Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Orang British menjadi semakin kurang jujur dan kepercayaan mereka terhadap pemimpin kerajaan dan perniagaan jatuh begitu rendah di tengah-tengah ketakutan bahawa negara itu menjunam ke dalam "krisis integriti." Pembohongan, mengadakan hubungan sulit, memandu ketika mabuk, mengadakan hubungan seks bawah umur, dan membeli barang curi, semuanya lebih boleh diterima yang dibandingkan dengan dekad lalu. Akan tetapi, orang ramai kurang bertolak ansur terhadap fraud faedah.
Gambaran bahawa Britain semakin mengendur tentang "ketidakjujuran tahap rendah" itu yang didedahkan oleh The Independent, memetik kajian yang dijalankan oleh University of Essex, yang menunjukkan "masalah integriti" berkemungkinan semakin teruk kerana orang muda lebih bertolak ansur terhadap kelakuan tidak jujur berbanding dengan generasi yang lebih tua. Akhbar itu juga melaporkan penubuhan Centre for the Study of Integrity pertama Britain yang akan meneliti isu yang berbangkit daripada skandal baru-baru ilni, seperti penggodaman telefon, perbelanjaan anggota parlimen, dan krisis perbankan.
Selain mendedahkan ketidakjujuran di Britain, akhbar itu juga melalui carta menyenaraikan beberapa negara yang peratusan penduduki yang mempercayai ahli politik, pemimpin perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan media adalah rendah, antaranya Sweden (49 peratus), Amerika Syarikat (49 peratus), Korea Selatan (44 peratus), Poland (44 peratus), United Kingdom (41 peratus), Ireland (41 peratus), dan Perancis (40 peratus).
Sebagai respons terhadap pendedahan itu, dalam soal ketidakjujuran, orang British semuanya bersekongkol. Simon Blackburn yang turut menulis menegaskan bahawa perkara penting tentang ketidakjujuran adalah bahawa kita sepatutnya cuba untuk menjadi jujur tentang ketidakjujuran. Kemerosotan moral warga British ini turut dibahaskan dalam The Guardian.
Seperti yang dinyatakan, Amerika Syarikat yang turut tersenarai sebagai salah sebuah negara tertinggi dari segi ketidakjujuran, sejak beberapa bulan lalu menyaksikan keberangan rakyat, seperti melalui gerakan Menduduki Wall Street. Kepercayaan rakyat Amerika terhadap Kongres merudum sehingga mendorong Senator Kirsten Gillbrand menulis dalam The Huffington Post bagaimana untuk memulihkan kepercayaan mereka.
Pemilihan awal calon Presiden daripada Parti Republikan mendedahkan tembelang peribadi beberapa calon, daripada cukai pendapatan dan pelaburan Mitt Romney kepada "perkahwinan terbuka" Newt Gingrich. Mungkin pembohongan terbesar pemimpin Amerika adalah berhubung dengan pencerobohan terhadap Iraq pada tahun 2003, yang pernah didedahkan oleh Jonathan Stein dan Tim Dickinson dalam Mother Jones.
Salah faktor utama orang politik, termasuk di negara kita, gemar berbohong adalah kerana orang ramai sentiasa mendengar dan melanggani pendustaan itu. Bahkan, mereka sering ditokoktambahkan, diperelokkan oleh konco-konco atau "askar upahan mereka" yang berkeliaran di alam siber. Justeru, tidak memeranjatkan bahawa banyak masyarakat di dunia bergelut dengan krisis integriti.
No comments:
Post a Comment