Artikel Popular

Sunday, January 15, 2012

Amerika Pinjam Strategi Lenin

AHAD,  15  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Boleh dikatakan banyak negara kini mula mengetepikan program kebajikan melalui langkah jimat-cermat, meskipun sering diperingatkan, yang terbaharu oleh George Soros, khusus untuk zon euro,  bahawa langkah ini boleh membawa padah.  Di Britain,  wawasan William Beveridge tentang negara kebajikan yang wujud sejak 70 tahun lalu, kini berada di persimpangan apabila kerajaan pimpinan Parti Konservatif melakukan pemotonga belanjawan. Sementara di Amerika Syarikat, seperti yang dapat dilihat dalam kempen pemilihan calon Presiden daripada Parti Republikan, keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan yang disediakan oleh negara menjadi sasaran kritikan.  

Tindakan banyak kerajaan yang begitu cepat melaksanakan jimat-cermat, seperti yang  dicatatkan oleh Simon Johnson, "kerajaan menyokong bank-bank besar, antaranya kerana ideologi bahawa  bank berkenaan diperlukan untuk ekonomi pulih, manakala orang ramai    kehilangan pekerjaan secara berleluasa dan menanggung sengsara akibat pemotongan kerajaan."

Ketika serangan terhadap keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan semakin menjadi-jadi, terutamanya semasa pemilihan awal calon Presiden, Michael Hiltzik yang menulis dalam Los Angeles Times mengingatkan tindakan seperti itu meminjam strategi Lenin. Rasionalnya yang sebenar, bahas Hiltzik ialah politik:  "Jika anda memahami hal itu, anda mungkin melihat hampir semua cadangan semasa ditujukan kepada mengurangkan kos keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan, sama ada cadangan itu melibatkan pemotongan faedah untuk kabanyakan orang di semua peringakt, meningkatkan umur kelayakan, ataupun bermaksud menguji program untuk memotong atau menafikan faedah pesara yang kaya."

Hiltzik memetik strategi asal yang ringkas oleh Stuart Butler dan Peter Germanis yang diterbitkan pada tahun 1983, "Achieving a Leninist's Strategy."  Terseksa terhadap kegagalan Presiden Reagan untuk mengeksploit krisis fiskal tahun 1982 keselamatan sosial untuk menwastakan program, kedua-dua penulis merumuskan bahawa alasan ialah program berkenan mendapat sokongan kuat dalam kalangan blok pengundian warga emas yang amat berkuasa.  

Jawapannya, Butler dan Germanis rumuskan, adalah untuk "meneutralkan pengundi yang berumur, manakala  terus melemahkan keyakinan terhadap keselamatan sosial dalam kalangan orang muda.  Model kedua-dua penulis ini ialah gerakan Leninis, "berjaya dalam mengasingkan dan melemahkan pihak lawan."

Sebarang rancangan untuk mengubah keselamatan sosial, tulis mereka, seperti yang dipetik oleh Hiltzik, "oleh itu, mesti neutral atau (masih lebih baik) secara jelas kelebihan kepada warga emas  ... unsur yang paling berkuasa dalam pakatan yang menentang pembaharuan struktur.'  Sebaliknya, orang muda, tidak tersusun untuk menyokong penswastaan, dan tidak seragam mengenai kebaikannya.  Tugas untuk memenuhi jurang pengetahuan ini, tulis mereka, boleh dilaksanakan dengan baik oleh "komuniti perniagaan dan institusi kewangan khususnya ... kedua-duanya menerusi periklanan komersial mereka dan menerusi perhubungan awam."

Sejak itu, cadangan untuk perubahan dramatik dalam keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan mencerminkan strategi pecah dan perintah ini.  Sesetengahnya hampir tidak mempunyai rasional praktik lain.  

Meskipun Perang Dingin telah berakhir, Kesatuan Soviet berkecai, Revolusi Rusia seakan-akan dikhianati, Lenin masih dapat tersenyum lebar.  Dari perang mata wang ke Pemberontakan Arab dan gerakan Menduduki, idea beliau masih relevan. Kini, strategi beliau diterima pakai oleh ahli politik, penggubal dasar, dan cerdik pandai di Amerika Syarikat yang begitu bersemangat mengkritik keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...