Artikel Popular

Friday, August 16, 2019

Sosiologi Pembangunan: Teori Pergantungan

JUMAAT, 16 Ogos 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH




Meskipun pelbagai rancangan lima tahun Malaysia dikaji oleh para sarjana atau pengkaji tempatan dan antarabangsa, hanya Shamsul Amri yang secara khusus mengkaji rancangan lima tahun, iaitu Rancangan Malaysia Kedua, 1971 – 1975 (RMKedua), berdasarkan rangka teori, dan akhirnya diterbitkan dalam sebuah buku.  Tesis beliau  mungkin juga antara tesis sarjana awal yang ditulis dalam bahasa Melayu, dan sekali gus membuktikan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.  Selepas itu, muncul tesis yang dikemukakan kepada universiti yang ditulis dalam bahasa Melayu di peringkat Ph.D dalam pelbagai bidang. 
RMK: Tujuan dan Pelaksanaannya - Suatu Penilaian Teoritis juga boleh dianggap sebagai karya awal yang diterbitkan di negara ini yang cuba membahaskan teori pembangunan, khususnya sosiologi pembangunan, yang menurut Rahimah Abdul Aziz, mementingkan aspek pembangunan.  Pembangunan dilihat atau dikaji daripada pendekatan sosiologi, yang bukan sahaja mementingkan aspek ekonomi dan kebendaan, bahkan juga mementingkan aspek sosial atau bukan kebendaan, seperti kebudayaan, stratifikasi, sistem dan kekuasaan politik yang boleh memberikan kesan terhadap aspek ekonomi dan pembangunan (Rahimah, 2001: 16). Sosiologi pembangunan memberikan penekanan yang sama terhadap semua aspek (ekonomi, sistem dan kekuasaan politik, sosial, psikologi, kebudayaan,  stratifikasi sosial, dan lain-lain) yang dipercayai mempunyai kesan terhadap usaha pembangunan dan perubahan sesuatu masyarakat atau sesebuah negara (Rahimah, 2001: 16).
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Shamsul Amri ialah “pelopor” kajian pembangunan dalam bidang antropologi dan sosiologi dengan mengetengahkan istilah methodological construct  tentang pembangunan yang diperkenalkan oleh ahli sains sosial.  Menurut beliau, teori dan methodological construct  tentang pembangunan terbahagi kepada model yang bercorak konflik dan keseimbangan.  Daripada model tersebut beliau mengenal pasti pendekatan dan tokoh, dengan andaian dan konsep masing-masing (Shamsul Amri, 1979: 4 – 8). Daripada sejumlah tokoh itu dengan pendekatan masing-masing kelakuan, psikodinamik, dan difusi bagi keseimbangan, dan struktural bukan Marxis dan Marxis bagi konflik, beliau membahaskan pemikiran Andre Gunder Frank, yang terkenal dengan istilah “pembangunan dan kemunduran” dan hubungan metropolis-satelit (Shamsul Amri, 1979: 16 – 22).  Frank    merupakan “geng empat” (bersama-sama dengan Immanuel Wallerstein, Samir Amin, dan Giovanni Arrighi), dan mereka pernah  menulis  esei masing-masing dalam Dynamics of Global Crisis.  “Mereka berempat bersama-sama Paul Sweezy dan Paul Baran dikenali sebagai kumpulan neo-Marxis.  Kumpulan ini melihat kapitalisme sebagai satu sistem eksploitasi satu kawasan atau golongan oleh kawasan atau golongan yang lain, sehinggakan pembangunan di beberapa kawasan ialah hasil ‘perkembangan kurang pembangunan’ di banyak negara lain di dunia” (Rahimah, 2001: 89). Kumpulan neo-Marxis ini cuba memahami dan menerangkan mengapa Marxisme berjaya di negara Dunia Ketiga dan tidak di negara maju dan mengapa teori konservatif gagal membangunkan negara Dunia Ketiga.  Dalam perkataan lain, sementara golongan Marxis memfokuskan kepada idea pembangunan, golongan neo-Marxis memberikan tumpuan terhadap masalah kurang pembangunan (Rahimah, 2001: 90).
Sementara itu, Frank dan Wallerstein adalah antara beberapa orang penulis yang cuba mengutarakan teori yang berlainan daripada teori klasik Marx tentang perkembangan kapitalis dalam bentukan masyarakat pinggir. Mereka menolak pemikiran Marx bahawa kapitalisme bersifat progresif.  Menurut Frank, Wallerstein, dan para pengkaji lain, walaupun penyerapan kapitalisme dapat menghapuskan hubungan sosial yang bersifat prakapitalis dengan mudah, penyatuan ekonomi negara membangun ke dalam sistem kapitalis dunia sebenarnya mengakibatkan negara itu berada dalam kemunduran yang berterusan (Ishak, 1988: 29).
Gunder Frank, ahli sosiologi pembangunan, dan bersama-sama   Baran  dan  Amin, adalah antara ahli teori pergantungan yang terkenal. Baran yang menulis The Political Economy of Growth,  ialah pelopor teori ini  serta  mempunyai banyak pengikutnya, dan yang paling penting ialah Frank. Beliau ialah orang yang pertama memperkenalkan istilah “pembangunan kemunduran” dan adalah sebahagian besar bertanggungjawab terhadap penerimaan hampir universal tentang pendekatan kemunduran dalam kalangan puak radikal pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an.  Meskipun karya Frank tentang pergantungan adalah terutamanya memberikan tumpuan  terhadap Amerika Latin, ahli teori lain meneruskan penerapan rangka beliau (dan Baran) untuk Afrika dan Asia (Foster, 2014: 176). Frank yang menolak dengan tegas teori dualisme dan sebaliknya mendakwa bahawa pembangunan dan kemunduran negara membangun merupakan aspek atau kesan proses pembangunan dunia kapitalis.  Beliau juga berhujah bahawa perkembangan kapitalisme dalam bentukan masyarakat pinggir menghancurkan ragam pengeluaran prakapitalis dengan pesat dalam bentukan masyarakat tersebut, dan menggantikan dengan hubungan pasaran yang disifatkannya sebagai kapitalisme (Ishak, 1988: 29 – 30).  Beliau menggunakan suatu rantaian hubungan metafora yang eksploitatif, iaitu suatu penggunaan dan pengaliran bahan lebihan melalui satu siri ikatan satelit-metropolis (Roxborough, 1983: 61).  Salah satu kriteria unggul dalam teori Frank ialah ia merangkumi entiti, kawasan, dan juga kelas sosial, dan oleh itu, hubungan antara tuan tanah dengan petani juga menunjukkan satu bentuk ikatan satelit-metropolis sama seperti ikatan antara kawasan yang renggang (Roxborough, 1983: 61).
 Shamsul Amri adalah antara sarjana tempatan yang kelihatan  terpengaruh dengan pemikiran Gunder Frank. “Walter Rodney, Frank,  Baran,  dan  lain-lain lagi - kekuatan sumbangan tokoh ini terletak pada kemampuan mereka memperincikan cara dan strategi, dengan sokongan bukti kuantitatif yang cukup kukuh, tentang proses eksploitasi ekonomi dan politik oleh yang menjajah terhadap yang dijajah. Konsep, seperti pembangunan kemunduran yang dikemukakan oleh Frank telah tercipta dan berkembang luas pengaruh dan penggunaannya dalam konteks menganalisis kesan negatif kolonialisme – dari segi ekonomi, politik, dan budaya terhadap negara pascakolonial (Shamsul Amri, 2005: 62).
Walau bagaimanapun, Shamsul Amri seakan-akan mengabaikan  kritikan yang dilemparkan terhadap Gunder Frank, yang dikatakan, “tidak menganalisis hubungan eksploitasi dari segi kelas sosial” (Roxborough, 1983: 62). Kritikan yang paling hebat terhadap Frank dilakukan oleh Ernesto Laclau, yang menyanggah dakwaan Frank bahawa Amerika Latin merupakan satu masyarakat kapitalisme semenjak permulaan abad ke-16. Laclau mendakwa bahawa takrif kapitalisme Frank, sangat berbeza dengan takrif yang dibuat oleh Marxis, kerana takrif  Frank menekankan hubungan pengeluaran dan perdagangan dan bukannya proses pengeluaran (Roxborough, 1983: 62).
Dalam buku yang berasaskan tesis Sarjana Sastera itu, Shamsul Amri memperlihatkan kemampuan beliau dari segi teori dan analisis. Perlu diakui bahawa bukan mudah untuk mengenal pasti model pembangunan keseimbangan dan konflik bersama-sama tokoh, andaian, dan konsep penting. Lebih sukar lagi untuk tiba kepada rumusan dengan menegaskan bahawa RMKedua jika dilihat dari segi objektif, strategi, matlamat, dan cara pelaksanaannya, menggunakan pendekatan pembangunan difusi. Pendekatan ini mengutamakan pengamatan dualisme, iaitu sektor moden dan sektor tradisional (Shamsul Amri, 1979: 140).
DEB memperoleh pernyataan amalinya dalam RMKedua dan dalam Kajian Separuh Penggalnya, yang tidak lagi berorientasikan pertumbuhan  yang dilaksanakan pada tahun 1960-an, yang nyata gagal menaikkan taraf soioekonomi orang Melayu (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 95). Antara dokumen Rancangan Lima Tahun kerajaan Malaysia, tidak diragui RMKedua dan Kajian Separuh Penggalnya merupakan perkara terdekat yang menggunakan penggerak utama DEB (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 95). Analisis dalam dokumen   RMKedua, sekurang-kurangnya secara sebahagiannya, menggunakan kaedah Jabatan Perpaduan Negara (JPN) bagi mengkategorikan ekonomi menjadi sektor daya pengeluaran (produktiviti) tinggi dan daya pengeluaran rendah (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 95).

Shamsul Amri boleh dianggap penganalisis yang pakar tentang RMKedua kerana selain dalam buku tersebut, beliau juga  membahaskan rancangan lima tahun dalam buku beliau yang lain (Shamsul Amri, 1990: 12 - 19). Walau bagaimanapun, selepas RMKedua, rancangan lima tahun yang seterusnya – kini kerajaan melaksanakan Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016 – 2020, tidak lagi mendapat perhatian beliau.  Kalaupun ada, beliau hanya menyentuh mana-mana rancangan lima tahun itu secara sepintas lalu, iaitu rancangan yang dilaksanakan dalam tempoh DEB, seperti Rancangan Malaysia Ketiga, 1976 – 1980, Rancangan Malaysia Keempat, 1981 – 1985, dan Rancangan Malaysia Kelima, 1986 – 1990,  tidak selengkap dan terperinci RMKedua (misalnya, Shamsul Amri, 1990: 7). Hal ini seakan-akan selepas pelaksanaan DEB, bagi ahli sains sosial, seperti Shamsul Amri, “berakhirnya era pembangunan” di negara ini.
(Dipetik daripada Bab Empat, Pemerkasa Menara Gading, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...