Artikel Popular

Friday, April 1, 2011

Kontroversi Seks Mengenai Gandhi

SABTU, 2  April 2011
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH

Buku  Great Soul: Mahatma Gandhi and His Struggle With India yang ditulis   Joseph Lelyveld bukan sahaja diulas secara meluas, bahkan juga mencetuskan kontroversi. Joseph Lelyveld, Pemenang Pulitzer Prize yang pernah berkhidmat hampir empat dekad dengan The New York Times sebagai koresponden asing di India dan Afrika  Selatan, membina naratif  baru, dengan memberikan tumpuan terhadap kematangan Gandhi dan mencabar banyak laporan popular tentang perkembangan pemimpin kerohanian dan intelektual India ini. 
Akhbar tersebut  menerbitkan dua tulisan yang membicarakan buku Lelyveld itu.  Geoffrey C. Ward dalam “How Gandhi Became Gandhi” membahaskan bahawa Great Soul  memberikan tumpuan terhadap apa yang Lelyveld sebut, “perasaan yang berkembang tentang para pengikut dan wawasan sosial Gandhi,” dan perjuangan beliau yang  berikutnya untuk melaksanakan wawasan itu terhadap India yang pernah bersifat “memuja dan keras kepala.” 
Mengakui bahawa Lelyveld  layak menulis kerjaya Gandhi di sebelah menyebelah Lautan Hindi, Ward menegaskan buku ini bukannya biografi skala penuh, dan tidak juga untuk orang yang baru mula belajar. “Lelyveld mengandaikan para pembacanya  sudah biasa dengan rangka asas  tentang kehidupan Gandhi, tulis Ward.  Sepanjang ulasan itu Ward tidak membangkitkan sesuatu yang kontroversi tentang Gandhi, iaitu kisah seks beliau semasa di Afrika Selatan. Secara keseluruhan, ulasan itu menggambarkan keagungan Gandhi sebagai pemimpin kerohanian dan pemimpin politik.
Dalam akhbar  itu juga muncul tulisan Hari Kunzru yang turut mengulas buku Great Soul itu,  Appreciating Gandhi Through His Human Side,” antaranya mengupas perjuangan untuk kemerdekaan India. Buku ini, bahas beliau, kelihatan hampir ganjil, memberikan perhatian terhadap evolusi sosial dan falsafah moral bahawa 60 tahun selepas berakhir British Raj, hilang perhatian negara. Lelyveld, tegas Kunzru, mengacah-acah kuasa yang mengubah peguam muda Hindu yang terlindung daripada kasta saudagar konservatif kepada Mahatma, yang dianggap sebahagian sebagai ahli politik, sebahagian keramat hidup yang memperbaharui semula tradisi purba kezahidan Hindu.
Namun, tidak seperti Geoffrey C. Ward,  Hari Kunzru, tidak terlepas pandang kisah seks Gandhi yang didedahkan oleh Joseph Lelyveld. Meskipun permusuhan politiknya  dan kelemahan Gandhi sebagai suami dan ayah dibahaskan secara terbuka, tulis Kunzru, perbincangan secara terus terang Lelyveld tentang persahabatan yang didakwa secara erotik antara Gandhi dengan arkitek Jerman-Yahudi dan pembina badan,  Hermann Kallenbach adalah kemungkinan membangkitkan kemarahan, terutamanya di negara yang aktiviti homoseksual dianggap  kesalahan jenayah hingga tahun 2009.  Di sini Kunzru memetik buku berkenaan bahawa Gandhi meninggalkan isterinya  untuk tinggal di rumah Kallenbach di Johannesburg untuk satu tempoh, dan Kallenbach menghadiahi Gandhi tanah seluas 1100 ekar yang menjadi Ladang Tolstoy  bersama  mereka pada tahun 1910.  Memetik catatan Lelyveld, “pada zaman apabila konsep percintaan Platonic memperoleh sedikit kebenaran,” nada romantik  surat-surat mereka (termasuk nama timang-timangan) kemungkinannya dibaca sebagai menandakan kemesraan  homoseksual secara berterus terang.  
Pendedahan  aktiviti   homoseksual  Gandhi yang lebih ketara  boleh dikatakan datangnya daripada ulasan Andrew Roberts dalam The Wall Street Journal.    Pada peringkat  awal  lagi beliau mendedahkannya:  Namun, Great Soul  juga suka menolong para pembaca yang lebih daripada cukup untuk menanggap bahawa beliau ialah orang yang pelik seksual, tidak cekap dari segi politik, dan orang yang suka meniru-niru fanatik.”
Dalam buku ini, seperti yang dipetik  oleh Roberts, Lelyveld  mendedahkan bahawa apabila Gandhi berusia 70 tahun dan hampir membawa India ke arah kemerdekaan, beliau menggalakkan cucu saudaranya, Manu  yang berusia 17 tahun berbogel ketika dia “berdakapan saban malam” dengan beliau.  Selepas memecat beberapa anggota yang lama berkhidmat dan setia daripada 100 orang pengiring peribadinya yang mungkin bersetuju dengan bahagian usaha kerohaniannya, Gandhi mula tidak berbogel dengan Manu dan wanita muda yang lain.  Beliau memberitahu seorang wanita pada suatu ketika, “Meskipun saya berusaha bersungguh-sungguh, alat kelamin ini masih tegak.  Ini sama sekali aneh dan pengalaman yang memalukan.”  
Kisah Gandhi tidur  berbogel dengan Manu dan gadis lain bukan pertama kali didedahkan dalam Great Soul  kerana sebelum ini, Jad Adams, seperti  yang  pernah  ditulis dalam  blog ini, “Kisah Seks Gandhi,” pernah mendedahkan “kegemaran seks”  Gandhi.   Walau bagaimanapun, Lelyveld, seperti yang dipetik oleh Roberts, juga mendedahkan bahawa Gandhi juga bersikap  kejam  terhadap Manu, yang beliau suatu ketika  memaksa gadis ini memasuki hutan belantara apabila serangan seksual  berlaku memaksa gadis ini mendapatkan semula batu pumis yang beliau suka gunakan pada kakinya. Apabila dia pulang dengan teresak-esak, Gandhi “terkekeh” dan berkata, “Jika samseng menangkap kamu dan kamu dengan cekal menemui ajal, hati saya akan menari keseronokan.”
Namun, Lelyveld, tegas Roberts, menjelaskan bahawa alat kelamin Gandhi berkemungkinan hanya jarang-jarang tegak dengan wanita muda yang berbogel kerana kekasih dalam hidupnya ialah Hermann Kallenbach yang kerananya Gandhi meninggalkan isterinya pada tahun 1908. Luahan dari lubuk hati yang romantik dilihat daripada suratnya kepada Kallenbach, “Potret anda (hanya satu potret terletak pada para perapian saya dalam bilik tidur saya.  Para perapian yang bertentangan dengan katil saya.”  Gandhi pernah menulis kepada Kallenbach tentang “bagaimana anda menawan jiwa raga saya.  Ini ialah perhambaan dengan membalas dendam.”  Gandhi memberikan nama timangan untuk dirinya “Dewan Pertuanan” dan Kallenbach “Dewan Rakyat, dan beliau membuatkan Dewan Rakyat berjanji tidak “melihat dengan penuh nafsu pada mana-mana  wanita.”  Kedua-duanya kemudiannya berjanji, “limpahan cinta, dan lagi limpahan cinta… cinta sedemikian seperti yang mereka harap dunia belum kelihatan lagi.”
Meskipun mereka berpisah apabila Gandhi pulang ke India pada tahun 1914, dan warganegara Jerman tidak dibenarkan melawat India semasa peperangan, Gandhi tidak pernah memadamkan impiannya untuk mendapatkan semula Kallenbach.  Dalam suratnya kepada temannya itu pada tahun 1933, Gandhi meluahkan perasaannya, “anda selalu di hatiku.”
Gandhi “meninggalkan isterinya untuk hidup bersama-sama teman lelaki,” tulis Daniel Bates dalam Daily Mail.   “Mahatma Gandhi ialah dwiseks,” tegas Bates yang juga memetik buku Lelyveld yang melampaui mitos untuk memaparkan gambaran yang sangat berbeza kehidupan peribadi Gandhi dan mengemukakan tuntutan yang menghairankan tentang keseksualan beliau.  Tulisan  Bates ini banyak persamaannya dengan ulasan Andrew Roberts yang dinyatakan di atas. Gandhi pernah memberitahu Kallenbach, “Saya tidak dapat bayangkan perkara sehodoh persetubuhan lelaki dan wanita.”  Bates menyimpulkan bahawa pendedahan tentang  Gandhi kemungkinan mengejutkan berjuta-juta pengikutnya di seluruh dunia yang mereka hormatinya hampir mempunyai status seperti tuhan.  Beliau juga memaklumkan bahawa tiada seorang pun dari Pesuruhjaya Tinggi India di Britain yang boleh dihubungi untuk mendapatkan pandangan.

Penerbitan buku yang kontroversi  mengenai kehidupan seks Gandhi menyebabkan  negeri di barat India, iaitu Gujarat  mengharamkan buku ini.  Kegemparan dicetuskan oleh laporan media tempatan, berasaskan ulasan awal di Amerika Syarikat dan United Kingdom, sesetengahnya dengan penekanan terhadap petikan dalam buku ini menunjukkan Gandhi mempunyai hubungan yang rapat dengan lelaki Jerman, bernama Hermann Kallenbach.  Buku tersebut belum lagi diedarkan di India, dan dengan itu, hanya beberapa orang yang sebenarnya  membaca hasil tulisan Lelyveld itu. Lelyveld dalam mempertahankan bukunya berkata  bahawa karya ini dipetik di luar konteks.  “Saya tidak kata Gandhi adalah rasis dan dwiseks dalam Great Soul.  Perkataan ‘dwiseks sama sekali tidak ada dalam buku ini.”

Ulasan Roberts dan tulisan Bates yang dinyatakan di atas mencetuskan kemarahan sehingga mendorong kerajaan Gujarat pimpinan  nasionalis Hindu, Ketua Menteri, Narendra Modi mengharamkan buku berkenaan.  Ahli-ahli politik di negeri Maharashtra, negeri pusat modal kewangan India,  iaitu Mumbai juga mendesak supaya buku itu diharamkan, mengambil langkah yang sama dengan Gujarat, mendesak kerajaan pusat mengharamkannya di seluruh negara. Mumbai Mirror  pada hari Selasa lalu muncul  dengan  cerita halaman hadapan dengan  tajuk besar: “Buku dakwa lelaki Jerman ialah kekasih rahsia Gandhi,” yang memetik bahagian yang sama, seperti yang dipetik oleh Roberts.

Sudhir Kakar, ahli psikoanalisis yang menulis keseksualan Gandhi dan menilai beberapa surat menyurat beliau  dengan Kallenbach, dilaporkan berkata bahawa dia tidak percaya dua lelaki ini kekasih. Namun, Ranjit Hoskote, penulis dan Setiausaha Agung Pen India, yang memperjuangkan kebebasan penyataan, mengutuk pengharaman itu dan berkata media tempatan menyalahtafsirkan kedua-duanya, iaitu niat Lelyveld dan sifat perhubungan Gandhi dengan Kallenbach.
Dengan penerbitan buku tersebut, sekali lagi kisah seks Gandhi didedahkan, meskipun kesahihan dipersoalkan oleh sesetengah pihak.  Dan, dengan pengharaman buku tersebut di Gujarat dan kemungkinan di tempat lain di India,  menyaksikan kebebasan kreativiti dan kebebasan bersuara mempunyai batas yang tertentu.  
Sementara pendirian Ranjit Hoskote  yang mempertahankan buku  tersebut boleh ditafsirkan sebagai  pengorbanan yang perlu ditanggung jika seseorang itu ingin memperjuangkan kebebasan bersuara.  Maksudnya, kebebasan bersuara adalah segala-galanya, tidak ada pengharaman dan tidak ada "upacara pembakaran."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...