apakah signifikannya "keselamatan Israel?"  Seperti yang diketahui, tidak ada negara di dunia Arab yang mengancam Israel,  apatah lagi untuk menyerang negara itu.  Hanya Israel sengaja menggembar-gemburkan bahawa negara  itu seperti "Prussia di Timur Tengah," dan sering membesar-besarkan ancaman Iran yang didakwa melalui program nuklearnya menyasarkan Israel sehingga mencetuskan ketegangan di rantau itu


Ancaman Iran dibesar-besarkan lagi bahawa kemungkinan negara itu menyerang Amerika Syarikat dengan menggunakan logik  rancangan Iran untuk membunuh duta Arab Saudi.  Sedangkan, hakikat yang jelas, menurut pelbagai pemerhatian, kemungkinan besar Israel, baik secara sendirian mahupun bersama-sama Amerika Syarikat dan Britain akan menyerang Iran dan bukan sebaliknya.


Ketegangan Israel dengan Turki sejak lebih setahun lalu, sekadar pertikaian diplomatik antara kedua-dua negara yang mustahil mencetuskan peperangan.  Bahkan, Pemberontakan Arab yang berlaku sejak awal tahun lalu tidak dianggap sebagai ancaman terhadap Israel, walaupun Tel  Aviv kehilangan sekutu rapatnya, seperti Hosni Mubarak di Mesir.  Sebaliknya, seperti yang didakwa oleh banyak pihak, Israel  enggan memahami perubahan yang berlaku di negara-negara jirannya yang di luar dugaan sama sekali. 


Mengajukan persoalan "keselamatan Israel" kepada Anwar, sesungguhnya bukan sahaja  tidak kena pada tempatnya, bahkan tidak relevan sama sekali.  Anwar dalam konteks ini "memberikan jawapan yang salah kepada soalan yang salah."  Dan, sesiapa yang menghentam dan mempertahankan beliau,  boleh dianggap melakukan kesalahan yang sama! 


Cara Anwar mengungkapkannya juga amat memeranjatkan sesiapa sahaja yang berfikir secara rasional kerana terlalu berlebih-lebihan:  "Saya menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel."


Selain itu, dengan persoalan "keselamatan Israel" seakan-akan  mengheret sesuatu yang kini menjadi persoalan di Amerika Syarikat: Antara Demokrat dengan Republikan, siapakah yang lebih menyayangi Israel?  Berikutan timbulnya polemik sedemikian, Jeremy Ben-Ami yang menulis dalam The Washington Post "apakah pro-Israel sepatutnya dimaksudkan. 


Melihat Israel diheret ke kancah  politik Malaysia, seolah-olah membayangkan bahawa Anwar  sedang bertanding dalam pemilihan awal calon Presiden untuk Parti Republikan yang baru sahaja selesai setakat Florida. Memang, sepanjang kempen berlangsung, wujud persoalan, siapakah antara calon itu yang paling pro-Israel?  Antara calon itu, Newt Gingrich yang pernah mendakwa "umat Palestin ialah umat yang direka," mengikut analisis The Guardian, adalah di belakang Israel, tetapi "beliau gagal meyakinkan pengundi Yahudi di Florida."  Bagi mereka, ekonomi lebih membimbangkan berbanding dengan keadaan di Timur Tengah


Bagi sesiapa yang mengikuti kempen pemilihan awal Republikan yang juga pernah disentuh oleh Fareed Zakaria dalam  Time keluaran 30 Januari, "dalam pertarungan yang sengit itu, dasar luar Amerika merupakan salah satu topik yang tidak banyak dibahaskan."  Sesuatu yang luar biasa, tulis Fareed,  kerana dalam dekad selepas Vietnam, Republikan tidak pernah terlepas peluang untuk berbincang tentang bahaya global.  "Walau bagaimanapun, kini, anda dapat mendengar untuk berjam-jam untuk  Republikan dan mendengar sekali-sekala, serangan sempit terhadap Barack Obama dalam menangani dasar luar Amerika." 


Justeru, mana-mana ahli politik Malaysia, baik Anwar Ibrahim mahupun Najib Razak yang ingin memperlihatkan diri mereka berpandangan dunia, lalu  tidak segan silu "menjenguk" Israel, sesungguhnya mereka  diibaratkan lebih Amerika daripada Amerika.  Bahkan, seperti di Florida, orang Yahudi sendiri  kurang mementingkan keadaan  di Timur Tengah.  Justeru, dengan kata lain, ahli politik Malaysia  "syok sendiri, " atau "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong."


Dalam bahasa yang lebih sopan, ahli politik Malaysia memberikan  salah keutamaan.



1 comment:

  1. oleh itu. fikir dulu sebelum berkata kata. kadangkala berdiam diri atau melepaskan penumbuk sulung adalah lebih baik dari tersalah cakap.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...