Artikel Popular

Sunday, January 29, 2012

Pilihan Raya dan Ekonomi

AHAD,  29  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Beberapa buah negara akan mengadakan pilihan raya pada tahun ini.  Untuk  Pilihan Raya Presiden, antaranya Rusia, Perancis, dan Amerika Syarikat. Malaysia meskipun tempoh lima tahun genap pada tahun 2013,  dijangkakan Pilihan Raya Umum akan diadakan pada tahun ini.  

Selagi ekonomi tidak membawa berita baik, misalnya pertumbuhan lemah dan kadar pengangguran tinggi, khususnya dalam kalangan belia, nescaya mana-mana calon yang mempertahankan jawatan atau mana-mana parti yang memerintah terpaksa menempuh laluan yang sukar.  Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou, misalnya, menang semula dengan majoriti kecil pada 14 Januari lalu.  Sementara Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, dijangkakan  mengumumkan bahawa beliau tidak bertanding untuk penggal kedua.  Antara alasannya, beliau  "gelisah" dan "tertekan" akibat kehilangan penarafan kredit AAA Perancis pada awal bulan ini. 

Di  Amerika Syarikat pula yang kini menyaksikan persaingan sengit antara Mitt Romney dengan Newt Gingrich pada peringkat pemilihan awal Republikan, Pilihan Raya Presiden akan berlangsung pada November ini. Dijangkakan bahawa sebagaimana tahun 2008, dalam pilihan raya kali ini, ekonomi domestik merupakan faktor penting berbanding dengan faktor luar negara.  Jika banyak berita muram tentang ekonomi, seperti pertumbuhan dan kadar pengangguran, nescaya "selamat tinggal Rumah Putih" untuk Presiden Barack Obama, demikian juga sebaliknya. 

Tatkala Republikan  bertelagah sesama sendiri untuk menentukan calon, Presiden Obama terus  mempersiapkan dirinya untuk pusingan kedua, seperti yang diperhatikan oleh banyak pengulas, antaranya James Fallows, dalam ucapan State of the Union Presiden baru-baru ini:  mewujudkan peluang pekerjaan dan menyelamatkan golongan kelas menengah, yang ada kalanya senada dengan Menduduki Wall Street, meskipun  populismenya diragui.  

Oleh sebab pertarungan Pilihan Raya Presiden 2012 adalah terletak pada medan ekonomi, maka apakah berita baik untuk Presiden Obama? Seperti yang dilaporkan, ekonomi Amerika Syarikat pada suku keempat tahun 2011 mencatatkan pertumbuhan 2.8 peratus, menjadikan pertumbuhan keseluruhan pada tahun lalu adalah sederhana, iaitu 1.7 peratus.  

John Cassidy yang menulis dalam blog The New Yorker, mengulas laporan  pertumbuhan terbaharu itu dalam konteks Pilihan Raya Presiden.  Tegas beliau, pertumbuhan yang sederhana akan bergerak seiringan dengan pilihan raya tersebut.  Ekonomi tidak berkembang cukup pesat untuk mengurangkan kadar pengangguran secara dramatik, untuk menjadi rahmat kepada Obama.  Akan tetapi, tumbuh pesat cukup untuk menyangkal dakwaan Republikan bahawa dasar Presiden adalah gagal.  

Walau bagaimanapun, Cassidy tetap mempertahankan pendirian beliau tentang unjuran ekonomi tahun 2012 supaya berhati-hati dengan perasaan optimisik, yang beliau tulis sebelum ini

Untuk mana-mana calon atau parti yang mempertahankan pemerintahan, mesejnya jelas:  lebih pesat pertumbuhan, lebih banyak undi yang diperoleh.  Semakin tinggi kadar pengangguran, semakin banyak undi yang hilang. Justeru, pastikan perut rakyat sentiasa berisi kalau mahukan peti undi berisi!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...