Artikel Popular

Thursday, February 9, 2023

Falsafah Perang

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Khamis, 9 Februari 2023 

Anatol Rapoport dalam pengenalan editor On War   edisi “Penguin Classics,” menganggap magnum opus karya Carl von Clausewitz itu  sebagai salah satu dan bukannya satu-satunya “falsafah perang.”  Tegas Rapoport, sekiranya kita memerhatikan buku yang ditulis sebelum atau selepas Clausewitz, maka dapati bahawa beberapa falsafah perang muncul.  Clausewitz merupakan salah seorang pendukung dan yang paling penting.

            Falsafah perang  dicerminkan dalam buku ini mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap pemikiran ketenteraan dan politik Eropah pada abad ke-19.  Oleh sebab pengaruh ini, dan oleh sebab falsafah yang dirumuskan dengan kejelasan yang luar biasa, maka On War  wajar disebut klasik, bersama-sama dengan karya lain yang merupakan falsafah penting.  Misalnya, Novum Organum karya Francis Bacon  (falsafah sains), The Prince karya Machiavelli (falsafah politik), Leviathan karya Hobbes (falsafah masyarakat),  Inquiry into Human Understanding karya Hume (falsafah pengetahuan), Wealth of Nations karya Adam Smith (falsaah ekonomi), dan Capital karya Marx (falsafah ekonomi dan masyarakat). 

            Jeneral Clausewitz dilahirkan di Burg, dekat Magdeburg, pada tahun 1780, dan menyertai Tentera Prussia sebagai Fahnenjunker pada tahun 1792. Askar dan penulis Prussia ini menyertai kempen  Rhine dari tahun 1793 hingga tahun 1794, dan pada tahun 1801, beliau menyertai Akademi Berlin; di sana beliau mengkaji Kant dan menarik perhatian Scharnhorst, yang kemudiannya dibantu oleh Clausewitz untuk melakukan pembaharuan terhadap tentera Prussia. Beliau ditawan ketika kempen Jena, dan ketika berkhidmat dalam tentera Rusia, beliau memainkan peranan menonjol  dalam kempen Moscow pada tahun 1812 dan 1813.

Clausewitz  lebih dikenali sebagai ahli falsafah berbanding dengan sebagai tentera.  Beliau masyhur kerana On War yang diterjemahkan daripada Vom Kriege, yang edisi dalam bahasa Jerman ini  diterbitkan oleh balunya, Maria von Clausewitz, pada tahun 1832, iaitu  selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1831. Beliau mula menulis Vom Kriege pada tahun 1816. 

Oleh itu, menurut Rapoport, seluruh hayatnya dari pengakhiran remaja ke permulaan penulisan magnum opus beliau, berkebetulan hampir keseluruhannya dengan era Revolusioner dan perang Napoleon. Kaliber  intelektual Clausewitz dapat dilihat  dalam  kejelasan yang diperhatikan beliau   zaman ini sebagai peralihan antara dua zaman bersejarah.  Dari satu segi, ialah sistem antarabangsa Eropah pada tahun 1648 – 1789, yang diperhatikan oleh Clausewitz dari perspektif sejarah yang memberikan gambaran yang jelas yang luar biasa. Dari satu segi yang lain,  ialah sistem antarabangsa Eropah pada tahun 1815 – 1914, yang Clausewitz menjadi penganjur (prophet).

Pelaku dalam paradigma Clausewitzian tentang hubungan antarabangsa, dikatakan, sebagai negara berdaulat yang bagi semua tujuan praktik boleh dianggap sebagai orang.  Paradigma in yang hari ini diiktiraf oleh banyak  ahli sains politik adalah terlalu idealisasi abstrak, ialah model sistem antarabangsa  yang realistik sederhana yang Clausewitz ketahui, sistem Eropah yang terkenal, wujud pada abad ini yang berakhir dengan Revolusi Perancis.  Keputusan untuk melancarkan peperangan dan mencapai persetujuan perdamaian dibuat oleh raja (sovereigns), yang mungkin dinasihati oleh staf, atas pertimbangan untung rugi yang dijangkakan.

On War diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Projek Hitam, sebagai Gendang Perang (Biblio Press, 2022, RM35).  Selain bahagian awalan yang agak tebal, Gendang Perang mengandungi lapan buku dan beberapa bab, yang tidak seimbang jumlahnya.

Apakah perang?

Clausewitz menegaskan bahawa, “kita tidak melabelkan perang secara abstrak atau berdasarkan apa yang disebut oleh kumpulan berkepentingan. Sehubungan dengan itu, beliau mentakrifkan perang sebagai “tindakan keras untuk memaksa pihak lawan  memenuhi kehendak kita sendiri.”  Bagi Clausewitz, kekerasan, dalam pelbagai bentuk, ialah unsur penting untuk memaksa musuh mengikut kehendak kita, yang merupakan matlamat utama, dan oleh itu, musuh tidak mampu melawan.

Perang merupakan tindakan kekerasan tanpa had, dan matlamat utama perang adalah untuk “melumpuhkan kuasa musuh.”  Clausewitz menjelaskan bahawa jika musuh telah mengikut kemahuan kita, maka kita perlu meletakkan musuh dalam keadaan paling tertekan supaya mereka tidak mempunyai daya untuk bertindak dan dalam hal ini, perlu menjadi matlamat utama semasa perang.

Dalam Bab 2 Buku Satu, beliau menjelaskan bahawa maksud perang sebenar ialah tindakan ganas untuk memaksa musuh mengikut telunjuk kita, bersama-sama dengan matlamat untuk sentiasa mengatasi dan melucutkan kuasa musuh.

Beliau mengulangi hujah ini dalam Buku Lapan, bahawa matlamat utama peperangan adalah untuk mengalahkan musuh, iaitu memusnahkan pasukan mereka sehingga tidak dapat berfungsi.  Berdasarkan pengalaman lalu, tindakan yang dianggap penting untuk mengalahkan musuh adalah: kemusnahan pasukan tentera musuh secara penuh adalah lebih baik, tawan bandar utama selain pusat pemerintahan negara untuk melumpuhkan sistem sosial dan kegiatan politik, dan serang pihak yang bersekutu dengan musuh lebih dahulu jika mereka kuat daripada musuh.

Clausewitz seterusnya membahaskan teori peperangan, yang menurut beliau, “penting sebagai asas untuk bersedia atau ketika mahu melancarkan perang.” Kita dapat mentafsirkannya, peperangan bukanya dilancarkan secara sembarangan, sebaliknya memerlukan persiapan yang rapi.

            “Perang ialah sebahagian politik dan polisi (dasar) melalui kuasa ketenteraan,” tegas Clausewitz.  Meskipun politik dan polisi berkait, beliau mengingatkan bahawa, tidak selari dan amat untuk memahami perang melalui sudut pandangan kedua-duanya.  Politik ialah pembahagian kuasa melalui interaksi, sama ada saling bekerjasama ataupun bersaing, manakala polisi ialah matlamat yang wujud dalam proses politik tersebut. Antara politik dengan polisi, Clausewitz memberikan tumpuan terhadap dasar, yang menurut beliau, “matlamat polisi untuk kumpulan yang ingin berperang adalah menentukan bagaimana perang itu dilaksanakan.” Dalam teori ini, “perang dilancarkan mengikut telunjuk polisi.”

            “Matlamat politik sering mengejar matlamat perang,” tegas Clausewitz, yang merupakan motif asal peperangan yang akan menentukan objektif ketenteraan, termasuk kaedah bagaimana objektif ingin dicapai serta berapa jumlah sumber yang diperlukan.

Beliau juga menegaskan bahawa perang ialah kesinambungan polisi.  Maksudnya, perang bukan sekadar polisi, tetapi merupakan alat politik sebenar yang digunakan untuk tujuan lain. “Jika negara ialah manusia, maka polisi merupakan organ utama badan, iaitu otak, yang bertindak mengawal tindakan dan berfikir.  Perkara utama bagi negara ialah sentiasa untuk berperang dan polisi yang dirangkakan, perlu dilihat ganas dan kejam.

            Dalam Buku Dua, Clausewitz membincangkan dan membahaskan teori peperangan. Bagi beliau, perang bukannya “gendang kosong,” sebaliknya “secara langsung, bermaksud pertempuran, iaitu prinsip pertempuran itu sendiri wajib ada dalam peperangan, yang melibatkan kekuatan mental dan fizikal yang diterjemahkan di medan perang.”  Atau dalam kata lain, peperangan itu memerlukan keberanian untuk bertempur di medan perang dengan segala persiapan yang rapi  untuk mencapai kemenangan dan menewaskan pihak musuh.  Oleh itu, perang itu bersifat melawan, memusnahkan, dan menakluk.

            Bagi Sun Tzu dalam bukunya Seni Peperangan, peperangan itu ialah satu hal yang amat penting bagi sesebuah negara, soal hidup atau mati, jalan ke arah yang selamat atau yang punah-ranah.

            Dengan demikian, hujah Clausewitz, seni peperangan ialah keadaan apabila pelbagai kaedah digunakan untuk memenangi pertempuran. Untuk melancarkan perang memerlukan fasa perancangan.  Fasa ini dan bertindak lebih dikenali sebagai taktik dan strategi.  Beliau merumuskan bahawa seni peperangan itu sendiri perlu dibahagikan secara taktik (kegiatan semasa berperang)  dan strategi (persiapan sebelum perang). Dalam pengenalan Buku Empat, beliau menyatakan “rangka asas untuk pertempuran ialah taktik,” dan beliau kupas dalam bab seterusnya, “memandangkan konsep asas perang ialah bertempur.”

            Teori secara langsung, hujah beliau, ialah “penggunaan kuasa ketenteraan untuk bertempur,” tetapi tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kegiatan perang itu merangkumi “proses pembaikan dan penyelenggaraan pasukan tentera,”  sebagai persiapan untuk bertempur. 

            Pertempuran,  seperti yang kita dihuraikan beliau dalam Buku Empat, ialah tindakan ketenteraan yang utama; kegiatan sampingan yang lain bertujuan menyokong pertempuran tersebut.  Tujuan bertempur adalah untuk membawa kemusnahan kepada musuh.  Tentera yang tewas  disebabkan kuasa serangan mereka tidak berfungsi, yang menyebabkan musuh tidak mampu untuk bertempur.  Bagi Clausewitz, komander perlu fokus bahawa setiap pertempuran adalah untuk memusnahkan musuh dan bukan untuk mengugut atau menunjukkan kekuatan.

            Sememangnya, Clausewitz memberikan tumpuan yang mendalam terhadap  pertempuran dan kemusnahan pihak musuh dan kedua-duanya saling berkait.  Bagi beliau, signifikan untuk bertempur bertujuan untuk memusnahkan musuh, meskipun wujud tujuan lain yang mungkin lebih penting semasa bertempur. Selain untuk memusnahkan musuh, mungkin pertempuran boleh dilakukan untuk menawan sesebuah kawasan atau pangkalan musuh.  Beliau menjelaskan dua asas peperangan, iaitu menyerang dan bertahan, yang memberikan kesan langsung terhadap objektif pertempuran, untuk memusnahkan musuh.

            Sebagai perbandingan, Sun Tzu  menegaskan bahawa mereka yang mahir tentang pertempuran akan mengalahkan musuh mereka itu tanpa perlu berperang.  Mereka menakluki bandar-bandar tanpa melakukan serangan dan menawan negara itu tanpa terlibat dengan peperangan yang berlanjutan.

            Clausewitz memberikan tumpuan terhadap seni peperangan, yang hanya merujuk kepada persiapan angkatan tentera.  “Istilah seni peperangan hanya digunakan untuk menunjukkan kemahiran dan pengetahuan tentang bagaimana senjata sehingga mampu memusnahkan, bagaimana kubu dibina sehingga tidak dapat ditembusi, dan bagaimana organisasi ketenteraan dibentuk sehingga mampu menjadi pasukan perang yang kuat.

            Namun begitu,  bagi Clausewitz, peperangan adalah kedua-duanya: seni dan sains.  Seni peperangan ialah kebolehan, manakala sains peperangan ialah pengetahuan.  Kedua-duanya saling berkaitan kerana dalam setiap teori seni, berkemungkinan wujud sedikit unsur sains dan sains pula tidak dapat wujud tanpa ada sedikit unsur seni.  Walau bagaimanapun, beliau merumuskan bahawa “perang tidak termasuk dalam kelompok baik seni mahupun sains.”  Perang lebih merupakan sebahagian interaksi sosial manusia.  Perang ialah pertempuran antara kemahuan dan keperluan manusia yang dengan pertumpahan darah. 

            Dalam politik, ada orang berkata bahawa semasa kempen adalah tentang isu dan selepas pilihan raya diadakan adalah tentang angka, iaitu jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti yang bertanding. Dalam peperangan, seperti yang ditegaskan oleh Clausewitz, angka adalah penting: kelebihan bilangan yang banyak.  Kelebihan ini merupakan unsur yang boleh membawa kemenangan  dalam perang.  Namun begitu, seni peperangan menolak idea bahawa bilangan yang banyak mampu menjamin kemenangan. 

            Walau bagaimanapun, dalam Bab 8 Buku Tiga, Clausewitz mengulangi pentingnya bilangan tentera, yang menurut beliau,  “dalam taktik, sebagaimana strategi,  kekuatan bilangan ialah unsur penting dalam mencapai kemenangan.”  Sekiranya kedua-dua belah mempunyai kelebihan dan kekuatan yang sama,  maka kekuatan bilangan mempengaruhi peluang kemenangan. 

            Oleh sebab perang juga merupakan proses teknikal, maka hujah Clausewitz, “dalam pertempuran  1000 orang menentang 500 orang, pihak bakal pemenang sudah dapat diramalkan.”  Sebanyak 1000 orang menembak dua kali ganda daripada 500 orang, tentunya akan mengalahkan 500 orang.  Walau bagaimanapun, beliau tidak memberikan jawapan muktamad sekiranya 500 orang itu mempunyai tentera simpanan 100 orang di luar medan pertempuran lengkap dengan senjata dan tidak keletihan, memberikan bantuan tembakan menentang 1000 orang lagi.

            Dalam Bab 8 Buku Lima, Clausewitz terus  mengulangi pendiriannya bahawa kepentingan  bilangan tentera dalam usaha untuk menghadapi musuh. Beliau menegaskan bahawa peperangan moden mengakui bahawa kekuatan bilangan menjadi semakin penting dan perlu apabila terlibat dalam konflik.

Dalam pendahuluan Mukadimah, Ibn Khaldun mengkritik sesetengah sejarawan yang menggembar-gemburkan  tentera yang banyak yang tidak masuk akal. Beliau mengingatkan bahawa harus disedari jumlah tentera yang banyak akan menyulitkan pergerakan atau untuk melancarkan serangan sebagai suatu ketumbukan.  Hal ini demikian kerana luas sesebuah kawasan itu akan menyulitkan pergerakan.  Jika berada dalam kedudukan tempur, keadaan ini akan meluas menjadi dua, tiga atau lebih daripada apa yang dapat dipandang. Apabila berada dalam situasi yang sedemikian, bagaimana mungkin kedua-dua pasukan itu dapat bertempur atau pasukan tempur medan dapat menguasai kedudukan pihak lawan sekiranya salah satu sayap itu tidak mengetahui apa yang terjadi di rusuk yang lain.

Bagi Clausewitz pula yang bersependapat dengan Ibn Khaldun, kumpulan tentera yang berskala besar tidak sesuai untuk bertempur, melainkan di kawasan lapang.  Walau bagaimanapun, beliau merujuk “Perang Tujuh Tahun,” yang menunjukkan bahawa tentera telah mahir bertempur di kawasan kecil dan sempit.

Selain bilangan tentera yang banyak, Clausewitz, menekankan aspek moral yang tidak boleh diabaikan.  Bagi beliau, kegiatan ketenteraan tidak boleh hanya bergerak dengan faktor luaran, tetapi perlu disokong oleh kuasa moral atau semangat.  Beliau menegaskan bahawa semasa bertempur, moral tentera turut akan terganggu dan musnah.  Oleh itu, perkara paling mudah untuk mengalahkan musuh adalah dengan menjatuhkan moral mereka.  Kita dapat mengira berapa banyak musuh yang terkorban untuk menilai sejauh mana jatuhnya moral musuh dalam perang.  Beliau mengemukakan petua untuk menjangkakan bahawa pihak musuh mungkin berada dalam krisis moral yang mendalam dengan memerhatikan kekerapan penggantian pasukan simpanan mereka. 

Menurut Clausewitz,  terdapat tiga unsur dalam konsep kemenangan, iaitu musuh hilang kekuatan untuk menyerang, musuh hilang kekuatan moral, dan musuh menyerah kalah serta meninggalkan niat untuk berperang.   

Sementara Clausewitz  menekankan aspek moral, Ibn Khaldun pula menumpukan faktor yang  mempengaruhi manusia secara psikologinya, dan dengan itu, membangkitkan perasaan gentar. Faktor ini menyebabkan kacau-bilau di tengah-tengah pasukan, dan terjadilah suatu kekalahan. Faktor psikologi juga diberikan perhatian oleh Clausewitz, yang menurut beliau, terdapat  banyak keadaan yang kekuatan psikologi itu meningkat secara tiba-tiba terhadap faktor kemampuan pasukan memiliki persenjataan yang mantap. 

Dalam Bab 17 Buku Tiga Clausewitz membangkitkan peristiwa yang berlaku pada tahun 1813, Prussia mengajar kita bahawa jika menggunakan bantuan tentera upahan, kuasa serangan akan meningkat enam kali ganda berbanding biasa.  Tambahan pula,  tentera upahan mampu untuk berperang di dalam dan di luar negara.

Namun begitu, jika kita merujuk pandangan Niccolo Machiavelli dalam  The Prince atau Sang Penguasa, jelas bahawa tentera upahan (juga tentera auksiliari) tidak berguna dan berbahaya untuk mempertahankan wilayah penguasa.  Bagi Machiavelli,  mereka tidak bersatu, tidak berdisiplin, dan tidak setia.  Mereka hanya berani di hadapan rakan-rakan mereka, tetapi pengecut apabila berhadapan dengan musuh.  Mereka bersedia untuk berkhidmat sekiranya kita tidak melancarkan peperangan. Apabila peperangan meletus, mereka hanya melarikan diri daripada musuh.

Clausewitz menyatakan bahawa faktor bentuk muka bumi, waktu, dan keadaan cuaca wajib diambil kira dalam pertempuran.  Bentuk  muka bumi ialah gabungan pelbagai unsur geografi persekitaran dan juga keadaan tanah, sama ada menaik, landai ataupun menurun. Bentuk muka bumi amat penting dalam menentukan serangan, baik menentukan kedudukan pertahanan mahupun kemudahan untuk berundur. Dalam Bab 7 Buku Empat, beliau mengingatkan bahawa kawasan yang bergunung dan penuh dengan pokok besar, langsung tidak sesuai untuk menyerang atau bertahan, kerana pihak musuh mampu melarikan diri. 

Dalam Bab 4 Buku Enam beliau membahaskan pertahanan yang di gunung, yang menurut beliau, gunung mempunyai reputasi sebagai tempat yang berkesan dan kukuh untuk berlindung daripada serangan musuh.  Hal ini demikian kerana kesukaran untuk bergerak sepanjang laluan di gunung dan suatu kelebihan semula jadi yang dimiliki oleh pos tentera yang dibina di laluan gunung: musuh tidak dapat menyerang dari tepi. Namun begitu, terdapat peristiwa lampau yang membuktikan bahawa pertahanan  gunung bukan sekuat yang disangka.  

Bagi  Sun Tzu, maksud muka bumi ialah jaraknya, sama ada keadaan tanahnya mudah dilalui ataupun sukar, sama ada keadaannya terbuka ataupun menyukarkan, dan peluang untuk terus hidup atau menghadapi bahaya maut. Apabila mengerahkan pasukan tentera adalah mustahak lebih dahulu untuk mengetahui keadaan muka buminya.  Muka bumi boleh  dibahagikan mengikut keadaannya, seperti yang boleh dilalui, yang memerangkap,  sukar ditentukan, menyulitkan, berbahaya, dan jarak.  Dalam hubungannya dengan pasukan tentera, tanah itu boleh disifatkan sebagai bertaburan, perbatasan, penting, menghubungkan, tumpuan,  dikelilingi, dan maut. Beliau menegaskan bahawa apabila bala tentera itu melintasi kawasan pergunungan hutan belantara, laluan yang menyukarkan pergerakan.

Sebelum melancarkan peperangan, pastikan bekalan makanan yang cukup.  Semakin lama tempoh peperangan, maka selagi banyak bekalan makanan yang diperlukan.  Bekalan makanan yang cukup dapat mengelakkan tentera daripada kebuluran.  Bagi Clausewitz, terdapat dua faktor menyebabkan bekalan ialah perkara yang paling penting dalam peperangan moden.  Yang pertama, disebabkan pasukan tentera pada masa kini jauh lebih besar berbanding dengan pasukan tentera pada abad pertengahan dan pasukan tentera Sebelum Masihi. Yang kedua dan yang paling penting, pasukan tentera kini sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.  Apabila kegiatan perang menjadi kerap, maka pasukan tentera akan menjadi semakin dan lebih fokus untuk agresif.  Oleh itu,  permintaan untuk mendapatkan makanan akan semakin meningkat.

Clausewitz betul apabila beliau menegaskan,  bahkan menegaskan berulang-ulang kali bahawa peperangan merupakan tindakan kekerasan tanpa had, dan matlamat utama perang adalah untuk melumpuhkan kuasa musuh  dan memaksa musuh mengikut telunjuk kita, bersama-sama dengan matlamat untuk sentiasa mengatasi dan melucutkan kuasa musuh.  Untuk mencapai pasukan tentera perlu bertempur di medan perang. 

Namun begitu, di medan perang, selain musuh yang sedang siap siaga, biasanya muncul  pelbagai penyakit yang menyerang tentera di kedua-dua belah pihak. Dalam The Iliad karya klasik Homer,  wabak berlaku ketika peperangan.  Demikian juga  Wabak Athens, Wabak Antonine, Maut Hitam, dan Wabak Besar Milan, yang menyaksikan wabak meletus atau melanda ketika peperangan. Selain itu, demam selesema Sepanyol melanda dunia di tengah-tengah Perang Dunia Pertama. Penyakit dipercayai membantu tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Hernando Cortes menakluki ibu negeri Aztec, Tenochtitlan pada tahun 1519, dan satu pasukan tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Francisco Pizarro menakluki Incas pada tahun 1532.

Cacar juga menyerang  tentera Perancis dalam Perang Perancis-Prussia, yang menyebabkan kira-kira 20,000 tentera negara itu uzur dan tidak mampu berperang, manakala musuh mereka, Jerman imun daripada penyakit ini.  Sebelum itu, sesetengah askar Eropah mengikuti contoh Napoleon dan memvaksinkan rekrut melawan cacar.  Namun begitu, Perancis tidak meneruskan amalan ini ketika masa aman, sebaliknya Prussia melakukannya.

Perang dan penyakit yang turut mendapat perhatian,  ialah  perang yang melibatkan Napoleon Bonaparte dan tenteranya ketika Revolusi  Haiti dan   dengan Rusia. Dalam kedua-dua perang itu menyaksikan tentera Napoleon bukan sahaja mengalami kekalahan, tetapi juga dalam perang dengan Rusia, kemusnahan yang teruk. Perang dengan Haiti, demam kuning turut menyerang tentera Napoleon, manakala dengan Rusia, tenteranya diserang oleh berak darah dan tifus.

Pada 24 Jun 1812, Grande Armée, diketuai oleh Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte, menyeberangi Sungai Neman, menceroboh Rusia, dari Poland sekarang. Akibatnya satu bencana terhadap Perancis. Askar Rusia enggan bertempur dengan Grande Armée yang terdiri daripada lebih 500,000 orang tentera Eropah. Mereka hanya sekadar berundur ke kawasan pedalaman Rusia. Pelbagai keadaan yang berlaku ketika dalam perjalanan ke Rusia mewujudkan keadaan sempurna untuk penyakit microb berkembang subur, terutamanya berak darah, jangkitan yang sangat ditakuti oleh askar pada abad ke-19.  Berak darah turut membawa kemusnahan Grande Armée. Ketika mereka tiba di Moscow mereka kehilangan antara 150,000 orang hingga 200,000 kerana tiga faktor, iaitu pertempuran, meninggalkan pasukan, dan penyakit.

Pencerobohan itu berlaku  selama enam bulan, dan Grande Armée kehilangan lebih 300,000 orang, manakala Rusia kehilangan lebih 200,000 orang.  Selepas menunggu selama sebulan, tetapi  askar Rusia masih enggan menyerah diri, Napoleon yang menghadapi musim sejuk Rusia, memerintahkan askar yang kebuluran keluar dari Moscow. Ketika pengunduran yang membawa bencana itu, askar Napoleon menanggung sengsara akibat serangan berterusan yang dilancarkan oleh askar Rusia yang tiba-tiba agresif dan tanpa belas kasihan itu.

Dengan memaksa tentera Perancis yang berkecai meninggalkan Rusia mengikut laluan yang  dibinasakan mereka apabila mereka memasuki negara itu, Komander Jeneral Mikhail Kutuzov  memusnahkan pihak musuh tanpa perlu melawan dalam satu pertempuran lagi. Tentera Kutuzov memporak-perandakan tentera Perancis yang berundur,  berhadapan dengan mereka di Vyazma dan Krasnoye, dan saki-baki tentera Napoleon yang tersempit  melarikan diri daripada pelenyapan ketika menyeberangi  Sungai Berezina pada akhir November 1812. Pada Januari 1813, Kutuzov mengejar  askar Perancis hingga  ke Poland dan Prussia, tempat beliau mati kerana penyakit.

Oleh yang demikian, ketika bertempur di medan perang, bukan sahaja bertujuan untuk memastikan musuh jatuh tersungkur, tetapi juga mengambil ingatan bahawa kemungkinan besar muncul musuh yang tidak dikenali dan yang juga berbahaya. Dalam sesetengah peperangan, jumlah  kematian tentera akibat penyakit lebih tinggi daripada jumlah kematian yang berpunca daripada musuh.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...