Artikel Popular

Monday, February 28, 2011

Berakhirnya Fahaman Pelbagai Budaya

ISNIN, 28 Februari 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH

Pada tahun  2006, David Brooks menulis dalam  The New York Times, mengisytiharkan kematian fahaman pelbagai budaya di Amerika Syarikat. Sebagai penulis yang terkenal dan  menulis pula dalam akhbar yang berwibawa,  pastinya beliau bukannya membuat perisytiharan sesuka hati tanpa melakukan kerja rumah.  Dalam makalah, “The Death of Multiculturalism,” Brooks bermula dengan memetik  Richard Bernstein   bahawa pada tahun 1994, faham pelbagai budaya mencapai  tera airnya yang tinggi. Seterusnya, beliau memetik Michael Tomasky bahawa  dua tahun kemudian, gerakan progresif dimusnahkan oleh politik identiti pelbagai budaya.
Fahaman   pelbagai budaya merosot  atas beberapa alasan, tulis Brooks.  Pertama, kumpulan identiti, seperti organisasi penyokong gerakan kewanitaan  dan kumpulan hak asasi menjadi beku.  Kedua, Demokrat  terpaksa  memahami  bahawa  mereka perlu memberikan kurang perhatian terhadap kumpulan minoriti,  sebaliknya memberikan lebih perhatian kepada kelas pekerja kulit putih.  Ketiga,  tenaga intelektual  sayap kiri kini bersama-sama  ahli ekonomi, iaitu orang yang menulis tentang ketidaksamaan lebih bersemangat  daripada orang yang menulis tentang diskriminasi. Keempat dan paling penting, berlakunya Peristiwa 11 September.  Serangan itu membangkitkan perasaan perpaduan nasional, atau terlalu ingin terhadap perpaduan nasional yang meragui fahaman kabilah golongan faham pelbagai budaya.
Brooks merumuskan bahawa kemerosotan fahaman pelbagai budaya dan kelahiran semula nasionalisme Amerika liberal merupakan peristiwa yang cukup penting lagi bermakna.  Demokrat membersihkan  sisa-sisa terakhir Kiri  Baru dan kembali semula liberalisme sivik lama tahun 1950-an dan awal 1960-an.
 Di negara itu,  generasi ketiga kaum  imigran atau pendatang mula membangkitkan reaksi yang menggalakkan untuk  kembali  kepada asal usul mereka.  Rakyat  Amerika  menemui pada tahun 1960-an   seluruh  perbendaharaan kata baru faham pelbagai budaya dicipta  apabila generasi  muda  tidak  mahu mereka hanya dikenali sebagai Amerika,  tetapi Amerika kulit hitam, Amerika Greek, Amerika Italy, dan sebagainya.
Walau  bagaimanapun, selepas perisytiharan David Brooks itu, orang masih berbicara tentang fahaman  pelbagai budaya, termasuk di  Malaysia,  seolah-olahnya  tidak ada tanda-tanda bahawa  faham ini telah berkubur atau  menunggu masa untuk mati.  Seakan-akan tiada alternatif,   masyarakat  Barat di Amerika atau  Eropah, Kanada atau  Australia adalah pelbagai dari segi budaya sebagaimana telah lama wujud dalam masyarakat Amerika Selatan, Afrika, Asia, dan bahkan Eropah Timur. Pernah dibahaskan bahawa   masyarakat pelbagai budaya merupakan satu hakikat, iaitu kepercayaan  asas yang mesti ditonjolkan sebelum melibatkan perdebatan tentang fahaman  pelbagai budaya, integrasi, dan kewarganegaraan.
Fahaman  pelbagai budaya, seperti yang dijelaskan dalam Stanford  Encyclopedia of  Philosophy, ialah body of  thought dalam falsafah politik tentang cara yang betul untuk bertindak balas terhadap kepelbagaian budaya dan agama.  Dalam keadaan tertentu, fahaman  pelbagai budaya merupakan sekutu rapat nasionalisme.  Fahaman ini juga berkait rapat dengan “politik identiti,” “politik  perbezaan,” dan “politik pengiktirafan,” yang kesemuanya  berkongsi komitmen untuk menilai semula identiti sikap tidak dihormati dan mengubah pola dominan perlambangan atau perwakilan dan komunikasi yang meminggirkan kumpulan tertentu.  Fahaman  pelbagai budaya penting dari segi kepentingan  ekonomi dan kuasa  politik; fahaman ini menuntut pembetulan atau pemulihan terhadap kekurangan atau kelemahan ekonomi dan politik yang sebilangan orang terpaksa tanggung akibat  status minoriti mereka.
Walaupun  wujud  pelbagai kumpulan minoriti, misalnya gay, lesbian, dan penyokong gerakan kewanitaan, tetapi yang sering menjadi tumpuan perdebatan atau polemik  fahaman  pelbagai budaya ialah kaum imigran  di sesebuah negara.  Dalam hubungan ini,  Malise Ruthven berjaya memerhatikan  kewujudan “benua imigran” di Eropah  Barat  dan  masalah yang mendasari  imigran Islam, antaranya dari segi budaya.  Dalam  ulasannya tentang  dua buah buku, satu ditulis oleh Christopher Caldwell dan satu lagi oleh Tariq Ramadan,  Ruthven  menegaskan bahawa  berbanding dengan pelarian Yahudi dan Huguneot, jumlah yang  meningkat  daripada penghijrah Muslim membahayakan budaya peribumi Eropah,  terutama kerana budaya berkenaan menjadi mudah rosak dalam keadaan tidak tentu.
 Ruthven yang menulis  The Big Muslim Problem!”   dalam The New York  Review of Books, kira-kira  setahun lalu,  berhujah bahawa  ketepatan  politik, antirasisme, dan faham pelbagai budaya, lahir daripada rasa bersalah tentang kolonialisme dan rasa malu terhadap Holocaust, menghakiskan budaya kebangsaan,  tetai   gagal untuk melahirkan wawasan koheren  identiti  Eropah bersama. Model rasa kekitaan Kesatuan Eropah ialah “Anda ialah satu orang untuk budaya anda dan satu lagi  untuk undang-undang.  Anda boleh secara rasmi (dari segi undang-undang) menjadi orang Eropah, bahkan jika anda bukan orang Eropah ‘sebenar’ (budaya).”  Memang wujud masalah bagi sesetengah komuniti Eropah atau bahawa fahaman  pelbagai budaya mencabar sempadan tradisional yang memisahkan warganegara daripada idea yang tertumpu pada kesetiaan, identiti, dan taat setia. Apabila seorang imigran berkata bahawa dia British, dia tidak berkata bahawa dia mahu menjadi orang Inggeris, Scott atau Welsh. 
Pada takat tertentu, Ruthven cuba  berhujah  bahawa   fahaman  pelbagai budaya membuka ruang kepada kaum imigran untuk memperkukuh budaya mereka:  “Masalah asas Eropah terhadap Islam, dan terhadap penghijrahan lebih umum, ialah bahawa komuniti yang lebih kuat di Eropah, berbicara dari segi budaya, bukannya komuniti Eropah sama sekali.  Masalah ini wujud di semua negara Eropah, meskipun pelbagai langkah yang luas diambil untuk menyelesaikannya, misalnya faham pelbagai budaya di Belanda, laicite di Perancis, pengabaian mesra di Britaian, dan keberadaban perlembagaan di Jerman.
Eropah yang sejak  beberapa bulan lalu terpaksa bergelut dengan krisis hutang, tiba-tiba meletup dengan penolakan fahaman  pelbagai budaya:  pengusiran Roma  atau orang Gipsi  dari Perancis dan sentimen antikaum imigran atas alasan politik dan ekonomi.    Dari  Perancis ke Jerman, dari Austria ke Belanda,  menurut pemerhatian Slavoj Zizek,  dalam semangat baru kebanggaan terhadap satu-satunya  budaya dan identiti sejarah, parti-parti utama kini mendapati boleh diterima untuk menekankan bahawa kaum imigran ialah tetamu yang perlu menyesuaikan diri mereka dengan nilai budaya yang menentukan masyarakat peribumi.  Mesejnya jelas:  “Ini negara kami, cintainya atau berambus.”   Merentas Eropah, bahas  Zizek dalam guardian.co.uk pada awal Oktober lalu, “politik kanan jauh (far  right)    mencemari  kita semua dengan keperluan untuk melaksanakan dasar antiimigresen yang ‘munasabah.’  Fahaman pelbagai budaya liberal bertopengkan barbarisme lama dengan wajah manusia.” 
Namun begitu, dua tiga hari selepas penulisan Slavoj Zizek, Tariq Modood,  Profesor Sosiologi  di  Bristol University, mempertahankan   dalam  akhbar  The Guardian bahawa di United Kingdom,    faham pelbagai  budaya tidak mati.   Kejayaan kumpulan Muslim  di negara itu membuktikan fahaman pelbagai budaya berkembang mekar dan bukannya sebagai ancaman terhadap perpaduan sosial dan subversif terhadap peradaban Barat.  “Meskipun diumumkan kematiannya,” tulis Tariq Modood, “fahaman pelbagai budaya semakin menjadi realiti.  Bukan hanya untuk membolehkan kumpulan kaum dan etnik wujud dalam masyarakat kita, tetapi golongan minoriti secara tekal diberitahu bahawa mereka ‘berbeza’, sedangan mereka juga mempunyai rasa kekitaan identiti mereka sendiri.”
Hujah Tariq,  asimilasi merupakan satu respons terhadap realiti sosial itu; satu lagi, integrasi liberal berasaskan hormat kepada individu tanpa pengiktirafan  politik terhadap kumpulan.  Fahaman   pelbagai budaya satu lagi respons, berasaskan bukan hanya pada darjat sama individu, tetapi juga pada penyesuaian politik identiti kumpulan sebagai cara mencabar amalan penafian (exclusionary practices) dan menggalakkan rasa hormat dan pemasukan atau penyertaan untuk kumpulan direndahkan martabat mereka.  Bahas beliau lagi, tahap seterusnya fahaman  pelbagai budaya jauh melampaui  fokus terhadap  penafian dan kumpulan minoriti.  Hal ini adalah  tentang  lebih daripada  identiti minoriti positif, iaitu tentang wawasan  positif masyarakat, termasuk kumpulan yang dahulunya dinafikan atau dipinggirkan berasaskan kesamaan dan rasa kekitaan. 
“Dari sudut  fahaman  pelbagai budaya,” hujah Tariq, “penekanan terbaharu terhadap kepaduan dan kewarganegaraan merupakan keseimbangan semula yang perlu terhadap fahaman  pelbagai budaya pada tahun 1990-an.  Penekanan tersebut tidak boleh difahami hanya sekadar berpindah daripada fahaman  pelbagai budaya kepada integrasi kerana kerajaan terus menggalakkan perundingan dan perlambangan atau perwakilan kumpulan.  Sejak Peristiwa 11 September, kerajaan United Kingdom mendapati adalah perlu meningkatkan skala dan tahap perundingan dengan orang Muslim di Britain.  Keadaan yang sama betul di negara terang-terangan antifahaman  pelbagai budaya, seperti Perancis dan Jerman.”
Tatkala debat fahaman pelbagai budaya mula memperlihatkan rentaknya, Canselor   Angela Merkel  dalam sesi pertemuan dengan pemuda parti konservatif beliau, iaitu Christian Democratic Union  pada pertengahan Oktober lalu,   mengisytiharkan   kegagalan fahaman  pelbagai budaya di Jerman.  “Pendekatan  pelbagai budaya ini, iaitu kita  hidup sebelah menyebelah dan hidup dengan gembira antara satu sama lain gagal. Benar-benar gagal.”  Dengan perisytiharan itu, Angela Merkel sekali lagi menjadi  tumpuan  di Eropah dan merentas Atlantik. Kegagalan fahaman  pelbagai budaya di Jerman  menghangatkan lagi debat  tentang bagaimana untuk berurusan dengan berjuta-juta orang asing atau pendatang yang menganggap sesebuah negara itu sebagai negara mereka.      
Peringatan beliau bahawa  “meskipun  kaum imigran  dialu-alukan di Jerman, tetapi mereka mesti  belajar bahasa (Jerman) dan mesti menerima norma budaya negara itu,”   ditafsirkan nada yang kian kedengaran merentas Eropah kerana benua itu bertarung dengan kemerosotan ekonomi dan bimbang akan keganasan yang bersarang di negara sendiri.  Walau bagaimanapun,  bagi warga Jerman di Berlin kosmopolitan, Angela Merkel tidak mengikuti perkembangan  kehidupan seharian di negara itu.  Bagi mereka, perisytiharan itu tidak mencerminkan gaya hidup orang ramai apabila kaum imigran  dan kaum peribumi Jerman hidup berdampingan antara satu sama lain. 
 Jerman dan negara lain di Eropah dikatakan terpaksa bergelut dengan idea tentang diri mereka sebagai negara imigrasi, manakala Angela Merkel sejak sekian lama berasa ragu-ragu terhadap usaha negaranya untuk membina masyarakat pelbagai budaya yang termasuk kira-kira empat  juta orang Islam. Bahasa dikatakan menjadi halangan utama kegagalan kewujudan  masyarakat  pelbagai budaya kerana  banyak kaum pendatang ini bercakap sedikit atau langsung tidak bercakap dalam bahasa Jerman, terlibat  dalam pekerjaan berpendapatan rendah atau terpaksa hidup dengan bantuan kerajaan.
Sesetengah  kaum imigran   Turki yang menetap di negara itu merasakan kenyataan Canselor Jerman itu menyebabkan mereka berasa diri mereka tidak dialu-alukan, dan mereka tidak melakukan sesuatu untuk menggalakkan integrasi. Walau bagaimanapun, Merkel  menjelaskan “Kita sepatutnya tidak menjadi negara yang memberikan gambaran kepada dunia luar bahawa mereka yang tidak bercakap bahasa Jerman serta-merta atau sesiapa yang tidak berusaha bercakap Jerman tidak dialu-alukan di negara ini.”
Menurut pemerhatian, sejak akhir Ogos lalu, Jerman dilanda oleh gelombang kekacauan politik tentang integrasi, faham pelbagai budaya, dan peranan “leitkultur” atau bimbingan budaya kebangsaan. Dengan kebencian yang menjadi-jadi terhadap kaum   imigran dari budaya yang berbeza, seperti Turki dan negara Arab, memang tidak diragukan lagi, sukar untuk diintegrasikan, mencerminkan bahawa faham pelbagai budaya yang menjadi hangat di Jerman  sejak beberapa bulan:  “Multkulti telah mati.” 
Perisytiharan kegagalan  fahaman  pelbagai budaya oleh Merkel  itu bukan sahaja mencetuskan pelbagai respons  di Eropah, tetapi juga di Amerika, antaranya editorial dalam akhbar mingguan The Christian Science Monitor,  “Merkel on Failed German Multiculturalism:  Other Countries Should Listen Up.”  Editorial itu mencadangkan Amerika boleh melakukan pemerhatian yang serupa tentang komuniti  Hispanic, meskipun budaya mereka ialah Kristian dan mempunyai asal usul Barat yang kuat.  Pelbagai kajian menunjukkan kaum imigran Mexico  mempunyai  penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, kemahiran yang rendah, dan pendapatan yang rendah.  Generasi ketiga dan keempat Amerika keturunan  Mexico  tidak  mencapai integrasi sepenuhnya dengan golongan keturunan Eropah. 
“Untuk mendapat jawapan kepada soalan Merkel  ‘bagaimana’ menggalakkan integrasi,” tulis editorial itu, “seseorang perlu melihat punca cabaran integrasi.  Sebahagiannya terletak pada kumpulan imigran itu sendiri, dan bukannya kaum atau gen, tetapi budaya, nilai, dan pengalaman yang dikongsi mereka.”
Jurgen Habermas, Profesor Emeritus Falsafah di Goethe University, Frankfurt,   mengemukakan ulasan yang panjang lebar tentang landaan gelombang kekacauan politik yang dialami  oleh Jerman itu.  Habermas yang menulis dalam The New York Times, “Leadership and Leitkultur,” mengakui bahawa pertikaian telah pun dirangsangkan oleh perasaan budaya kebangsaan yang terancam, yang perlu menegaskan sendiri sebagai “leikultur” yang setiap pendatang baru mesti patuhi.  Hingga ke hari  ini, idea “leitkultur” bergantung pada tanggapan salah bahawa negara liberal sepatut  membuat tuntutan lebih terhadap kaum imigran bukan sekadar belajar bahasa negara berkenaan dan menerima prinsip Perlembagaan.  Habermas nampaknya tidak bersetuju dengan pandangan bahawa kaum imigran sepatutnya mengasimilasikan “nilai” budaya golongan majoriti  dan menerima pakai “adat resam” mereka.
Hampir lima tahun  berlalu,  David Brooks tidak lagi  berseorangan untuk mengisytiharkan kematian fahaman  pelbagai budaya.   Dengan dunia mula  menutup pintu terhadap  berjuta-juta  juta kaum imigran dan dengan kebangkitan fahaman keperibumian (nativisme) seperti yang berlaku di Eropah, pastinya meninggalkan implikasi yang mendalam terhadap fahaman pelbagai budaya. Dengan kata lain, fahaman pelbagai budaya kini di ambang kematian, dan tidak dapat tidak, kembarnya, “kesatuan dalam kepelbagaian” akan mengalami nasib yang sama.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya Januari 2011.)





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...